Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Allah Tempat Bergantung

Rancangan Tarbiyah di IKIMfm yang disiarkan Jumaat lepas jam10.15 pagi bersama Prof.Dr Muhaya meneruskan kupasan berhubung transformasi diri dengan memulakan bicara dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri.” (Surah al-Anfal, ayat 2)

Oleh itu tanamkan keyakinan dalam hati seteguh-teguhnya bahawa hanya Allah tempat untuk kita mengharapkan pertolongan dan hanya kepada Allah tempat kita bergantung harap, kerana sesungguhnya Allah pasti tidak akan menghampakan janji-janjinya buat hambaNya yang selalu mengharapkan ehsan dan kasih sayang Allah. Ini juga kerana dengan bergantung hanya kepada Allah SWT akan lebih melapangkan hati kita dan memberi kekuatan kepada jiwa untuk menjalani kehidupan yang penuh ranjau dan cabaran ini..

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad mengajak semua pembaca untuk membuat transformasi diri yang mana jika sebekum ini banyak sekali tindakan dan perbuatan yang kita lakukan hanya bertujuan untuk mendapat pujian manusia atau selalu mengharapkan pertolongan manusia supaya menguatkan keyakinanan bahawa apa sahaja yang terjadi dalam hidup ini adalah dengan keizinan Allah. Oleh sebab itulah kita harup menanam keyakinan bahawa apa sahaja yang kita perolehi mahu dan dapat adalah daripada pemberian Allah. Bagi orang yang hatinya teguh terhadap Allah, Ilmu kualiti kehidupan hanya bersandar kepada Allah semata-mata. Sebagaimana satu kata-kata yang berbunyi mengharap kepada kumbang, kumbang akan lari, mengharap kepada manusia, manusia akan pergi, mengharap kepada pangkat, pangkat akan hilang. Oleh itu, berharaplah hanya kepada Allah kerana Allah kekal abadi.

Oleh kerana itu, kita hendaklah menaruh sandaran kepada Allah kerana harapan dan sandaran kepada Yang Maha Esa pastinya akan membuahkan rasa cinta kasih kepada allah tanpa berbelah bagi. Cinta kepada Allah akan membina ketaatan kepadanya dalam apa jua bentuk dan keadaan. Orang yang bergantung kepada Allah akan memusatkan perhatian dan focus terhadap kebaikan yang diperolehi. Sebaliknya jika apa yang dihajati tidak termakbul, mereka akan juga merasa bersyukur dan berlapang dada menerima ketentuan sebagai takdir yang terbaik Allah susun diri kita untuk sebuah kehidupan yang bukan sementara ini. Jika kita menanam keyakinan yang tinggi hanya kerana Allah nescaya kita akan sangat bahagia kerana setiap yang kita kerjakan dalam dunia bukan dilakukan untuk pandangan dan perhatian manusia semata-mata tetapi untuk mendapat redha Allah di dunia dan akhirat.

Begitu juga jika kita hanya menaruh keyakinan bahawa hanya Allah sahaja tempat untuk kita menaruh harapan, nescaya perasaan kita akan bebas dari segala penyakit mazmumah. Sebagai contoh, kita mengimpikan untuk memperolehi jawatan tinggi dalam pekerjaan, jika kita hanya melobi ketua dan melakukan pekerjaan hanya mahukan pengiktirafan, sebaliknya kita gagal terhadap jawatan berkenaan, pastinya kita akan terluka, kecewa dan marah kepada majikan kerana tidak menaikkan pangkat kita. Tetapi jika kita ikhlas melihat pekerjaan sebagai satu ibadah, bekerja sebagai amanah, kita akan berlapang dada menerima setiap rezeki yang Allah tentukan. Malah orang yang bergantung kepada Allah juga akan dapat membina peribadi tertinggi kerana jika kita yakin rezeki itu milik Allah dan hanya allah sahaja yang memberinya, kita tidak akan nada sifat dengki, khianat, menjatuhkan orang lain, menipu dan akhlak buruk lain yang sebenarnya perangai buruk ini akan hanya memakan diri sendiri.

Oleh itu Prof. Muhaya mengajak kita untuk kembali memahami ilmu Allah dengan menghayati ayat-ayat Allah iaitu al-quran yang selalu memandu kita untuk menjalani hidup ini dengan bimbingan di jalan yang benar. Melalui Al-Quran juga kita aka dapat membina tenaga dalaman diri untuk terus meneguhkan keyakinan hanya kepada Allah yang satu.

Untuk selalu membina kebergantungna kita kepada Allah, kita hendaklah selalu bermuhasabah diri di atas apa juga yang berlaku kepada kita. Sebagai contoh kesilapan, kegagalan atau kesalahan yang kita lakukan dalam hidup ini janganlah terlalu menjadi orang yang suka menyalahkan sebaliknya kita kena menerima barangkali setiap kesilapan yang berlaku adalah kerana ‘teguran’ Allah terhadap diri kita untuk diperbetulkan.

Setiap kesilapan yang kita lakukan atau orang lain buat yang menyebabkan kita turut terheret sama dengan kesalahan itu, jangan cepat menunding jari kepada orang lain, sebaliknya ubah cara kita bertindak dan berfikir dengan melihat hikmah dan pengajaran dalam setiap perkara yang terjadi itu. Ini kerana hanya fikiran yang positif dan tenang boleh melihat segala kebaikan.

Sesungguhnya dalam kehidupan ini, kita tidak boleh menjalani kehidupan tanpa ada sistem kepercayaan yang mantap. Kita mesti mengaplikasikan hidup ini dengan mencorakkan bentuk kehidupan yang mendekatkan diri dengan Allah swt. Ini bermakna sama ada dalam pekerjaan, mendidik anak-anak, menguruskan rumahtangga atau apa sahaja pengisian hidup ini mesti kesudahannya berakhir kepada kecintaan kita kepada Allah.

Hidup ini tidak boleh dijalani hanya mengikut perjalanan hidup semata-mata, tetapi kita mesti mengatur kehidupan ini sekurang-kurangnya mengambilkira empat perkara setiap hari,  iaitu Pendidikan, meditasi, nutrisi dan latihan. Sekiranya kita mempunyai keempat-empat perkara ini sebagai asas harian kita, sudah pasti kita akan dapat menentukan pengisian kehidupan harian dengan lebih bermakna.

Dari segi pendidikan, Sebagai seorang ibu contohnya, mesti ada konsep kehidupan yang boleh memandunya menjadi seorang ibu yang baik. Seorang ibu itu perlu kenal dan faham apakah ilmu yang membolehkannya mendidik anak-anak berjaya dunia akhirat.  Dengan memahami keadaan itu, ibu tadi akan menyiapkan diri dengan membaca buku-buku yang boleh menyumbang ilmu yang banyak kepada dirinya. Selain itu dari segi pendidikan, kita mesti memastikan kita memperolehi ilmu bermanfaat setiap hari yang barangkali amat mudah untuk kita perolehi kini melalui pelbagai teknologi yang cukup canggih dewasa ini..

Begitu juga dalam kehidupan rumahtangga umpamanya. apabila Allah inginkan kebaikan kepada sebuah rumah tangga, maka diberikannya kelembutan dalam interaksi dan komunikasi sesama anggotanya. Dengan kebaikan dan kelembutan akan mendatangkan kelapangan dan ketenangan hati yang petanda yang sangat ketara dan dapat dirasai bukan sahaja oleh mereka tetapi bagi orang lain yang melihatnya.

Namun tanpa ilmu dan pemahaman yang mendalam kepada agama, kehidupan akan menjadi kelam kabut dan mulalah kita menyalahkan orang atau mula bergantung kepada orang lain untuk mencorakkan warna kehidupan yang kita sendiri sebenarnya lebih berhak untuk menentukan hala kehidupan kita dengan mengharapkan bimbingan daripada Allah.

Perkara lain menurut Prof Muhaya adalah kita perlu ada kefahaman tentang nutrisi kerana pemakanan yang baik dan seimbang akan menjamin kesihatan kita. Dengan kesihatan yang baik, mendorong kita untuk memperolehi kualiti hidup yang lebih tinggi seterusnya memudahkan kita untuk menjalani ibadah kepada Allah. Amalan pemakanan mengikut sunnah Rasulullah saw adalah yang terbaik kerana menjamin kehidupan yang lebih berakah.

Seterusnya kita mesti mengatur hidup ini dengan mengambilkira dari sudur meditasi. Sebagai orang Islam solat lima waktu adalah bentuk meditasi yang amat sempurna. Melalui solat akan menghubungkan kita dengan Allah dan mengikat kepercayaan kita kepadaNya. Ini akan menambahkan keyakinan dan kebergantungan kita malah jika kita merasai hidup ini diawasi oleh kekuasaan Allah, kita tidak akan merasa takut untuk menjalani hidup ini.
Perkara terakhir adalah membuat latihan (exersice) untuk memastikan kesihatan fizikal kita terjamin. Kesihatan ini sebagaimana kata cerdik pandai merupakan raja bagi orang yang sakit. Oleh itu peri penting bagi kita menghargai anugerah Allah ini dengan memiliharanya sebaik mungkin.

Oleh itu, marilah bersama-sama kita berharap hanya kepada Allah yang Maha agung. Jika harapan hanya kita sandarkan kepada Allah, maka kita akan memiliki peribadi diri yang semakin kuat, karana kita meyakini bahawa setiap ujian dugaan yang Allah berikan pastinya ia disesuaikan dengan kemampuan kita. Walaupun ujian itu terasa berat, pasti kita mampu menjalaninya.

Kita juga akan menjadi hamba yang taat, karana meyakini bahawa ketaatan kepada Allah SWT akan meningkatkan ketaqwaan kita kepadaNya. Semakin tinggi ketaqwaan kita, semakin luas cinta dan kasih sayang kita kepadaNya. Malah kita juga akan menjadi hamba yang selalu bersyukur, karena kita menyedari begitu banyak nikmat yang sudah kita peroleh. Kita juga akan menjadi seorang yang penyabar, karana selalu befikir positif bahawa Allah pasti menepati janjiNya.

Justeru janganlah berharap kepada manusia kerana akan berakhir dengan kecewa. Tetapi berharaplah hanya kepada Allah, kerana pastinya akan berakhir dengan bahagia bukan hanya di dunia tetapi sampai ke syurga.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 19 September 2014

No comments:

Post a Comment