Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Hakikat Kemerdekaan yang Sebenar (1)

Ibrah siri ke-20 membuka lembaran baru kisah Nabi Musa a.s. dan kaum baginda, Bani Israel. Fasa pertama kisah Nabi Musa a.s. telah pun tamat dengan berakhirnya riwayat Firaun dan tenteranya yang ditenggelami Laut Merah. Dalam Fasa ke-2 ini, bersempena negara kita Malaysia menyambut kemerdekaan, Ustaz Syaari membawa para pendengar merenung erti kemerdekaan yang sebenar, kisah Nabi Musa a.s. memerangi ‘penjajahan’, iaitu sikap kaumnya sendiri, Bani Israel. Inilah yang pernah diungkapkan oleh Ustaz Syaari bahawa kematian Firaun dan tenteranya adalah permulaan kisah Nabi Musa a.s.

Ustaz Syaari membawa para pendengar mengambil iktibar kisah Nabi Musa a.s. sempena Malaysia menyambut bulan kemerdekaan. Bagaimana Nabi Musa yang pada suatu ketika berada di dalam istana yang selesa, menjadi anak angkat kepada Firaun yang kaya raya akhirnya melarikan diri bersama Bani Israel meninggalkan tanah tumpah darahnya, Mesir ke Madyan.

Beliau juga membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. yang begitu selesa tinggal di Makkah bersama bapa dan datuknya, bahkan pernah ditawarkan untuk memimpin Makkah pada suatu ketika dahulu juga meninggalkan tanah tumpah darah baginda.

Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa a.s. membawa keluar Bani Israel dari Mesir menuju ke Palestin dengan melalui laluan selatan Semenanjung Sinai. Di sinilah Allah telah menunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani Israel bagaimana dihancurkan Firaun dan tenteranya di Laut Merah. Selepas Nabi Musa dan Bani Israel menyeberang Laut Merah, Allah mewahyukan Nabi Musa untuk tidak menuju ke Palestin tetapi ke satu lokasi yang paling hampir dengan tempat mereka diselamatkan daripada Firaun.

Sebelum ini, Firaun sudah lama menyeksa dan membunuh anak-anak Bani Israel di Mesir. Allah telah memberi peluang kepada Bani Israel menyaksikan sendiri 12 mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Musa a.s., termasuklah mukjizat terakhir iaitu tongkat Nabi Musa membelah lautan dan akhirnya menyelamatkan mereka daripada Firaun buat selamanya. Sudah pastilah mereka akan sujud dan mensyukuri nikmat keselamatan yang telah Allah berikan kepada mereka. Namun, sebaliknya diceritakan di dalam Al-Quran mengenai Bani Israel dan ini merupakan permulaan kisah Yahudi dan Zionis yang kita kenali pada masa kini. Beban yang berat perlu ditanggung oleh Nabi Musa a.s. untuk mengubah sikap, sekaligus memerangi jiwa penyakit jahiliah yang telah merosakkan satu bangsa yang pada asalnya dimuliakan Allah SWT.

Perjalanan merentasi Gurun Sinai menuju ke lokasi yang hendak dibawa oleh Nabi Musa mengambil masa selama dua hari. Semasa di dalam perjalanan tersebut, mereka telah berjumpa dengan satu kaum yang sedang menyembah berhala, lalu Bani Israel meminta dibuat berhala seperti diceritakan dia dalam Surah Al-A’raaf, ayat 138. “Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang laut (Merah) itu, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang tunduk dan patuh menyembah berhala mereka. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata kepada Musa: Wahai Musa, buatlah untuk kami satu tuhan berhala sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.” Belum pun 48 jam masa berlalu pengalaman Bani Israel menyaksikan Firaun dan tenteranya ditenggelami Laut Merah, mereka sedikitpun tidak merasa bersalah meminta Nabi Musa untuk membina berhala untuk mereka.

Menurut seorang ulama’, Sheikh Rusydi Al-Badrawy di dalam kitabnya Musa wa Harun, kenyataan Bani Israel ini menunjukkan mereka berada di bawah pengaruh kepercayaan pagan, iaitu kepercayaan terhadap penyembahan berhala. Bani Israel sebelum ini terlalu lama dijajah oleh Firaun dan ia telah memberi kesan bukan sahaja kepada cara hidup bahkan kepada keimanan mereka, sehinggakan menyembah berhala dianggap tidak menyalahi syariat Islam. Bani Israel tidak beriman kepada Allah SWT dengan sepenuh hati mereka.

Nabi Musa a.s. telah memerangi sifat jahiliah yang ada di dalam jiwa Bani Israel sebelum ini dan akhirnya menyelamatkan mereka daripada Firaun.  Namun cadangan daripada mereka untuk membina berhala telah menaikkan kemarahan Nabi Musa lalu berkata: “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.” Nabi Musa berkata lagi: “Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain dari Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang seazam dengan kamu, dengan pelbagai nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu?)” (Surah Al-A’raaf, ayat 140).
Tidak cukup kata-kata Nabi Musa menunjukkan kemarahan terhadap sikap Bani Israel ini, Allah turut berfirman di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 141. “Ingatlah ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab dan seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya.”
Ustaz Syaari membawa contoh peristiwa ini pernah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat dalam Peperangan Hunain. Semasa dalam perjalanan menuju Peperangan Hunain, mereka telah melalui satu pokok yang besar dan pada dahannya disangkut senjata (pedang). Sebelum Islam, masyarakat Jahiliah percaya dengan melakukan demikian mereka akan diberikan kemenangan. Segelintir sahabat telah meminta kepada Rasulullah dengan berkata: Wahai Rasulullah buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath (tempat menggantungkan senjata) sebagaimana mereka memiliki Dzatu Anwath.” Rasulullah menegur kata-kata sahabat ini dengan bersabda: “Allahu Akbar! itulah tradisi (orang-orang sebelum kalian) demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, kalian benar-benar telah mangatakan suatu perkataan seperti yang dikatakan oleh Bani Israel kepada Musa: Buatkanlah untuk kami sembahan sebagaimana mereka memiliki sembahan.”(HR Tirmizi). 

Betapa sukar Nabi Musa a.s. untuk memerdekakan jiwa Bani Israel yang telah lama dijajah oleh Firaun dari terus menyembah hawa nafsu mereka. Di akhirnya, Ustaz Syaari mengajak para pendengar bermuhasabah dengan kehidupan manusia pada zaman kini. Terdapat manusia yang mencari selain daripada Allah, menyembah hiburan, menyembah maksiat, menyembah kehidupan yang lagha sehingga lupa kepada Allah SWT. Apakah manusia tidak berfikir dan merenung mengapa Allah memelihara jasad Firaun (Ramses II) untuk kita mengambil iktibar dalam kehidupan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 9 September 2014

No comments:

Post a Comment