Sunday 16 November 2014

Adab Menuntut Ilmu Melalui Kisah Nabi Musa

TANPA menafikan pelbagai hikmah dan pengajaran melalui kisah Nabi Musa yang panjang diceritakan oleh Allah Taala di dalam al-Quran, kisah Nabi Musa juga tidak hanya berdiri melalui surah Makiyyah semata-mata tetapi merentet melalui surah Madaniyyah.
Begitulah istimewa perbincangan yang dikupas oleh Ustaz Muhamad Syaari Abdul Rahman setiap minggu pada hari Isnin pukul 5.15 petang dalam rancangan Ibrah ini.

Seperti dimaklumi, selain tidak terhimpun di dalam satu surah, malah kisah Nabi Musa ini tidak diturunkan melalui himpunan satu surah yang dinamakan ‘Surah Musa’. Hal keadaan ini berbeza dengan cerita tentang Nabi Yusuf malah satu surah yang dinamakan Surah Yusuf juga terdapat di dalam al-Quran.


Dalam perbincangan kali ini, Ustaz Syaari membawa pengembaraan melalui satu surah yang dinyatakan ulama sebagai surah yang membentengi umat Islam daripada fitnah akhir zaman dan dajal iaitu Surah Al-Kahfi.
Dalam al-Quran, Allah Taala menjelaskan, Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”. Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah. (Surah Al-Kahfi ayat 60-61)
Siapakah dua orang yang dimaksudkan tersebut?  Di dalam surah al-Kahfi, Allah menceritakan kisah Nabi Musa dan Nabi Khidhir. Siapakah Nabi Khidhir? Bagaimana pertemuan di antara Nabi Musa dan Nabi Khidhir berlaku? Dimana pula pertemuan berlaku?

Pelbagai pandangan ulama berkenaan sela masa pertemuan di antara kedua-dua Nabi ini. Walaubagaimanapun, Ustaz Syaari menjurus pandangan ulama yang memperincikan sewaktu selesainya Nabi Musa mentarbiah semua golongan melalui kisah dakwah panjangnya.

Pertemuan di antara Nabi Musa dan Nabi Khidhir inilah yang akan menjadi perbincangan pada kali ini. Nabi Musa amat berhati-hati dan menghormati gurunya itu.

Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Surah Al-Kahfi ayat 66)

Memilih kata-kata yang lembut adalah amat penting bagi Nabi Musa kerana berhadapan dengan seorang guru yang bijaksana dan alim. Dengan permintaan ingin menuntut ilmu kepada Nabi Khidhir itu disuarakan di dalam satu pertemuan yang amat penting.

Lalu, Nabi Khidhir berkata, “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku. (Surah Al-Kahfi 67)

Nabi Musa tidak berputus asa dan sentiasa mencari peluang untuk menuntut ilmu kepada Nabi Khidhir. Lalu baginda pun berkata, “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”. (Surah al-Kahfi 69)
Mendengarkan permintaan itu, Nabi Khidhir pun menjawab seperti yang dikisahkan dalam surah al-Kahfi pada ayat ke-70, “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu”.
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”. (Surah al-Kahfi 71)

Lantas, Nabi Khidhir pun menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah al-Kahfi 72)

Kegagalan memahami kata-kata tuan guru seperti yang disandarkan di dalam kisah ini menjadi tauladan penting kepada anak-anak murid yang sedang menuntut ilmu untuk tidak berhujah dan memberikan respon sekiranya tidak dianggap penting. Peristiwa ini yang menjadi pedoman kepada pelajar (tholib) untuk sentiasa menjadi seorang yang taat dan dengar setiap arahan yang diberikan oleh guru.

Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”. (Surah al-Kahfi 73)

Memilih kata-kata untuk berinteraksi dengan guru juga adalah adab yang penting ditunjukkan Nabi Musa sewaktu berhadapan dengan Nabi Khidhir.

Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”

Nabi Khidhir lalu menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?” (Surah Al-Kahfi 75)

Mendengarkan hal tersebut, Nabi Musa berasa bersalah kerana amanah untuk menjadi seorang anak murid tidak dapat dituruti oleh Nabi Musa dengan baik. Namun, akhlak dan adab yang ditunjukkan oleh Nabi Musa untuk terus bertawaduk kepada seorang guru yang amat dimuliakan itu.

Dengan rendah diri, Nabi Musa pun berkata, “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”. (Surah al-Kahfi 76)

Mawdudi berkata, kitab Taurat tidak menceritakan kisah Nabi Musa bertemu dengan Nabi Khidhir. Dalam banyak perbahasan, kisah ini telah dibuang di dalam kitab Taurat.

Kemudian kedua-dua mereka berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu mereka membinanya. Nabi Musa berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”

Nabi Khidhir pun menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (Surah al-Kahfi ayat 78)

Lalu Nabi Khidhir pun menerangkan satu persatu hal berkenaan perkara yang menjadi ketidaksabaran Nabi Musa itu melalui ayat di dalam surah al-Kahfi ini.

Nabi Khidhir berkata, Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”. (Surah al-Kahfi 82)

Mengenang kisah di antara Nabi Musa dan Nabi Khidhir ini menunjukkan betapa pentingnya adab seorang anak murid terhadap gurunya agar tidak membantah setiap perbuatan gurunya itu selagi tidak menjauhkan ketaatanNya kepada Allah Taala.
 
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 November 2014

No comments:

Post a Comment