Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Teguran Terakhir Buat Firaun

NABI MUSA as datang ke bumi Mesir bukan sekadar untuk membebaskan Bani Israel, tetapi Nabi Musa juga berdakwah kepada kaum keluarga Firaun. Biarpun pelbagai usaha yang dilakukan Nabi Musa untuk menjalankan tugasnya menyeru Firaun untuk kembali kepada Tuhannya, namun Firaun tetap dengan kedegilannya itu.

Pada minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman memperincikan kisah dakwah Nabi Musa berhadapan dengan Firaun. Jika diperhatikan, Firaun yang dimaksudkan dalam kisah Nabi Musa ini adalah Firaun yang diberi nama Ramses II. Siapakah Ramses II ini?

Ramses II sebenarnya adalah Firaun yang paling utama.  Dia merupakan Firaun yang paling lama memerintah dan paling banyak anak. Selain itu, Ramses II merupakan Firaun yang mempunyai patung besar dan sentiasa meraih kemenangan di dalam beberapa siri peperangan. Justeru, pada zaman pemerintahan Ramses II inilah banyak kota peradaban terbina di bumi Mesir.


Mengimbas kembali perjalanan kisah Nabi Musa dan Nabi Haron masuk ke dalam istana untuk menyeru Firaun kembali kepada Allah, kita telah dipaparkan dengan beberapa mukjizat Nabi Musa a.s sebagai teguran dan bukti kekuasaan Allah. Namun, keegoan dan kesombongan Firaun itu menjadikan Allah menurunkan tujuh teguran terakhir buat Firaun.
Tujuh mukjizat inilah menjadi penanda aras penting sebagai hukuman terakhir kepada Firaun setelah Nabi Musa a.s. mengadu kepada Allah agar diperkenankan permintaannya untuk memusnahkan kejahilan Firaun untuk mentaati perintah Allah.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. (Surah Yunus ayat 88)

Lalu, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintah Aku seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)”. (Surah Yunus ayat 89)

Allah telah memperkenankan doa dan permintaan Nabi Musa tersebut. Lalu diturunkan satu persatu azab sebagai teguran terakhir kepada Firaun. Ulama menyatakan bahawa tujuh musibah sebagai tanda mukjizat Nabi Musa ini turun secara tidak serentak dan satu-persatu. Ini adalah sebagai tanda Allah SWT memberi teguran dan masih memberi peluang kepada Firaun.

Dua teguran pertama yang diturunkan Allah adalah berbentuk kemusnahan melalui musim kemarau yang berpanjangan di bumi Mesir. Ulama memperincikan bahawa kemarau dan panas terik itu berlaku selama tujuh tahun. Kemudian Allah timpakan kekurangan buah-buahan sebagai teguran awal kepada Firaun dan kaumnya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-A’araf ayat 130, “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran.”

Apabila turunnya teguran kepada Firaun ini dalam waktu yang panjang, Allah telah menghilangkan musibah ini supaya Firaun dan kaumnya itu kembali semula kepada Allah, tetapi mereka tetap berdegil.

Firman Allah, “Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.(Surah Al-A’araf ayat 131)

Firaun dan pengikutnya tetap menganggap bahawa Nabi Musa hanyalah menggunakan sihirnya sebagai menunjukkan kekuasaannya sedangkan Allah sendiri yang menurunkan azab kepada mereka.

Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”.(Surah Al-A’araf ayat 132)

Keengganan mereka untuk beriman kepada Tuhan Yang Maha Esa, diperincikan lagi melalui lima mukjizat Allah SWT. Dua daripada mukjizat itu bersifat luaran  dengan datangnya tentera udara iaitu taufan dan tentera angina iaitu belalang yang banyak memusnahkan tanaman dan buah-buahan mereka.

Kemudian, Allah menurunkan tiga lagi mukjizat Nabi Musa bersifat dalaman iaitu dengan datangnya tentera bumi dan pasir iaitu kutu yang banyak dan tentera laut iaitu katak serta darah yang banyak sebagai minuman mereka. Firaun dan kaumnya bertambah pelik kerana air yang keluar untuk diminum adalah berbentuk darah sedangkan Nabi Musa dan pengikutnya minum air yang bersih.

Ini dibuktikan melalui firman Allah yang bermaksud, “Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.” (Surah Al-A’araf ayat 133)

Ulama mengatakan bahawa setiap musibah yang diturunkan itu berganti-ganti selama seminggu dan Allah SWT menggantikan musibah demi musibah bagi membuktikan kekuasaan-Nya.
Firman Allah yang bermaksud, “Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu”. (Surah Al-A’araf ayat 134)
Setelah mereka ditimpa azab yang saling bergilir itu, mereka telah meminta agar dihapuskannya, namun perjanjian itu telah dimungkirinya. Akhirnya Allah SWT telah menenggelamkan mereka ke dalam laut merah yang dalam itu.

Firman Allah yang bermaksud “Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya.” (Surah Al-A’araf ayat 135). Tujuh mukjizat Nabi Musa a.s. ini adalah sebagai bukti keesaan Allah SWT untuk membuktikan dan menegur sikap Firaun dan kaumnnya. Biarpun azab ditimpa kepada mereka, tetapi Allah SWT telah membuktikan kasih sayangnya untuk sentiasa memberi peluang kepada Firaun dan kaumnya untuk kembali mentaati-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 19 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment