Ilmu amatlah penting dalam kehidupan
manusia. Dalam Islam menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas setiap
orang muslim. Seseorang Muslim dapat memelihara akhlaq dan peribadinya
dengan ilmu dan mempergunakan akalnya untuk mendapat petunjuk daripada
Allah Swt atas segala urusan dalam kehidupan. Oleh itu, di sisi Islam,
menuntut ilmu adalah amalan fardhu dan mulia bagi setiap muslim dan
muslimah. Sebagaimana Sabda Rasulullah saw “Mencari ilmu adalah fardhu
ke atas setiap muslim “(Hadis Ibnu Majah).
Ilmu letaknya di hati yang memandu
perbuatan pemiliknya dalam meniti kehidupan. Sepertimana mencari ilmu
itu adalah amat penting, seseorang itu juga dituntut mengamalkan apa
yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya. Sabda Nabi Muhammad
SAW ertinya: “Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang
berterusanwalaupun sedikit.” (Muttafaq ‘alaih)
Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama
hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya
adalah semata-mata kerana Allah swt, dan bukan kerana kepentingan dunia.
Justeru yang turut sama perlu
diperhatikan ketika menuntut ilmu adalah hati. Hati mesti dipimpin agar
ia menjadi bersih atau baik. Kerana dengan hati yang bersih, ia akan
membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.
Namun begitu, mengetahui atau
mempelajari sesuatu ilmu itu bukan lah semudah mengamalkannya. Seseorang
yang beriman dan berilmu dengan hati yang ikhlas akan berusaha untuk
memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada dirinya dan orang lain.
Memanfaatkan ilmu terutama ilmu agama melalui perbuatan juga adalah
sangat mulia dan ia hanya dapat dilakukan apabila sesuatu ilmu itu
berjaya diturunkan ke hati.
Dalam pengisian program Pesona D’Zahra
di IKIMfm Isnin lalu, Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin menjelaskan
berkenaan apa yang disebut sebagai menurunkan ilmu kehati itulah yang
dikatakan “latihan” atau Mujahadah.
Beliau juga menggariskan tiga perkara
yang perlu dikuasai oleh seseorang ketika melakukan mujahadah hati dan
melaksanakan ilmu yang difahami. Tiga perkara tersebut adalah
kemarahan, ketakutan dan kesedihan.