Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Hakikat Kemerdekaan Sebenar (2)

Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman meneruskan kupasan kisah Nabi Musa a.s. dan Bani Israel di slot Ibrah bersiaran setiap Isnin jam 5.15 petang di IKIMfm.

Seperti yang diceritakan sebelum ini betapa Bani Israel ini telah lama dijajah dibawah rejim Firaun dan mereka masih lagi belum merdeka atas nama yang sebenar. Nabi Musa a.s. pernah berjanji kepada Bani Israel sekiranya mereka telah bebas daripada cengkaman Firaun, baginda berjanji bahawa Allah akan menurunkan satu kitab untuk membawa mereka ke jalan yang benar.

Setelah Nabi Musa a.s. dan Bani Israel meneruskan perjalanan dan sampai di Gunung Sinai, Nabi Musa meminta pertolongan daripada Nabi Harun untuk menjaga kaumnya, Bani Israel kerana baginda perlu bermunajat dan beribadat kepada Allah  SWT tanpa gangguan untuk menerima kitab-Nya. Nabi Musa berpesan kepada Nabi Harun supaya menjaga dan memperbetulkan mereka sekiranya mereka melakukan kesilapan dan jangan sesekali terpengaruh dengan kejahilan yang mereka lakukan. Allah telah mewahyukan Nabi Musa untuk berpesan kepada Nabi Harun kerana pada masa akan datang akan kita ketahui bagaimana sebenarnya sikap Bani Israel yang ingin kembali menyembah berhala seperti di bawah pemerintahan Firaun sebelum ini.

Nabi Musa a.s. berpesan seperti di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 142, Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku, dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku) dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.”
Nabi Musa a.s. sama sekali tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa akan datang, namun Allah telah mewahyukan Nabi Musa untuk berpesan sedemikian kepada Nabi Harun. Setelah itu, Nabi Musa meneruskan perjalanan ke Gunung Sinai dan di sinilah peristiwa besar berlaku kepada baginda, iaitu peristiwa pertemuan dengan Allah SWT untuk kali yang kedua. Ustaz Syaari Abdul Rahman mengimbas kembali pertemuan Nabi Musa dengan Allah SWT pada kali pertama di Lembah Tua. Peristiwa tersebut sama sekali tidak diduga oleh Nabi Musa, namun bagi pertemuan kali kedua ini baginda telah berpuasa selama 30 hari, 30 malam tanpa berbuka. Puasa ini dikenali sebagai Puasa Wisol.

Allah merakamkan kisah puasa ini di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 142, “Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat selama) tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam.”

Allah SWT memberikan kelebihan kepada Nabi Musa untuk berkata-kata dengan Allah tanpa perantara. Semasa berkata-kata dengan Allah, Nabi Musa begitu gembira sehinggakan baginda telah hilang kata-kata. Nabi Musa agak bersikap tergesa-tergesa untuk menuju ke Gunung Sinai dan meninggalkan kaumnya dan Allah telah bertanya kepada baginda dengan sikap baginda itu di dalam Surah Toha, ayat 83 dan 84. “Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari labih dahulu dari kaum engkau, wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi aku tidak jauh dari sini, dan aku segera datang kepada-Mu wahai Tuhanku, supaya Engkau redha akan aku.”

Bagi Nabi Musa a.s., baginda sanggup meninggalkan kaumnya dalam keadaan tergesa-gesa hanya kerana hendak mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT. Namun Allah telah memberi peringatan kepada Nabi Musa bahawa baginda telah meninggalkan kaumnya dalam keadaan yang masih belum diperbetulkan akidah mereka. Ustaz Syaari Abdul Rahman mengajak para pendengar bermuhasabah bagaimana Nabi Musa a.s. tergesa-gesa untuk bertemu Allah SWT dan sangatlah malang bagi kita hari ini yang sebaliknya tergesa-gesa untuk melayari laman media sosial. Apakah bezanya bagi kita yang tidak menyembah berhala tetapi ketagih dengan laman media sosial sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah, jika dibandingkan dengan Bani Israel yang ketagih untuk menyembah berhala?

Semasa Nabi Musa berkata-kata dengan Allah, baginda telah meminta untuk melihat zat Allah seperti di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 143, Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku akan (zatMu yang maha suci) supaya akau dapat memandang kepadaMu.” Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi lihatlah kepada gunung-ganang itu, maka jika ia tetap berada pada tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu.” Maka tatkala Tuhannya menzahirkan kebesarannya kepada gunung-ganang itu, maka menjadikan gunung-ganang itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia: “Maha suci Engkau (wahai Tuhanku!) akau bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).

Walaupun keinginan dan hasrat Nabi Musa a.s. untuk melihat Allah tidak tercapai, namun Allah telah memilih Nabi Musa untuk menerima kitab Taurat. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 144, “Wahai Musa! Sesungguhnya  Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu) dengan membawa perutusanku (Kitab Taurat) dan dengan kata-kataKu, oleh itu terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.”

Dan Kami telah menuliskan baginya (Nabi Musa) pada loh-loh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar syariat dan hukum-hukumnya). “Oleh itu terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh dan suruhlah kaummu berpegang (dan mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhanNya). (Surah Al-A’raaf, ayat 145)

Di sinilah merupakan permulaan kisah Bani Israel yang kembali kepada kehidupan jahiliah mereka pada zaman pemerintahan Firaun dahulu. Bagaimana diceritakan mereka akan kembali kepada penyembahan berhala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 
16 September 2014

No comments:

Post a Comment