Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Peluk Islam dengan Ilmu

 Peluk Islam dengan Ilmu
- Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Ilmu itu cahaya daripada Allah, memancar keluar melahir amal memancar ke dalam menzahir iman. Hebatnya ilmu, apabila dekat dengan ilmu umpama rapat kepada cahaya. Gunanya untuk membezakan yang hak dengan yang batil, mengklasifikasikan baik dengan yang buruk dalam melaksanakan kehidupan. Itu anologi ilmu yang dititipkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah yang bersiaran pada pukul 10.15 pagi Rabu lalu di IKIMfm.
Syukur atas nikmat Islam yang kita anuti. Terkadang kita leka, sehingga agama yang kita peluk ini tidak kita dakap dengan erat, rapat dan kejap. Kita renggang dengan Islam, sedangkan Islam itu pasangan hidup manusia. Jika kita memisahkan islam dari hidup dan kehidupan kita, bermakna kita memilih untuk menjadi huru-hara dan kacau bilau.
Sesungguhnya Islam itu tenang dan memberi kejayaan dalam hidup. Peluk erat Islam kerana orang bukan Islam berjaya dalam perjuangan mereka bukan ketika mereka berjaya memurtadkan kita, tetapi mereka sudah merasa cukup berjaya hanya sekadar dengan menjauhkan kita daripada Islam. Jadi peluklah Islam, dakaplah islam seeratnya tanda kasih sayang pada agama.

 
Pelukan atau dakapan adalah aktiviti yang  akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram. Bila kita memeluk seseorang bermakna kita kasih dan sayang kepada individu itu. Lebih dari itu, apabila kita memeluk seseorang kita ingin memberi dan mendapatkan perlindungan. Secara tidak langsung kasih, sayang dan perlindungan itu membawa kepada rasa tenang dan tenteram.
Ketika peristiwa turunnya wahyu pertama, Rasulullah SAW didatangi malaikat Jibril yang berkata kepada baginda, “Bacalah!” Jawab baginda SAW “Aku tidak pandai membaca.”  Kemudian malaikat itu datang memeluk Rasullullah SAW hingga membuat baginda penat, kemudian melepaskan Rasulullah sambil berkata, “Bacalah!” Baginda menjawab, “Aku tidak pandai membaca.” Lalu Malaikat Jibril memeluknya untuk kesekian kalinya dengan begitu erat dan melepaskannya sambil berkata, “Bacalah.” Nabi Allah terus membuat pengakuan, “Aku tidak pandai membaca.” Lalu ia memeluknya lagi seraya berkata mafhumnya,“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-Alaq, Ayat 1-5).
Ahli tafsir menyifatkan Jibril a.s memeluk Rasulullah SAW kerana rindunya, setelah lebih 600 tahun malaikat Jibril tidak turun menyampaikan wahyu kerana tempoh itu adalah jarak antara ketiadaan nabi Allah Isa a.s dengan Nabi Muhammad SAW. Ia ditambah lagi dengan kerasulan Rasulullah SAW yang telah diwar-warkan wahemah dari zaman Nabi Allah Adam a.s dan sangat dinantikan oleh Jibril a.s. Sebab itu apabila bertemu untuk menyampaikan wahyu yang pertama, Jibril mendakap erat Rasulullah SAW atas dorongan rasa rindu terhadap baginda.
Begitu pentingnya membaca, apabila lima ayat pertama yang dipilih oleh Allah SWT untuk berkomunikasi dengan umat Nabi Muhammad  SAW ini, perkataan iqra’ diulang sebanyak dua kali. Ia menunjukkan penegasan peri pentingnya kita membaca. Berasal dari kata sendi qaraa iaitu himpunan. Membaca bukan sekadar membaca huruf dan perkataan semata, tetapi ia adalah himpunan beberapa tindakan ataupun tindakbalas. Perlu kepada penghayatan, pemahaman dan juga keyakinan dalam kita membaca.
Para orentalis, mereka membaca al-Quran tetapi mereka tidak menghayati dan meyakininya. Sama seperti pelajar-pelajar yang membaca hanya untuk menduduki peperiksaan, selepas peperiksaan ilmu itu dilupakan. Itu bukan definisi membaca. Membaca adalah apabila kita menelaah, kemudian kita mengambil tadabbur, ibrah dan iktibar serta diikuti dengan renungan yang lebih mendalam dari sekadar memahami. Itulah yang dikatakan sebagai semangat iqra’.
Ustaz Pahrol juga berkongsi dalam kesinambungan topik membaca ini adalah persoalan tentang halangan budaya Iqra’. Budaya yang merosakkan budaya membaca ini adalah budaya hidonisme iaitu satu cara hdup yang berseronok-seronok, bersuka-suka, tidak serius serta tidak fokus. Budaya inilah yang sedang dipelopori dan dibiak suburkan menjadi budaya hidup pada masyarakat umat Islam. Masyarakat Islam  akan leka dengan lagu, cerita, lawak jenaka atau sukan yang melalaikan dan membawa kepada yang haram.
Islam tidak menentang hiburan, ia umpama garam dalam masakan. Sedikit mengenakkan berlebih memudaratkan rasa dan kesihatan. Dalam diam budaya hidonisme akan menghakis sifat suka membaca yang akan memisahkan manusia dengan sifat inginkan kebaikan, hilang manusia yang serius dan individu yang fokus dalam hidup. Lebih merisaukan apabila wujudnya tiga unsur hidonisme yang secara diam menyelusup masuk dalam agenda budaya membaca iaitu unsur seks, gosip dan unsur misteri. Bahan bacaan seumpama ini secara tidak langsung akan fikiran jadi mundur, jiwa tidak bangun terutama bagi pembaca kategori remaja.
Budaya iqra’ bersaing dengan budaya hidonisme yang bersifat komersial. Menghanyut dan melalaikan. Lebih parah apabila tiada lagi idola dari kalangan ilmuan yang dijadikan sandaran pemlihan bahan bacaan. Semua itu lebih membawa parah dalam usaha membangunakan umat iqra’ ini.

Ayuh kita melihat secara jujur situasi masyarakat kita hari ini. Bermula nilaian dari diri kita diikuti keluarga seterusnya di tempat kerja. Budaya manakah yang lebih dominen? Adakah budaya membaca atau budaya hidonisme? Di dalam keluarga, adakah anak-anak kita terdedah dengan budaya membaca atau lebih banyak berhibur? Di hujungnya nanti kita akan dapat jawapan sama ada kita berada dalam zon budaya membaca atau sebaliknya. Semoga kita jujur dengan hati kita sendiri. Di samping Allah tahu siapa kita, kita turut tahu dan sedar siapa kita. Hati kita sememangnya dicipta untuk tidak tahu erti berbohong, jadi lihatlah dengan mata hati dimana letak diri dan masyarakat kita. Jika budaya membaca itu dominen inshaAllah negara kita akan maju dari sudut meterial, pembangunan fizikal dan rohaniahnya.

Tepuk dada tanya hati, jikalau sebaliknya yang terpapar bermakna kita dalam bahaya jika kita tidak berubah. Semoga kita semua dapat benar-benar serius melihat perkara ini walaupun subjeknya ringkas iaitu bacalah tetapi “bacalah” adalah anak kunci kepada kebaikan dan kemajuan jika kita membukanya. Malang jika kita kehilangan anak kunci, kita akan terus terkurung dalam kegelapan, kejahilan dan kemunduran. Mungkin fizikal kita kelihatan maju, pembangunan tinggi tetapi akhlak dan budi kita menyapu bumi. Jauhkan diri dari menjadi haiwan berteknologi dalam belantara konkrit ini. Moga kita boleh menjadi hamba Allah yang baik dan khalifah yang memberi kebaikan InshaAllah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 1 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment