Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Memaknai Kehidupan Dengan Hati yang Bersih

Memetik kata-kata seorang ulama, Ibrahim Al- Khawas bahawa sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut, yang pertama, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandungannya, yang kedua berpuasa, yang ketiga bangun (beribadat) pada waktu malam, keempat menghampirkan diri kepada Allah dengan beribadat disepertiga malam, dan kelimanya sentiasa bersama- sama di majlis orang- orang soleh.

Demikian panduan yang diberikan bagi orang-orang yang mahu hatinya bersih dan dalam masa yang sama merawat hati yang sakit. Hati yang sakit di sini membawa erti, manusia yang mempunyai akhlak dan perbuatan yang buruk sehingga perbuatannya boleh memakan diri sendiri.

Oleh itu, Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad memberi beberapa pencerahan untuk kita merawat hati yang kotor dan bagaimana cara kita meminpin hati agar dapat kita memaknai kehidupan ini supaya apabila kita bertemu Allah kelak dalam keadaan yang husnul khotimah. Beliau berkata demikian dalam rancangan Tarbiyah bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi.


Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila hati itu bersih, maka keseluruhan hidup kita akan bermakna dan bahagia. Dalam menjalani hidup ini, ramai orang yang mahukan hidup bahagia dan sempurna tetapi tidak ramai yang berusaha untuk mencari jalan bagaimana mencapai bahagia dalam erti kata sebenar.

Jika dalam setiap organisasi tempat kita bekerja, pastinya ada seorang ketua yang akan memimpin organissai berkenaan, malah jika tidak ada ketua atau pemimpin maka, pincanglah sesebuah organisasi berkenaan. Begitu juga dalam kehidupan sesebuah keluarga kecil atau besar, pasti ada ketua keluarga yang tugasnya meminpin rumahtangga berkenaan.

Begitu juga dengan diri manusia, hati yang menguasai setiap tindak tanduk dan perlakuan manusia itu mesti dipimpin agar ianya tidak terpesong kepada perbuatan jahat yang akhirnya merugikan manusia itu sendiri. Perkara yang berkaitan dengan hati ini mesti selalu ditekankan dan diperiksa setiap masa, mungkin kita boleh mengawal emosi di saat dalam situasi yang mencabar tetapi bagi sesetengah orang sukar untuk mengawal hatinya kerana hati yang tidak terpimpin kadang kala bertindak diluar kawalan manusia itu sendiri.

Sebagai contoh manusia yang suka mengumpat, adakala tidak sedar yang dirinya sedang mengumpat atau mengata tentang hal orang lain, begitu juga orang yang suka mengeluh atau tidak bersyukur, adakalanya tidak sedarpun tentang perbuatan tersebut kerana sikap itu tidak dapat dikawal oleh dirinya, melainkan jika hatinya bersih, tenang, lapang, secara tidak langsung dirinya jauh dari perangai buruk kerana hati yang bersih benci kepada perkara yang mazmumah.

Berbalik kepada bagaimana untuk memimpin hati? Kita hendaklah selalu ada kesedaran dan mempunyai kefahaman ilmu berkaitan hati atau roh kita sendiri. Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk dihapuskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah, kita tidak akan dapat mengesan dan menyuburkannya dalam diri jika kita tidak ada ilmu berkaitan dengannya.

Setelah kita faham dan dapat membuat perbezaan mana yang baik dan buruk, negatif dan positif atau manakah perkara yang Allah swt suka atau sebaliknya, begitu juga perbuatan yang membawa kita ke syurga atau neraka, kita perlu menjalani latihan seperti bermujahadah melawan segala godaan nafsu, Istiqamah, bergaul dengan orang yang baik-baik dan selalu bertindak menjadi pemimpin kepada hati kita sendiri.

Ini kerana hati yang bersih terang-benderang seperti yang dimiliki oleh para orang-orang soleh akan dapat melihat dan betul-betul mengenal sifat-sifat keagungan Allah. Kerana itu mereka benar-benar dapat menghambakan diri kepada Allah, swt Malah kehidupan ini dipergunakan sepenuhnya untuk beribadat dan mentaati segala perintahNya.

Bayangkan kalau dalam diri kita selalu sentiasa hidup dalam kesedaran, iaitu setiap malam sebelum tidur kita membuat koreksi terhadap diri sendiri dan selalu berazam untuk memperbaiki diri dan menambah nilai kehidupan dengan kebaikan, sudah tentu kita akan disibukkan dengan amal soleh yang baik dan tidak ada masa untuk melihat keburukan atau menghampirkan diri dengan perkara negatif.

Hakikatnya perkembangan jiwa dan watak manusia mempunyai hubungan rapat dengan kedudukan dan bentuk hati (qalbu) yang dimilikinya. Secara umumnya hati atau jiwa manusia itu memiliki sifat hidup dan mati. Hati yang hidup akan mudah menerima teguran, cepat memperbaiki kesilapan diri dan selalu berusaha untuk membuat kebaikan. Tetapi hati yang mati dan keras umpama besi berkarat yang tidak memberi manfaat kepada apapun dalam hidup.

Sebab itu kita harus berwaspada dan sentiasa ada kesedaran serta usaha untuk merawat hati yang berpenyakit dengan beristigfar kepada Allah swt setiap masa. Begitu juga jika ada perasaan dengki, iri hati atau penyakit hati yang lain rawatlah dengan doa dan bertaubat kepada Allah mudah mudahan sikap yang tercela itu jauh dari roh dan jasad kita.

Hati yang suci dan hidup (qalbun sahih) akan membawa tuan empunya hati ke jalan selamat di mana kemurniaan ubudiyahnya meletakkan seluruh aktiviti kehidupan hanya untuk Allah SWT. Bagi hati yang keji dan mati (qalbun Mayyit) pula akan membawa tuannya ke arah kebinasaan dengan menjerumuskannya ke dalam tuntutan nafsu yang penuh kejahilan sehingga lupa akan azab yang pedih atas segala perbuatan jahat.

Memetik pandangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, proses penyucian diri untuk mencapai tahap nafsu yang diredai Allah diperoleh melalui jalan ilmu dan beramal. Tazkiyyah al-nafs mengandungi dua keadaan iaitu membebas (mengosongkan) diri dari sebarang sifat mazmumah (keji) mengisi (menghiasi) jiwa dengan sifat mahmudah (mulia).

Oleh yang demikian, kita hendaklah selalu sibukkan diri mencari ilmu dengan hadir ke program-program ilmu. Ini kerana orang berilmu akan selalu mahu memperbaiki dirinya dan mencari jalan untuk mendekatkan dirinya dengan Allah swt. Malah ilmu juga menjadi pendinding kepada kita dalam melalui cabaran hati yang kadang-kadang menguji sejauhmana keimanan kita kepada Allah swt.

Memahami ilmu berkaitan hati akan membawa kita lebih dekat untuk menjernihkan roh agar dapat merasai limpahan cahaya Ilahi. Amalan kebersihan hati dapat dibangunkan di atas latihan kerohanian yang bertauhidkan hanya kepada Allah yang satu. Pengamalan dan penghayatan tentang kesucian dan kejernihan hati yang bermatlamatkan ibadat bagi tujuan mendapat keredhaan Allah swt.

Sesungguhnya kesejahteraan, kedamaian dan kebaikan jiwa insan mukmin itu bergantung kepada kesucian hatinya. Allah swt mengurniaan kebaikan dan kejayaan kepada hati yang diuruskan di atas ketaatan dan ketakutan akan azab Allah. Sebaliknya hati yang alpa dan mati akan menjadi hambatan kepada manusia mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

Hidup ini adalah satu perjalanan pulang ke negeri akhirat yang kekal abadi. Oleh itu marilah kita persiapkannya supaya apabila kita pulang nanti kita dapat meninggalkan kehidupan ini dengan penuh makna dan kebaikan buat orang lain yang pernah mengenali dan pernah berada bersama kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 29 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment