Ustaz Syaari Abdul Rahman
menyambung kembali slot Ibrah di IKIMfm dengan kisah berhubung Nabi
Musa AS dengan Firaun. Rancangan Ibrah ini bersiaran secara langsung
setiap Isnin jam 5.15 petang.
Apabila telah bertembung dua kelompok itu, kelompok Nabi Musa dan Bani Israel, dan Firaun serta tenteranya di Laut Merah, maka berkatalah sahabat-sahabat Nabi Musa “Sesungguhnya kita telah terkepung.” Berkatalah Musa a.s. “Bahkan tidak sama sekali. Sesungguhnya bersamaku Tuhanku, Dia akan menunjukkan padaku petunjuk.” – Surah Asy-Syu’ara’, ayat 61.
Detik cemas yang dihadapi oleh Nabi Musa
a.s. dan tenteranya sedikitpun tidak menggentarkan baginda. Malah Nabi
Musa a.s. menenangkan tenteranya dengan menunjukkan keyakinan yang
tinggi kepada janji Allah s.w.t..
Ustaz Syaari membawa contoh kritikal
yang pernah dihadapi oleh tentera Rasulullah SAW dalam peperangan
Khandak yang berlaku dalam bulan Ramadan dan kemenangannya dalam bulan
Syawal. Rasulullah SAW berdepan dengan situasi genting namun tetap
tenang dan mengungkapkan kata-kata semangat kepada para sahabat dengan
janji-janji kemenagan Islam menakluki dunia.
Kisah Firaun diceritakan di dalam
Al-Quran sebagai peringatan kepada manusia. Manusia yang begitu angkuh
dan bongkak dengan harta dunia yang dimilikinya sehingga mengangkat
dirinya sebagai Tuhan. Walaupun Firaun menganggap dirinya sebagai Tuhan,
sembilan mukjizat Nabi Musa a.s. dan lima peristiwa besar yang berlaku
tanpa mampu Firaun berbuat apa-apa untuk menahannya:
- isteri Firaun memeluk Islam,
- tukang sikat keluarga Firaun, Mashitah memeluk Islam,
- penasihat pemidato Firaun memeluk Islam,
- ahli sihir Firaun memeluk Islam dan
- Qarun ditenggelami bumi
Bahkan ia tidak sedikitpun membuka minda
Firaun untuk kembali kepada Tuhannya, apatah lagi untuk beriman kepada
Allah s.w.t. Firaun sama sekali tidak memilih untuk beriman bahkan
memilih untuk terus menyerang Nabi Musa dan Bani Israel dengan perkataan
yang kesat dan membaling batu bata kepada mereka.
Nabi Musa bersabar dengan kejahatan yang
dilakukan oleh Firaun terhadap baginda dan Bani Israel, sehinggalah
pada akhirnya Maka Nabi Musa memohon doa kepada Allah s.w.t. seperti di
dalam Surah Ad-Dukhan, “Aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhanmu
daripada apa yang kamu baling kami dengan perkataan kesat dan batu-batu
ini. Wahai Firaun jika kamu tidak beriman, maka tinggalkan kami sendiri.” Namun Firaun memilih untuk terus menggangu mereka. Lalu Nabi Musa a.s. berdoa kepada Allah s.w.t “Sesungguhnya mereka itu orang-orang yang selalu berbuat dosa.”
Inilah doa Nabi Musa kepada Allah supaya memusnahkan segala harta benda
milik Firaun. Harta benda ini bukan sahaja menjadikan Firaun terus
berlagak sombong dan yakin bahawa dirinya akan hidup lebih lama di dunia
ini, malah telah mengunci mati hatinya untuk beriman kepada Allah
s.w.t. Doa Nabi Musa dimakbulkan Allah, maka kesemua harta milik Firaun
telah bertukar menjadi batu.
Firaun mengarahkan untuk memburu Bani
Israel namun usaha mereka gagal kerana Allah telah mengwahyukan Nabi
Musa supaya Bani Israel berhijrah meninggalkan bumi Mesir menuju ke
Palestin. Firaun mengarahkan bala tenteranya untuk memburu Nabi Musa dan
Bani Israel. Allah menyifatkan inilah peristiwa di mana Firaun
meninggalkan istananya buat kali terakhir menuju ke Lautan Merah.
Kisah Nabi Musa a.s. ini diceritakan
antaranya di dalam Surah Asy-Syu’ara’, Surah Ad-Dukhan, Suruh Yunus dan
Surah Toha. Antara hikmahnya adalah untuk memberikan gambaran yang
sempurna kepada mereka yang membaca Al-Quran bagaimana Allah memberi
kehinaan kepada hamba-Nya yang bernama Firaun, yang kononnya menganggap
dirinya sebagai Tuhan.
Menurut sesetengah Ulama’, jumlah Bani
Israel yang telah dikumpulkan daripada 12 wilayah adalah seramai 600,000
orang. Arahan Allah SWT kepada Nabi Musa untuk keluar dari Mesir menuju
ke Palestin adalah dengan melalui selatan bumi Sinai dan akhirnya
menyebabkan mereka terkepung oleh tentera Firaun di belakang dan lautan
di hadapan mereka. Tongkat Nabi Musa yang merupakan mukjizat Allah
kepada baginda telah membelah laut Merah kepada dua bahagian dan
kedua-dua bahagian tersebut adalah seperti gunung yang terlalu tinggi.
Itulah perancangan Allah SWT yang apabila Allah mengilhamkan kepada Nabi
Musa dan beliau mematuhinya, sudah pasti Allah akan membuka jalan
keluarnya iaitu dengan memberikan mukjizat kepada Nabi Musa membelah
laut.
Ustaz Syaari menganjurkan para pendengar
untuk menyemak kisah Nabi Musa a.s. secara ilimiah dan jangan
sekali-kali menggambarkan kisah ini melalui filem atau gambaran yang
tidak selari dengan Al-Quran. Saranan beliau supaya para pendengar
membaca kajian Ron Wyatt, iaitu seorang ahli arkeologi yang menemui
tinggalan roda yang dipercayai daripada kereta kuda pada zaman Ramses II
(Firaun) serta rangka manusia dan kuda di satu lokasi di Nuweiba,
selatan Sinai, di Teluk Aqabah.
Purata kedalaman di bahagian Teluk Aqaba
adalah 400 meter. Namun, terdapat satu lokasi di Teluk Aqaba airnya
cetek dengan kedalaman hanyalah 33 meter dan mempunyai laluan di bawah
laut sepanjang 13 kilometer menghubungkan antara Mesir ke Arab Saudi.
Kisah Nabi Musa sudah pasti tidak dapat difikirkan melalui logik akal
manusia, bagaimana Nabi Musa dan Bani Israel yang dikepung boleh
menyelamatkan diri. Tetapi dengan kuasa Allah akhirnya Firaun yang
menganggap dirinya Tuhan tidak dapat menyelamatkan diri sendiri, apatah
lagi tenteranya daripada ditelan oleh Laut Merah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 26 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment