“Manusia itu tidur lena, apabila kematian tiba baru dia terjaga dari tidurnya. Demikianlah orang yang tidak mengingati mati itu sentiasa dalam keadaan lalai atau bagaikan orang yang tertidur dia akan terkejut bila kematian datang secara mendadak.”
Titipan pesana Saidinia Ali bin Abi
Talib r.a ini saya kongsikan sebagai mukadimah perkongsian intipati
Islam Itu Indah oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi minggu lalu yang bersiaran
setiap Rabu jam 10.15 pagi di radio IKIMfm. Kata-kata itu sungguh
mendalam dan tersirat maknanya. Rupa-rupanya apabila seseorang itu mati
kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap sejelas-jelasnya. Ketika
itu barulah si mati dapat ‘melihat’ hidup dengan jelas dan tepat.
Ironinya, saban hari bangun dari tidur
doa di panjangkan tanda syukur dikurnia sehari lagi usia. Diberi usia
bererti dikurnia peluang, kesempatan dan harapan. Bagi yang taat, hidup
merupakan peluang, kesempatan dan harapan untuk mencambah lebih banyak
ketaatan. Meninjam semangat para Hukama “Buat baik sehingga letih buat
maksiat”. Sesungguhnya berbuat baik itu tiada penghujung.
Buat pendosa dan yang berbuat maksiat,
kesempatan hidup sebagai peluang untuk mengaku kesalah dan bertaubat.
Allah terus beri hidup pada yang berdosa, bukan untuk menambah dosa tapi
hakikatnya itulah peluang untuk bertaubat dari dosa-dosa yang telah
dilakukan. Maha Suci Allah, usia yang Allah berikan pada kita sebenarnya
satu rahmat bukan sahaja pada mereka yang taat tetapi juga buat meraka
yang dalam maksiat.
Al-Quran menerusi Surah Al-Hajj ayat 47
Allah berfirman mafhumNya “Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad)
menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan
memungkiri janjiNya; dan (katakanlah kepada mereka): sesungguhnya satu
hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun
dari yang kamu hitung.” Ayuh kita rehat seketika, sambil merenung sambil
mengira. Sebagai perbandingan, 1 hari di akhirat adalah bersamaan
dengan 1000 tahun di dunia. Ini bermakna jika usia kita seperti
junjungan mulia Nabi Muhammad SAW iaitu 63 tahun, maka ia bersamaan
dengan satu jam setengah sahaja hidup di akhirat.
Dengan pengiraan ringkas itu terasa
hidup ini terlalu singkat. Allah menggingatkan kita menerusi Surah Yunus
ayat 45 mafhumNya “Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada
hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka
tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang
hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah
orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima
balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung
semasa hidup di dunia).”
Sungguh tepat seperti yang dinukilkan
Imam As-syafie tentang keanehan melihat masa yang berlalu terlalu laju
tetapi lebih aneh lagi melihat manusia yang melalaikannya.
Melihat kepada kehidupan, ia umpama
memasuki dewan peperiksaan. Segala macam perasaan hadir sebelum, semasa
dan selepas peperiksaan berlangsung. Rasa gusar berbaur resah bercampur
gentar menjadikan diri terus waspada, hati-hati dan sifat mencuba yang
tidak pernah kenal erti kalah dan mengalah hadir dengan latih tubi yang
jitu dan padu. Dengan hanya berbekalkan satu jam setengah segala usaha
dicurah untuk menjawab soalan-soalan yang datang daripada Allah berupa
ujian kehidupan.
Hanya yang membezakan adalah kertas
soalan peperiksaan di dewan peperiksaan adalah sama untuk semua calon
peperiksaan dengan peruntukan masa yang sama dan telah di tetapkan.
Manakala kertas ujian milik Allah ini miliki soalan yang berbeza. Ada
kertas ujian kesakitan, kaya, miskin, lambat jodoh, suami atau isteri
curang dan sebagainya. Masa yang diperuntukan juga berbeza antara
seorang dengan yang lain. Panjang atau singkatnya masa ujian, sukar
mahupun mudah kertas ujian yang diberikan manfaatkanlah sebaiknya untuk
berjaya dengan cemerlang.
Imam Al-Ghazali menerusi Ihya’
‘Ulumiddin menyatakan bahawa nantinya akan ada orang yang menyesal bukan
sahaja kerana masa itu di isi dengan dosa, tetapi masa yang tidak diisi
dengan apa-apa pun bakal menjadi penyesalan yang amat sangat.
Dibayangkan umpama kotak-kotak masa yang akan hadir ketika di padang
mahsyar. Apabila kita membuka kotak masa yg pertama penuh dengan pahala.
Alhamdulillah, pastinya kitu yang diidam dan didambakan membuat hati
menjadi lapang. Akan menjadi dukacita, jika satu kotak yang hadir penuh
dengan dosa kita. Nauzubilla, sudah pasti kita akan menyesal tidak
terhingga. Dan bayangkan, jika satu lagi kotak adalah kotak kosong, itu
pun menurut Imam Al-Ghazali akan dikesalkan oleh kita.
“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau
melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di
hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu),
“Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan
sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka
kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik;
sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (Surah As-Sajadah ayat 12).
Penyesalan yang amat besar bagi penghuni akhirat sehinggakan jika di
beri peluang dan ruang untuk kembali ke dunia mereka akan manfaatkannya
walau berkesempatan untuk mengungkapkan SubhanaAllah. Di akhirat kelak
kita akan diperlihatkan kehebatan SubhanaAllah sahaja sudah sebesar
Bukit Uhud. Dan jika kita mapu melihat kehebatan itu sekarang sudahpasti
bibir kita tidak lekang dari bertasbih tanpa ada sesaat pun yang akan
dibazirkan.
Orang tua berpesan, Menyesal dahulu
pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna. Keyakinan pada waktu itu
sudah terlambat dan tidak memberi apa-apa kesan kerana sesungguhnya
nikmat hidup hanya akan dinikmati apabila kita mati kelak. Jadi
bersiaplah untuk akhirat kita ketka di dunia ini. Hidup di dunia untuk
akhirat.
Para hukama mengatakan perjalanan menuju
kematian telah bermula sebaik sahaja kita dilahirkan. Hari ini dan
hari-hari seterusnya hanya sisa umur sahaja. Manfaatkan sisa umur kita
bukan sekadar kerja keras tetapi kerja cerdas. Wujudkan kesedaran untuk
kita manfaatkan masa yang bersisa dengan memanjangkan amal kita dari
modal usia yang Allah berikan seoptimumnya.
Ingatlah, orang yang hebat dalam masa
satu jam dia dapat menghasilkan banyak pahala, tetapi orang yang malang
dalam kehidupan yang panjangsedikit pahala pun tidak diperoleh kerana
sifat yang di namakan lalai. Moga kita semua terhindar dari sifat lalai
ini. InshaAllah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 27 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment