Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Akhlak Buah Ilmu yang Diamalkan

Ilmu amatlah penting dalam kehidupan manusia. Dalam Islam menuntut ilmu adalah diwajibkan ke atas setiap orang muslim. Seseorang Muslim dapat memelihara akhlaq dan peribadinya dengan ilmu dan mempergunakan akalnya untuk mendapat petunjuk daripada Allah Swt atas segala urusan dalam kehidupan. Oleh itu, di sisi Islam, menuntut ilmu adalah amalan fardhu dan mulia bagi setiap muslim dan muslimah. Sebagaimana Sabda Rasulullah saw “Mencari ilmu adalah fardhu ke atas setiap muslim “(Hadis Ibnu Majah).
Ilmu letaknya di hati yang memandu perbuatan pemiliknya dalam meniti kehidupan. Sepertimana mencari ilmu itu adalah amat penting, seseorang itu juga dituntut  mengamalkan apa yang didasari dengan ilmu yang telah dipelajarinya. Sabda Nabi Muhammad SAW ertinya: “Sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah yang berterusanwalaupun sedikit.” (Muttafaq ‘alaih)

Oleh itu, seseorang penuntut ilmu agama hendaklah membersihkan hatinya supaya ilmu dan amal yang diusahakannya adalah semata-mata kerana Allah swt, dan bukan kerana kepentingan dunia.

Justeru yang turut sama perlu diperhatikan ketika menuntut ilmu adalah hati. Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana dengan hati yang bersih, ia akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.

Namun begitu, mengetahui atau mempelajari sesuatu ilmu itu bukan lah semudah mengamalkannya. Seseorang yang beriman dan berilmu dengan hati yang ikhlas akan berusaha untuk memanfaatkan ilmu yang dimiliki kepada dirinya dan orang lain. Memanfaatkan ilmu terutama ilmu agama melalui perbuatan juga adalah sangat mulia dan ia hanya dapat dilakukan apabila sesuatu ilmu itu berjaya diturunkan ke hati.

Dalam pengisian program Pesona D’Zahra di IKIMfm Isnin lalu, Ustaz Muhamad bin Abdullah al-Amin menjelaskan berkenaan apa yang disebut sebagai menurunkan ilmu kehati itulah yang dikatakan “latihan” atau Mujahadah.

Beliau juga menggariskan tiga perkara yang perlu dikuasai oleh seseorang ketika melakukan mujahadah hati dan melaksanakan ilmu yang difahami. Tiga perkara tersebut adalah  kemarahan, ketakutan dan kesedihan.


Mujahadah ke atas sifat-sifat diatas adalah  latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang negatif, yang didorong oleh hawa nafsu.  Melawan hawa nafsu bukanlah mudah kerana bukan hanya mereka yang kurang berilmu lemah dalam mengawal hawa nafsu tetapi adakalanya individu yang berilmu tinggi juga adakalanya teruji dengan kegagalan mengawal sifat marah, takut dan sedih dalam kehidupan mereka.

Makhluk ciptaan Allah swt yang bergelar manusia memiliki emosi. Emosi adalah perasaan yang ada pada setiap diri manusia seperti perasaan gembira, sedih, marah, suka, kecewa, takut, murung dan sebagainya.  Di dalam kehidupan seseorang muslim, memahami jenis dan tahap emosi adalah perlu dan penting, kerana Islam menuntut setiap umatnya untuk membawa kehidupan dan tingkahlaku mereka menuju kepada kebaikan. Tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah, lemah dan tidak berpengetahuan akan membawa kepada kehinaan, huru-hara dan persengketaan serta mendatangkan pelbagai kesan buruk dalam kehidupan.

Walaupun sifat marah, takut dan sedih itu adalah normal dalam menghadapi kehidupan, ia perlu dipandu agar tidak memberi mudarat kepada seseorang muslim. Bagi Muslim yang benar-benar memiliki takwa, sememangnya mudah untuk menghindari sifat marah dalam diri. Sifat marah dikatakan antara punca berlakunya masalah yang lebih besar.

Menguasai Sifat Marah

Justeru, setiap individu Muslim harus sedar, jika mereka gagal mengawal kemarahan dalam diri, bererti mereka tewas dengan tipu muslihat syaitan. Menjauhi sifat marah antara nasihat peninggalan Rasulullah. Perkara itu dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa ada seorang lelaki (Abu Darda’) berkata kepada Rasulullah: “Berikanlah aku nasihat,” Bagi­nda bersabda: “Jangan marah”. Maka orang itu mengulangi permintaannya beberapa kali, Nabi menjawab: “Jangan marah”. (Hadis Bukhari).

Perkara ini dijelaskan lagi Rasulullah dalam sebuah hadis lain. Pada satu ketika, terdapat dua orang yang saling mencela di sisi Rasulullah. Seorang mencela lawannya dengan penuh kemarahan hingga berubah wajahnya. Maka Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya aku ajarkan satu kalimah yang kalau diucap­kan, pasti hilang apa yang ada padanya. Iaitu sekiranya dia mengucapkan: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sememangnya umat Islam dikehendaki sentiasa memohon perlindungan daripada Allah supaya dijauhkan daripada syaitan yang dilaknat. Selain itu berusahalah mengawal marah dengan memohon perlindungan dari Allah swt dengan membaca ta’awwuz (a’uzu billahi min al-shaytan al-rajim) dan berwudhuk. Rasulullah SAW juga menganjurkan supaya umat Islam yang sedang dikuasai sifat marah untuk mengubah keadaan fizikal mereka ketika itu.
Sabda Rasulullah: “Jika salah seorang antara kamu marah sedang pada saat itu dia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah dia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah dia berbaring.” (Hadis riwayat Abu Dawud dan Ahmad).

Jelaslah disini usaha mengawal marah itu diiringi dengan sifat sabar yang amat tinggi. Ia juga hanya boleh dilakukan dengan mengetahui bahawa darjat orang-orang yang sabar amat tinggi di sisi Allah.

Cara melatih mengawal sifat marah diri dengan baik adalah dengan menghadapi ujian-ujian yang menyebabkan punca kemarahan diri. Tidak diketahui orang-orang yang penyabar kecuali apabila datangnya apa yang menyebabkan kemarahan manusia.

Menguasai Sifat Takut dan Sifat Sedih 

Tidak seorangpun menginginkan jiwa gelisah dan sedih. Namun dunia adalah tempat diuji. Ujian yang sering ditakuti oleh manusia adalah kehilangan sesuatu yang difikirkan sebagai miliknya. Ada yang takut akan kematian diri sendiri dan orang tersayang, sedangkan Islam mengajar kita untuk bersedia menghadapi kematian. Tidak kurang juga ada yang takut pada kemiskinan sedangkan rezeki seseorang hamba itu adalah dibawah jagaan Allah SWT Yang Maha Pemurah.

Muslim yang berilmu dan bermujahadah akan mengetahui nilai nikmat dunia yang dipinjamkan oleh Allah swt kepada hamba-hambaNya. Rasulullah S.A.W, mengatakan:“Teruslah mengingat mati, karena hal tersebut akan mengesampingkan kesenangan dunia.” – [Tirmidhi]
Allah SWT berfirman…. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun”. Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh”…  An-Nisaa, 4:77-78]
Orang yang memiliki ilmu berkenaan hakikat bahawa semua yang ada didunia ini adalah milik Allah dan dibawah kekuasaan Allah SWT, tidak akan mudah berasa takut pada yang ciptaanNya, bahkan yang ditakuti dan diharapkan hanyalah semata-mata kepada mendapat redha dan rahmat daripada Allah SWT, Tuhan yang menciptakan segala keindahan dan nikmat di dunia ini.

Mengusai sifat takut yang ada dalam diri dengan mengetahui nilai dunia disisi Allah SWT tempat sementara manusia mencari sebanyak-banyaknya pahala sebelum menghadapi kematian  akan seterusnya  menyebabkan seseorang itu lebih mudah mengawal kesedihan apabila diuji dengan dugaan hidup.

Semua sifat ini akan berjaya dikuasai dengan satu jalan iaitu melatih diri menghadapi kesusahan atau situasi yang tidak disukai oleh seseorang. Ketika itulah hati dan nafsu kita bermujahadah dan seterusnya menentukan sejauhmana kita berjaya dalam “peperiksaan” atau “ujian” dunia selepas berusaha menuntut ilmu. Adakah ilmu kita sekadar di akal atau kita menurunkannya kehati dan akhlak kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 25 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment