Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan II

Pujian bagi Allah Tuhan sekelian alam yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Selawat dan Salam buat Junjungan Besar Rasulullah SAW.,

Pengisian kali ini adalah sambungan kepada perkongsian minggu lalu bertajuk Manusia dan Harapan. Seseorang hamba Allah itu masih boleh terus berjalan dalam keadaan yang getir dan terus melangkah adalah kerana didokong oleh sesuatu harapan. Maka kerana itu lah kita digalakkan berdoa dengan memohon kepada Allah SWT agar diberikan kebaikan didunia dan kebaikan di akhirat.

Adalah lumrah apabila seseorang itu bersandarkan harapan-harapan yang diberikan oleh Allah swt sebagai motivasi meneruskan kehidupan, namun adakalanya dikalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan melalui bisikan syaitan.

Sepertimana sejarah, Manusia pertama yang disogokkan dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah bapa kita, Nabi Adam alahissalam. Surah rujukan pertama yang diberikan Ustaz Muhamad adalah sepotong ayat didalam surah al A’raf ayat ke 21, “Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. “Sesungguhnya saya adalah termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua”..”

Justeru kita perlu selalu sedar syaitan adalah musuh yang sentiasa berusaha dengan muslihatnya untuk menyesatkan dan memesongkan kita dari jalan Allah SWT. Tiga jalan yang dikongsikan Ustaz Muhamad yang sering digunakan syaitan dalam usaha menawan hati manusia agar berharap kepada dunia dan melupakan pencarian akhirat. Tiga jalan itu ialah Mencari Puas Hati, Mencari Ketenangan Dengan Jalan Maksiat dan Kaya Dengan Jalan Bakhil.
  1. Mencari kepuasan hati
Raja Namrud adalah contoh yang dapat kita lihat sebagai manusia yang dibisikkan untuk tidak merasa puas hati. Namrud dikuasai perasaan tidak puas hati yang meluap terhadap Nabi Ibrahim A.s. Dinyalakannya api yang luar biasa maraknya dengan tujuan mendera dan menzalimi Nabi Ibrahim sekeras-kerasnya bagi usaha mencari puas hati. Dalam konteks rumahtangga hari ini, cuba kita renungkan situasi apabila rumahtangga dilanda badai, kita menggunakan kekerasan dan helah bagi menyakiti pasangan hanya untuk melampiaskan perasaan puas hati. Sedangkan semuanya tidak pernah juga berjaya memberikan ketenangan hakiki bagi mereka yang menurut bisikan syaitan.

Justeru jika dalam muhasabah diri kita mengesan adanya sifat mazmumah ini, kembalilah kepada fitrah kemanusiaan iaitu mencari ubat hati. Lazimnya mereka yang mengikut puas hati dengan menurut hawa nafsu dalam perbuatan mereka akan hanya mennyebabkan lebih banyak kekecewaaan dalam keputusan kehidupan. Islam mengajar kesabaran dan dijanjikan Allah akan bersama orang-orang yang sabar dan diangkat darjatnya bagi orang yang memberikan kemaafan atas kesalahan orang lain terhadap dirinya. Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
  1. Mencari ketenangan dengan jalan maksiat.
Orang yang hatinya jauh dari mengingati kekuasaan Allah swt, tidak berpegang dengan dengan panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi Al Quran dan jauh dari mengamalkan panduan yang ditinggalkan Rasulullah SAW melalui hadisnya akan mengakibatkan hati menjadi kosong dan sunyi.

Hati yang kosong dan sunyi akan mudah diambil alih dengan bisikan syaitan dan fikiran yang terpandu oleh suara-suara negatif yang akhirnya menyebabkan perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam. Kesunyian dan kekosongan ini akan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan dan hiburan dengan harapan agar dapat mengisi kehampaan akibat kesunyiannya. Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat yang tinggi, kelihatan zahirnya seperti orang yang mempunyai kesempurnaan dalam kehidupan tetapi mencari ketenangan dengan jalan maksiat. Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang kosong dan tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak, ada yang melanggan teman-teman social dan sebagainya namun masih tidak membawa kepada ketenangan dan mengisi hati yang kosong.
  1. Kaya dengan jalan bakhil
Orang yang dipengaruhi harapan dari syaitan yang menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki sifat bakhil dan kedekut. Mereka mempercayai bahawa sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereaka dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya.

Walhal didalam Islam adalah sebaliknya. Rasulullah SAW bersabda, “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain) melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkatkan darjatnya”. Hadith riwayat Muslim.

Amalan memberi sedekah kepada orang yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam. Perlu kita fahami bahawasanya rezeki yang dikurniakan kepada seseorang itu adalah milik Allah SWT dan hanya pinjaman kepada hambaNya semata-mata. Seseorang muslim seharusnya tidak menaruh  sayang yang tinggi kepada harta benda dan tidak seharusnya merasa terikat untuk membelanjakannya kepada perkara-perkara kebaikan. Ini kerana perlu kita fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan diganti oleh Allah Taala.

Sedekah juga tidak mengurangkan harta kerana Allah sentiasa menambah keberkatan dan suburnya harta, atau ganjaran yang dijanjikan Allah di akhirat nanti akan menggantikan harta yang disedekahkan dengan berlipat ganda.

Syaitan yang telah berjanji untuk menyesatkan manusia akan memperdaya hati dan fikiran seseorang untuk merasa berat mengeluarkan harta dan wang ringgitnya ke jalan sedekah dan infak. Mereka yang dipengaruhi bisikan ini akan diperhambakan dan disubukkan urusannya dengan mencari wang dan harta. Mereka akan selalu dirundung kerunsingan hati. Dalam urusan mencari harta mereka runsing  kerana bimbang terlepas dari genggaman dan apabila memiliki sesuatu mereka runsing akan kehilangan dan merasa tidak cukup.

Walaupun mencari harta dan kekayaan itu digalakkan dalam Islam tetapi ia perlu lah berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya redha serta tawakal kepada Allah Swt atas pemberianNya. Harta dan rezeki itu seharusnya melapangkan dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu. Ia juga sebagai satu jalan kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah swt dengan mengembalikan sebahagiannya ke arah jalan yang diredhai Allah swt. Usaha mencari rezeki adalah satu kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan kekayaan itu adalah semata-mata urusan Allah swt kepada hamba-hambaNya. Berwaspadalah dengan mengelakkan diri dari dipermainkan syaitan yang mahukan manusia itu melupakan akhirat dengan jalan mencintai dunia.

Allah SWT memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari keberkatan. Ustaz Muhamad memberikan tiga panduan pula dalam menilai keberkatan harta seseorang itu.
  1. Harta itu membawa kepada kebaikan
  2. Semakin berharta semakin tenang hatinya.
  3. Harta itu mencukupkannya dan Banyaknya menggembirakan seseorang.
Jika harta itu sering memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan jalan masuknya sesuatu harta itu dan bagaimana kita membelanjakan harta itu.

Demikan antara perkara minggu lalu yang dikongsikan sebagai ilmu dalam mamcu kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Berhati-hatilah dengan harapan-harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup kita, dan muhasbahlah harapan yang kita pretaruhkan dalam kehidupan ini berlandaskan iman atau bisikan syaitan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 8 September 2014

No comments:

Post a Comment