Sunday 2 November 2014

Tarbiah - Kesederhanaan Jalan ke Syurga

Kesederhanaan Jalan ke Syurga -
Ustaz Sharizan Daud at-Turabi

Kesederhanaan adalah budaya yang telah diterapkan oleh Rasulullah SAW. Budaya sederhana yang dianjurkan Islam cukup indah dan mendaulatkan prinsip keadilan serta kemanusiaan kepada setiap insan dalam membina generasi Islam yang begitu mantap dan berkualiti.

Menurut para ulama, kesederhanaan bukan bererti pertengahan semata-mata tetapi merupakan suatu kebaikan dan kelebihan kepada sesiapa sahaja yang mengamalkannya. Memetik kata-kata alim ulama, kebaikan terletak di antara tengah-tengah dua keburukan. Ini bermakna memilih untuk bersederhana adalah pilihan yang membawa kepada kebaikan. Manakala keberanian adalah suatu kelebihan.

Penceramah tersohor, Ustaz Sharizan Daud at-Turabi melalui rancangan Tarbiah, berkongsi tentang erti kesederhanaan sebagai jalan menuju syurga Allah agar umat Islam tidak terkeliru dalam memahami makna sebenar kesederhanaan yang dianjurkan oleh ajaran Islam.

Mengambil petikan ayat suci al-Quran yang bermaksud “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian. (Al- Furqan: 67)
Ayat ini mengajak umat Islam supaya memilih kehidupan yang sederhana sebagai satu pilihan terbaik, tidak kedekut dan tidak boros atau berlebihan dalam melakukan sesuatu perkara sehingga perbuatan mereka dikutuk Allah swt. Menelusuri sejarah, Ustaz Sharizan mengambil kisah Abu Darda’ dan Salman al-Farisi sebagai suri teladan.

Salman Al-Farisi sangat terkenal sebagai seorang mukmin yang kuat beribadat, bersifat rendah diri dan tiada langsung tertarik dengan kehidupan dan kemewahan duniawi. Beliau amat terkenal dengan sifat taqwa dan zuhudnya. Beliau juga merupakan seorang tokoh sahabat nabi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis  daripada Rasulullah SAW kerana beliau adalah salah seorang sahabat yang banyak bergaul dengan baginda Rasulullah SAW sendiri.

Pernah suatu ketika juga beliau tinggal serumah bersama dengan Abu  Darda’ yang terkenal sebagai seorang ahli sufi, yang mempunyai kebiasaan melakukan ibadah pada waktu malam dan berpuasa diwaktu siang. Oleh yang demikian Salman telah melarangnya dari keterlaluan beribadah seperti itu lantas menegur Abu Darda’ dengan penuh hikmah dan lemah lembut.
“Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu, Di samping engkau berpuasa, berbukalah dan disamping melakukan solat tidurlah.”
Peristiwa ini  telah sampai  ke pendengaran Rasulullah SAW maka baginda pun bersabda mafhumnya“Sungguh, Salman telah dipenuhi dengan ilmu.”

Kisah Abu Darda’ dan Salman al Farisi telah menggambarkan kepada kita bahawa dalam hidup ini setiap dari kita mempunyai hak ke atas yang lain. Setiap anggota badan kita mempunyai hak antara satu sama lain. Oleh itu hendaklah berpada-pada dalam setiap tindakan agar kita tidak terjerumus dalam perbuatan yang membawa kepada dosa.

Apabila kita berbiacara tentang erti kesederhanaan, Sebagai mukmin kita telah mempunyai contoh tauladan iaitu Rasulullah SAW sebagai ikutan kerana baginda adalah orang yang paling mulia dan hebat, dalam masa yang sama baginda seorang yang seimbang dalam menjalani kehidupannnya. Baginda adalah ahli ibadat tetapi baginda juga adalah orang yang menyantuni ahli keluarganya, mempunyai waktu bersama sahabat dan teman-temannya, ada waktu untuk rehatnya dan memiliki waktu untuk kehidupannya.

Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizim Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sebaik-baik perkara ialah yang paling sederhana”.

Ustaz Sharizan juga merungkai tentang konsep sederhana dalam pelbagai aspek kehidupan kita seperti bersederhana melalui cara berpakaian seperti yang dianjurkan oleh Islam. Konsep wassatiyah atau sederhana dalam berpakaian yang dianjurkan oleh Islam tidak berlebih-lebihan. Contohnya pakaian yang bersih dan kemas, yang memberi keselesaan kepada orang yang memandang dan kita yang memakainya, bukan berpakaian yang menonjolkan kemewahan diri sehingga menimbulkan fitnah kepada diri kita sendiri.

Begitu juga kata Ustaz Sharizan dalam apa yang kita lakukan mesti ada batasannya. Tidak kira sama ada dalam bidang pekerjaan atau malah ibadah sekalipun kita dianjurkan untuk tidak melampaui batas sehingga boleh menjejaskan tuntutan lain dalam kita melaksanakan tanggugjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Sebagai contoh, seseorang yang melampaui dalam ibadahnya kepada Allah sehingga melupai tanggungjawab mencari rezeki yang menyebabkan keluarganya terabai. Perbuatan ini ditegah oleh Islam kerana ia tidak menepati erti kesederhanaan yang dianjurkan Islam walaupun ada hadis yang menyebut bahawa ‘ bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup untuk selama-lamanya dan beribadahlah kamu seolah-olah kamu akan mati pada esok hari’.

Hakikatnya Islam tidak menghalang setiap hambanya untuk melaksanakan pekerjaan secara maksimun tetapi Islam datang kepada manusia untuk membimbing kita agar sentiasa seimbang dalam melaksanakan apa juga pekerjaan. Memetik kata-kata Salman al-Farisi, setiap anggota badan manusia mempunyai hak antara satu sama lain. Sebagai contoh tangan, kaki, badan dan seluruh anggota badan hendaklah diberi hak masing-masing supaya ia tidak merosakkan atau memberi kemudaratan kepada diri kita sendiri.
Konsep wassatiyyah atau kesederhanaan dalam perkerjaan dengan memegang nilai halal dan toyyiba seperti anjuran Islam. Jika konsep sederhana benar-benar dihayati, seseorang manusia itu akan dapat mengawal kehendak hawa nafsu yang menjurusnya menuju ke neraka.

Allah S.W.T dan Rasulullah SAW sering mengingatkan kita agar mengawal hawa nafsu dan tidak berlebihan di dalam melakukan sesuatu. Ini adalah karena hawa nafsulah yang selalu menjeruskan manusia ke kancah kebinasaan. Firman Allah SWT di dalam ayat 71 Surah Al-Mukminun yang bermaksud “Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi beserta isinya.”

Disebabkan kegagalan mengawal hawa nafsu ini, kita sering melakukan pemborosan dan berlebihan. Kita berbelanja lebih daripada keperluan kita yang kita perlukan, sedangkan masih banyak lagi yang lain yang lebih memerlukan bantuan untuk menampang kehidupan mereka.

Dengan itu setiap manusia hendaklah menerapkan sifat kesederhanaan dalam kehidupan kerana sederhana itu ada pertaliannya dengan nilai qana’ah atau kecukupan dalam rezeki kita. Hidup yang berakah adalah lebih diperlukan dalam kehidupan kita berbanding kehidupan mewah tetapi sering tidak berkecukupan. Hidup yang qana’ah akan membawa kebahagiaan hakiki dan kehidupan yang sederhana akan menemukan kita jalan menuju syurga Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 24 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment