Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Peranan Al-Qur’an dalam Hidup Berkeluarga

Segala Puji bagi Allah yang Maha Pengasih, yang merahmati hamba-hambanya dengan Al Quran. Al Quran adalah Kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang mengandungi petunjuk menerangi jalan-jalan kehidupan dan membimbing seseorang insan kepada jalan yang lurus.  Seseorang muslim itu tidak dibiarkan hidup di dunia begitu sahaja melainkan Allah swt telah menyediakan panduan lengkap kepada setiap hal yang berkaitan dengan kehidupan dan ianya sesuai di sepanjang masa dan tempat.

Al-Quran adalah wahyu dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW, ia juga merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan ke dunia ini, manakala membaca dan mempelajarinya merupakan suatu ibadah kepada Allah SWT.

Bersempena dengan Sambutan Nuzul Quran yang disambut umat Islam pada 17 Ramadan baru-baru ini, Segmen Pesona D’Zahra minggu lalu bersama tetamu Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin, meraikan tajuk yang amat rapat dengan Ramadan dan kehidupan seseorang muslim, iaitu Nuzul Quran Dan Hubungan Al Quran Dalam Aspek Kekeluargaan.
Dalam penerangan awal beliau tentang peristiwa penting ini, Nuzul Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap utama: Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Luh Mahfuz ke langit dunia. Kedua: Nuzul al-Qur’an dari langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.

Allah swt berfirman Al-Quran itu diturunkan pada malam Lailatul Qadr, berdasarkan surah Al Qadr, mafhumnya: Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,  Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?  Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.  Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);  Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Bermulanya Nuzul Quran itu dari Luh Mahfuz ke langit dunia.  Setelah al-Qur’an diturunkan, langit kemudiannya dikawal rapi sepertimana Firman Allah SWT dalam Surah Jinn ayat 8 mafhumnya, “Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. `Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
Ketika Nabi SAW berusia 40 tahun Al-Quran beransur-ansur diturunkan bermula 17 Ramadan bermula wahyu ayat 1-5 surah Al-’Alaq. Tujuan Al-Quran diturunkan kepada manusia adalah bertujuan untuk memenuhi tiga sebab utama: iaitu pertama petunjuk pada manusia, kedua, bukti benarnya Islam itu dan ketiga, pembeza antara benar (haq) dan salah (bathil)

Petunjuk pada manusia

Tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah sebagai petunjuk dan hidayah bagi seluruh umat manusia. Kita perlu selalu meneliti hubungan kita dengan Al-Quran. Apakah kita merujuk kepada Al-Quran dalam mencari panduan dan hidayah Allah mengharungi kehidupan kita.
Hidayah merupakan bimbingan hati dari Allah swt dalam membuat sesuatu keputusan. Islam mengajar manusia untuk membuat keputusan yang betul dan mestilah keputusan itu adalah kerana mencari redha oleh Allah swt. Justeru jika berpegang kepada Al-Quran ia akan membawa kepada hidayah petunjuk jalan yang benar dalam apa jua perkara dalam kehidupan.

Dalam konteks rumahtangga contohnya, urusan mencari pasangan tentunya memerlukan kriteria tertentu calon yang bagaimana yang perlu dicari, seterusnya dalam urusan pergaulan keluarga; bagaimana cara hidup dengan baik antara suami isteri, ibu bapa dan anak, begitu juga dalam urusan ekonomi pula bagaimanakah jual beli yang diterima dan diberkati,  mengelakkan riba dan makan harta dengan cara batil, semuanya ada panduannya di dalam Al-Quran.

Sebagai ibu bapa, kita semua mahu anak-anak berjaya dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Sebagai ibu bapa kita mahu anak-anak yang baik peribadinya, ibadatnya, akhlaknya dan bijak bergaul dengan orang lain selain Berjaya didunia dan dia akhirat. Semua harapan dan impian ini tersimpan dalam penghayatan dan pengamalam al-Quran yang dibiasakan dalam rumahtangga. Bukalah al-Quran tentunya akan ada panduan untuk setiap persoalan dalam kehidupan kita.

Al-Quran juga menjadi sumber pengubat keresahan jiwa dan menjawab keresahan hati seseorang. Dalam keadaan dirundung kebingungan dan kesusahan hati atas sesuatu permasalahan, bukalah al-Quran dan telitilah makna dan terjemahan Al-Quran, tentunya Allah SWT akan memberi hidayah kepada mereka yang ikhlas mencari kebenaran, seolah-olah Allah SWT  bercakap secara langsung kepada kita.

Oleh itu, khususkanlah masa untuk membaca Al-Quran bersama keluarga. Jangan biarkan anak-anak dan keluarga kita jauh daripada kitab suci ini kerana ia sumber keberkatan sesebuah rumah.

Selami dan cubalah memahami kisah-kisah yang ada di dalamnya, dan ayat-ayat yang ditujukan kepada manusia dalam menangani sesuatu permasalahan yang melanda diri, keluarga dan masyarakat sekeliling kita.

Bukti kebenaran ajaran islam itu sendiri

Melihat kepada kedudukan dan keistimewaan al-Quran itu dan peranannya di dalam kehidupan, maka ia sudah semestinya ia wajib dijadikan sebagai panduan, rujukan, ikutan dan amalan di dalam semua lapangan kehidupan. Nabi Muhammad SAW menerangkan bahawa hidup akan teguh (istiqamah) jika berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Sabda Nabi SAW yang maksudnya: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu yang jika kamu sesat selepasku selama-lamanya (iaitu) Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnahku.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Al Quran seperti disebutkan adalah lengkap dari segi aqidah, ibadat dan akhlak, undang-undang, ekonomi dan politik. Perlu diketahui bahawa al-Quran adalah sumber maklumat bagi menjelaskan segala-galanya, lebih-lebih lagi di dalam perkara-perkara yang berhubungkait urusan manusia di dalam kehidupan mereka di dunia dan juga di akhirat, dari peringkat yang sekecil-kecilnya hinggalah ke peringkat yang sebesar-besarnya.

Fakta yang terdapat dalam Al Quran seperti kehebatan kejadian alam ini seperti fakta sains, penerangan tentang kejadian manusia dan perubatan, kisah sejarah masa lampau dan maklumat tentang masa depan sewajibnya menjadi kepercayaan dan kekuatan seorang muslim yang beriman. Perkara ini menjadi bukti kepada kebenaran bahawasanya Islam adalah agama yang benar dan menegakkan kebenaran yang mana semua fakta ini telah diturunkan sejak 1400 tahun yang lalu dan semuanya dapat diketahui pada masa kini.

Pembeza antara yang benar dan salah.

Orang yang mengamalkan al-Quran, akan terbeza akhlaknya dari yang tidak beriman. Sikap atau peribadi seseorang muslim yang mengamalkan islam akan dapat dilihat dengan perbuatan yang positif berbanding mereka yang meninggalkannya. Suami akan menjalankan tanggungjawabnya dan begitu juga isteri akan mentaati suaminya. Ibu bapa juga akan menunaikan amanah mengasuh dan mendidik akhlak anak. Begitulah jika Al-Quran itu dipatuhi ajarannnya. Ibu-bapalah yang harus menjadi contoh kepada anak-anak, begitu juga guru-guru menjadi panduan kepada anak murid atau pelajar mereka dengan mengamalkan alkhlaq Al-Quran yang beretika seperti yang dipandu Al-Quran.

Kesimpulannya Al-Quran mempunyai banyak rahsia yang perlu dirungkai dan hikmah yang tinggi, ia diturunkan kepada munusia untuk menjadikan arah tuju hidup manusia itu Berjaya dunia dan akhirat. Insha Allah hanya dengan mengamalkan quran kita akan nampak kebenaran islam itu dan akan terbeza kehidupan kita dari yang tidak. Ikutilah perkongsian lanjut Ustaz Muhammad dalam Pesona D’Zahra setiap Isnin jam 9.15 pagi di IKIMfm: Pilihan Utama Anda.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 
24 Julai 2014 dalam segmen Agama

No comments:

Post a Comment