Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan I

Segala puji bagi Allah, yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Semoga dengan rahmatNya kita beroleh petunjuk dalam urusan kehidupan dunia dan akhirat. Setiap insan tentu ada melalui saat getir dalam hidup. Saat di timpa musibah, hati menjadi resah gelisah, hidup menjadi tidak tenang, sesuatu pekerjaan dirasakan serba tidak kena, fikiran tidak menentu, dan apabila semakin berat beban yang ditanggung ada kalanya terdetik dihati seperti hidup ini sudah tidak ada harapan lagi.

Cuba kita renungkan apakah kita pernah melalui saat getir seperti itu? Dan cuba renungkan apakah ada sesuatu perkara  atau seseorang yang  memberikan kita semangat dan harapan untuk meneruskan kehidupan ketika dilanda ujian-ujian tersebut dalam hidup. Demikianlah pembuka bicara dalam perkongsian kali ini bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin menerusi Rancangan ‘Pesona D’Zahra’ bersiaran di IKIMfm minggu lalu yang disiarkan jam 10.15 pagi, berbicara tentang “Manusia Dan Harapan”.  Adalah menjadi fitrah bahawa setiap manusia mempunyai harapan. Harapanlah yang membangunkan setiap insan untuk mencapai cita-citanya. Harapan lazimnya dimulai dari angan-angan yang seterusnya diperjuangkan agar menjadi kenyataan. Harapan seseorang muslim haruslah sesuatu dari hati, ditimbang dengan akal, dan ilmu dari yang Memberi harapan, Allah SWT.

Walaubagaimanapun ketika meniti usaha mencapai harapan dan impian itulah keimanan dan kekuatan seseorang itu diuji. Jika dilihat resam kehidupan, kita dapati ada manusia yang senang hidupnya, ada pula yang yang hidup dalam serba kekurangan dan kesusahan. Seringkali jika kita melihat orang lain yang kelihatan kedudukan atau keadaannya lebih baik dari kita, kita kan merasa harapan mereka telah dipenuhi. Tetapi jika kita kenali mereka dengan dekat kita akan dapati bahawa sesungguhnya setiap orang sebenarnya melalui saat-saat susah dan senang, derita, gembira atau sedang dilanda ujian, yang kadangkala realitinya berbeza dari apa yang kita lihat dengan mata kasar.

Ujian dan cabaran datang dalam pelbagai bentuk untuk menguji sejauhmana tekad kita mencari kejayaan kepada harapan tadi.  Perbezaan sesuatu harapan oleh orang yang beriman dengan mereka yang harapannya bersandarkan kepada hawa nafsu, adalah orang yang  beriman kepada Allah akan berharap kepada perkara kebaikan didunia dan akhirat serta sentiasa yakin bahawa janji Allah itu pasti benar dan akan berusaha bersabar dalam menghadapi segala ujian yang datang dalam hidup.

Menurut Ustaz  Muhamad berkaitan  “Harapan dan Manusia” , harapan merupakan sesuatu keinginan agar sesuatu hal terjadi. Dikatakan bahawa manusia tak akan pernah hidup tanpa harapan. Beliau menyebut dalam usaha membawa harapan kepada realiti, kita haruslah melakukan sebanyak-banyaknya kebaikan dalam hidup. Ini kerana jika dilihat kepada “Aturan Kehidupan”, semua yang berbuat baik akan dibalas baik. Hanya bila dan bagaimana kebaikan itu dibalas adalah rahsia Allah swt. Ada yang mendapati kebaikan mereka dibalas di dunia dengan kebahagiaan dan kasih sayang dari yang tersayang, kejayaan dari segi kerjaya, pendidikan, harta benda, anak-anak dan sebagainya. Namun ada juga sesetengahnya balasan kebaikan mereka itu  ditangguh hingga ke suatu masa yang diketahui Allah swt sahaja, seperti ganjaran di akhirat yang berlipat ganda. Maka sekiranya kita mempunyai harapan dalam hidup yang ingin dicapai, lakukanlah kebaikan kepada orang disekeliling kita, kerana kebaikan tadi diharap akan membawa kepada redha Allah, dan perbanyakkanlah ibadah dan berdoa kepada Yang Maha Memberi.

Terdapat banyak kenyataan dari Al-Quran dan Sunnah yang menegaskan tentang janji Allah kepada orang-orang beriman, dan beramal soleh dalam mencari kemenangan dan kejayaan. Antaranya:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – Surah Al-Baqarah ayat 155. Allah swt juga berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 66).
Allah swt tidak mungkin melanggar janjiNya. Inilah harapan dan impian yang tersemat dalam diri orang beriman. Namun, harapan dan impian ini hanya akan hadir bila seseorang itu mempunyai ilmu tentang kekuasaan Allah swt keatas takdir hamba-hambaNya.  Orang yang beriman juga percaya sesuatu kejayaan itu tidak mungkin menjadi kenyataan melainkan dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Ini kerana sunnah Allah menetapkan bahawa rezeki Allah tidak datang kepada manusia tanpa berusaha, mencari dan bekerja dan sesungguhnya Allah swt  tidak akan mensia-siakan pahala orang yang melakukan pekerjaan yang terbaik.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.  (Surah Al-Ankabut ayat 69).

Justeru dengan berbekal ilmu tentang kekuasaan Allah swt, ia memberikan motivasi kepada mereka yang berharap, yang menghadapi ujian agar bersangka baik kepada Allah SWT. Mereka akan melakar harapan dan menghadapi ujian selari dengan rahmat Allah swt dengan bertunjangkan kenyataan bahawa:

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya.” [Surah Al Baqarah ayat  286]. Dan  “Aku adalah berdasarkan sangkaan baik hambaKu terhadapKu, maka bersangka baiklah tentang-Ku seperti apa yang diingini.( Hadis riwayat Ahmad)

Yang pasti, yakinlah setiap kesusahan dalam usaha mencapai harapan, adalah sebagai permulaan untuk Allah berikan kesenangan kepada diri kita. Surah Al Insyirah ayat 5 Allah swt berfirman:  “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan”.

Minggu hadapan Rancangan Pesona D’Zahra akan bersambung dengan perkongsian lebih lanjut tentang harapan dan manusia oleh Ustaz Muhamad yang akan menyentuh tentang apakah jenis harapan yang diimpikan kita. Nantikan perkongsian minggu hadapan di IKIMfm bagi mengetahui bagaimana cara yang diredhai Allah swt dalam melakar harapan sebagai orang yang beriman di dunia dan akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
 edisi 1 September 2014

No comments:

Post a Comment