Sunday 16 November 2014

Hijrahkan Hatimu

Orang yang berjaya adalah orang yang hari ini lebih baik dari semalam. Manakala orang yang terpedaya, apabila hari ini sama sahaja seperti semalam. Yang terakhir ialah orang yang celaka itu ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam.” Kata-kata bijak pandai ini dijadikan mukadimah Ustaz Pahrol Mohd Juoi ketika pertemuan Rabu lalu menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi di IKIMfm. Ujar beliau, hidup tidak boleh statik tetapi kena dinamik bergerak ke hadapan.
Telah digariskan antara formula untuk berjaya adalah sentiasa menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini. Kata kuncinya ialah hijrah; penghijrahan hidup dan diri menjadi baik dan lebih baik dan baik itu diukur menggunakan amalannya sepertimana yang ditegaskan oleh Allah SWT, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya…”. (Surah Al-Mulk ayat 2)
Amalan itu pula merangkumi amalan sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifah di muka bumi. Untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut Ustaz Pahrol telah memberikan beberapa contoh yang mudah untuk difahami.


Kisah pertama, cerita tentang seseorang yang berhijrah dari Mekkah ke Madinah dengan tujuan untuk menikahi seorang wanita yang bernama Ummu Qais bukan untuk mendapatkan keutamaan hijrah. Maka orang itu kemudian dikenal dengan sebutan Muhajir Ummi Qais iaitu orang yang berhijrah kerana Ummu Qais. Orang hijrahnya tidak mendapat Allah dan Rasul tetapi mendapat apa yang dia niatkan.

Perihal kedua pula berkaitan isi kandungan Perjanjian Hudaibiah iaitu orang Quraisy yang lari ke pihak Islam tanpa kebenaran keluarga dikembalikan semula dan satu lagi; orang Islam yang lari ke pihak Quraisy tidak perlu dikembalikan. Perjanjian ini seolah-olah berat sebelah sehingga ada sahabat yang kurang bersetuju dengan perjanjian ini. Namun Rasulullah SAW sebaliknya menerima dan akur dengan perjanjian tersebut atas dasar mereka yang berada di Mekah dan ingin bersama ke Madinah tetapi tertahan jasadnya tetapi hati mereka telah berubah. Hati yang telah berubah ini tidak akan dapat dicemari atau diganggu gugat walaupun persekitarannya berbeza. Mereka pada zahirnya tidak berubah namun ada peluang untuk mengubah suasana sekitar mereka. Manakala orang yang telah kembali kepada jahiliah walaupun mereka ada di Madinah, hati mereka berpaling hendak kembali ke Mekah. Hakikatnya mereka kekal tinggal di Madinah malah mereka akan menjadi duri dalam daging atau musuh dalam selimut kepada tentera Islam. Melihatkan keadan ini jelas bahawa hijrah itu bukan soal jasad yang berpindah tetapi soal hati; hati kalau ia sudah berubah di mana pun jua ia akan menjadi orang yang boleh mengubah sesuatu. Tetapi kalau hati itu tidak berubah walaupun berada di tempat baik pun dia tidak mendapat manfaat daripada satu kebaikan.

Kisah seterusnya, tentang seorang sahabat ansar sahabat bernama Abdullah bin Thabit. Dalam satu peperangan Abdullah bin Thabit telah membuat persiapan untuk pergi berperang tetapi sebelum berangkat dia telah wafat. Maka pada hari pengebumiannya, anaknya meluahkan rasa terkilannya “Demi Allah, aku berharap sungguh ayah mati syahid kerana ayah sungguh-sungguh telah siapkan kelengkapan”. Perkataan tersebut telah didengari oleh Rasulullah SAW lantas Rasulullah bersabda mafhumnya “Sesungguhnya Allah telah memberikannya pahala berdasarkan kadar niatnya walaupun belum lagi pergi berperang tetapi dia telah menyiapkan persiapannya dan bukan itu sahaja tetapi telah mempersiapkan hatinya. Maka waktu itu dia telah mendapat pahala walaupun belum berperang”.

Jelaslah di sini kepentingan hijrah hati. Walaupun kita sudah berpindah tempat, profesion, jawatan atau sebagainya dari sudut lahiriah tetapi sekiranya hati belum berubah maka kita belum dikatakan berhijrah. Tetapi sebaliknya walaupun tidak berpindah tempat atau apa sahaja dari bentuk fizikal dan meterial tetapi hati telah berubah, maka itu dikira hijrah.

Namun, ini bukan bererti luaran tidak penting. Perubahan dari tidak islamik kepada islamik, dari tidak menutup aurat kepada penutupan aurat yang sempurna, daripada tempat yang kurang kondusif ciri keislamannya kepada tempat yeng lebih kondusif dan banyak lagi yang sememangnya dituntut dari sudut lahiriah. Tetapi yang penting adalah soal hati.

Hijrah yang signifikan dan releven pada masa kini sepertimana yang diterangkan oleh Rasulullah SAW sabdanya “Tidak ada hijrah lagi selepas pembukaan kota Mekah”. Sungguh tiada lagi hijrah selepas pembukaan kota mekah, tetapi Rasulullah SAW ada menekankan bahawa hijrah itu ialah meninggalkan kejahatan. Hijrah itu pergerakan daripada maksiat kepada taat, hijrah itu adalah hijrah jihad dan niat.

Dalam islam, jika ingin melakukan penghijrahan perkara pertama dan utama yang perlu difahami adalah sebab-sebab melakukan kejahatan. Menurut ulama ada tiga sebab manusia melakukan kejahatan. Pertamanya kerana tidak yakin pada Allah. Kemudian tidak yakin pada hari akhirat iaitu syurga dan neraka. Dan akhir sekali terlalu cinta pada diri dan tidak kasih kepada orang lain.

Jelas perbezaan antara percaya dan yakin. Orang Islam hanya percaya tetapi tidak yakin sebab itu orang Islam masih melakukan kejahatan. Percaya dan yakin berbeza kerana percaya itu letaknya di akal namun yakin itu keduduknya di hati. Percaya itu menimbulkan kekuatan pengetahuan berbeza yakin akan menimbulkan kekuatan kemahuan. Percaya itu hanya membuatkan kita berfikir tetapi yakin itu menimbulkan rasa merasai sesuatu. Di sini kita boleh mengetahui impak kepercayaan dan kesan keyakinan. Justru, hijrah hati adalah hijrah dari percaya kepada yakin. Contohnya orang yang tahu Allah mendengar berbeza dengan orang yang yakin Allah mendengar. Namun semua itu tidak menafikan fungsi percaya kerana dengan percaya akan mengesahkan kita beriman dan muslim. Tetapi untuk kita menjadi mukmin yang benar-benar beriman hingga iman itu meresap ke dalam hati hingga memberi impak terhadap pancaindera, perlakuan dan akhlak kita maka tidak cukup hanya sekadar percaya tetapi mesti diresapi ke dalam hati.

Ubahlah dari percaya kepada yakin, ilmu itu bukan hanya apa yang kita ketahui tetapi ilmu itu sesuatu yang kita rasai. Sepertimana kata ulama yang mendefinasikan ilmu sebagai ketibaan makna pada hati kita.

Sesungguhnya yakin pada Allah dan yakin pada hari akhirat adalah soal iman. Tidak terlalu cinta pada diri dan tidak mengasihi orang lain in soal ukhuwah. Kita ingin hijrahkan hati kita kepada iman dan ukhuwwah. Oleh itu, iman dan ukhuwah adalah tonggak kepada hijrah kita InshaAllah.

Hijrah ini adalah soal hati dan soal hati adalah soal yang paling berat. Terkadang kaki berat melangkah kerana hati kita sakit. Terkadang dalam kehidupan kita kita bukan tidak ada, harta kita banyak tetapi kita masih bakhil dan kedekut bukan sebab harta tetapi jiwa kita yang miskin. Oleh itu, dalam kehidupan kita marilah kita muhasabah diri kerana Allah menilai hati kita dan jika hati kita benar-benar telah hijrah akan ringanlah pancaindera kita dan seluruh jasad untuk membuat kebaikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 November 2014

No comments:

Post a Comment