Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Ilmu Debat Anugerah Tuhan

Kemahiran komunikasi merupakan anugerah Allah Taala kepada manusia selaku hamba-Nya bagi melaksanakan tugas fungsinya sebagai seorang khalifah. Justeru, manusia digalakkan mendalami ilmu komunikasi yang berkesan supaya dakwah menyeru kepada kebenaran dapat disampaikan dengan jelas dalam proses pentarbiahannya.
Di dalam al-Quran, Allah Taala menjelaskan menerusi Surah Taha ayat 25-28 yang bermaksud, “Berkata Musa, Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku supaya mereka mengerti perkataanku.”
Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah Taala agar dimudahkan urusan berhadapan dengan Firaun agar lidahnya fasih untuk menyeru dia (Firaun) ke arah kebenaran dan kembali kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Firaun amat mengenali akan kelemahan yang ada pada Nabi Musa kerana beliau memelihara Nabi Musa sejak dari kecil.

Perbincangan rancangan Ibrah pada minggu ini mengungkap dialog dan komunikasi yang diperincikan di antara Nabi Musa a.s. dan Firaun sewaktu diperintahkan Allah agar Nabi Musa masuk ke dalam istana Firaun. Biarpun kebimbangan yang berlaku terhadap dirinya namun atas perintah Allah Nabi Musa menurutinya. Ustaz Syaari Abdul Rahman memulakan dengan mengungkapkan Firman Allah SWT di dalam Surah As-Syuaara’ ayat yang ke-15 yang bermaksud, “Jangan fikir akan berlaku apa yang engkau bimbangkan itu. Oleh itu pergilah kamu berdua membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran kamu); sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu mendengar.”


Istana Firaun Saksi Perdebatan

Istana Firaun menjadi saksi bahawa seorang utusan Allah berdialog dengan Firaun atas keangkuhannya tidak mahu menyembah dan beriman kepada Allah. Penjelasan ini dibicarakan di dalam Surah As-Syuaara’ ayat 16-17 yang bermaksud, “Maka pergilah kamu kepada Firaun kemudian katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Lepaskankanlah Bani Israel bersama kami.”
Mendengar perutusan demikian, maka dengan sombong dan angkuh Firaun menjawab, “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun daripada umur kamu?”
Firaun dengan sengaja mengalihkan isu kepatuhan dan kebenaran untuk beriman kepada Allah dengan menggunakan hujah supaya Nabi Musa mengenal diri sendiri terlebih dahulu serta mengingati jasa dan budi membesarkannya di dalam jagaan sejak dari kecil. Biarpun helah Firaun menggunakan psikologi agar Nabi Musa merenung sejenak dan berfikir tentang asal-usul dirinya kerana merasakan Nabi Musa terlalu hina untuk berbicara persoalan berkenaan dengan ketuhanan, Nabi Musa tidak menganggap perkara itu sebagai melemahkan semangatnya untuk berundur daripada berhadapan dengan Firaun.

Walaupun demikian, Firaun sengaja mencipta ancaman untuk melemahkan Nabi Musa dengan perihal jenayah yang pernah dilakukan oleh Nabi Musa pada zaman lalu. Firaun berkata seperti firman Allah dalam al-Quran, “Dan bukankah engkau telah melakukan satu perbuatan jenayah dan telah engkau lakukan, dan dengan itu engkau dari orang-orang yang tidak mengenang budi?” 

Firaun merasakan dengan kekuatan hujah berkenaan akan melemahkan Nabi Musa kerana isu-isu peribadi telah dibangkitkan malah akan dibongkarkan kepada umum tentang kes jenayah yang pernah dilakukan sebelum itu.

Namun, Nabi Musa dengan tenang lantas menjawab, “Aku melakukan perbuatan demikian sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri daripada kamu ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan aku ilmu pengetahuan agama, dan menjadikan aku seorang Rasul-Nya.”
Nabi Musa menjawab lagi, “Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israel.”
Perdebatan di antara Nabi Musa dan Firaun tidak terhenti di situ kerana Firaun merasa tercabar dengan jawapan pantas yang diberikan oleh Nabi Musa yang dianggap akan mati hujah dan tidak mampu membalasnya. Walaubagaimanapun, Firaun mengalihkan isu yang sedang diperdebatkan pada waktu itu dengan bertanya kepada Nabi Musa, “Apa dia Tuhan sekalian alam itu?”
Nabi Musa menjawab, “Dialah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya – kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya.” Dialog perdebatan ini dijelaskan melalui ayat al-Quran Surah as-Syuaara’ ayat 18 hingga 24.

Penguasaan terhadap ilmu debat amat penting ketika berhadapan dengan pihak lawan. Nabi Musa menggunakan masa yang singkat untuk menjawab perkara yang penting yang ditimbulkan oleh Firaun sedangkan lawannya sentiasa bertukar-tukar isu. Hal ini juga menjadi perkara yang penting kepada daie pada hari ini kerana seringkali berhadapan dengan persoalan-persoalan yang timbul di kalangan umat pada hari ini bagi mendapatkan penjelasan-penjelasan jelas dan bernas. Sama ada berhadapan dengan kumpulan bukan Islam atau sebagainya, kefahaman yang mendalam amat penting di dalam berhujah. Hujah yang bersandarkan ilmu juga akan menggambarkan kekuatan individu tersebut berbanding hujah yang polos dan tidak memberi apa-apa makna di dalam perdebatan itu.

Menjelaskan lanjut dialog di antara Nabi Musa dan Firaun, keadaan istana Firaun pada waktu itu terdiam seketika. Pengawal dan menteri yang berada di dalam istana membisu melihat kepintaran Nabi Musa berhujah sehingga menjadikan Firaun berkata kepada orang-orang di sekelilingnya di dalam istana : “Tidakkah kamu dengar apa yang dikatakan olehnya?”

Firaun merasakan menterinya tidak mampu untuk membantunya menjawab hujah-hujah yang dilontarkan oleh Nabi Musa dan menganggap Nabi Musa telah menang dalam perdebatan tersebut.

Nabi Musa menegaskan lagi, “Dialah Tuhan yang memiliki dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu.” Persoalan ini mengingatkan Firaun bahawa Dialah Allah yang menjadikan dirinya serta datuk neneknya. Justeru bagaimana pula sekiranya wajar disandarkan bahawa Firaun itu berkuasa sedangkan datuk dan neneknya juga dicipta oleh Allah, tuhan sekalian alam.

Kisah keingkaran Firaun untuk beriman kepada Allah serta mengesakannya diperjelaskan melalui ayat-ayat Allah ini. Sesungguhnya penguasaan ilmu debat Nabi Musa sewaktu berhadapan dengan Firaun wajar dijadikan kemahiran penting bagi melengkapkan jiwa dan jatidiri umat Islam yang benar-benar memahami Islam sebagai agama yang lengkap.

Tauhid menjadi asas kepada Nabi Musa bagi memperkenalkan Firaun kepada Tuhannya. Sikap sabar Nabi Musa dan tenang di dalam menjawab setiap hujah yang dilontarkan tidak mematahkan semangatnya untuk berundur daripada berhadapan dengan keingkaran yang ditunjukkan. Perjalanan kisah Nabi Musa dan Firaun ini akan diperincikan pada minggu hadapan melihat sejauhmana kekuatan dalaman dan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang taatkan perintah Allah.

Sesungguhnya keilmuan Allah mengatasi segalanya. Biarpun Firaun menunjukkan kebongkakkannya, tetapi Nabi Musa tetap tidak pernah kecewa dan lemah berhadapan dengan cabaran yang seringkali diuji oleh Firaun.

Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh 
25 Julai 2014 dalam segmen Agama

No comments:

Post a Comment