Sunday 2 November 2014

Takbir Kemenangan Bukan Takbir Kesyahduan

Allaahu akhbar… Allaahu akhbar… Allaahu akhbar… Laa ilaaha illallaahu wallaahu akhbar… Allaahu akhbar walillaahil hamd… Itulah lafaz takbir yang sering kita lafazkan setiap kali menjelang Aidilfitri. Masuknya tanggal satu Syawal sehinggalah umat Islam selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, takbir itu di laungkan dan lafaz tersebut mempunyai roh yang sangat besar. Di mana kita memuji kebesaran dan keagungan Allah swt sepertimana maksudnya : “Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Allah Yang Maha Besar, Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar. Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah sahajalah kepujian”.

Sekilas Coretan Ramadan

Bersamalah kita berdoa dengan penuh harap, agar kita masih dipilih untuk dipanjangkan umur bagi berjumpa lagi Ramadan tahun depan dan melaluinya dengan lebih baik berbanding Ramadan tahun ini. Mungkinkah mengah puasa dan ibadah yang berpulun-pulun kita lakukan sebulan yang lalu bakal kita rindui? Jika ya, ayuh teruskan semangat kita untuk melakukan segala amalan kebaikan dan mood ibadah untuk bulan-bulan seterusnya. Contohnya kita lazim kan solat secara berjemaah setiap hari, bersedekah pelbagai cara juga setiap hari, boleh bukan?


Soalnya hati, jika mahu pasti kita akan bersungguh. Jika tidak, satu alasan saja sudah cukup untuk kita jadikan “sebab kukuh” untuk tidak melakukannya. Jika diri tidak mampu untuk melakukannya semua sekali, tidak mengapa. Nah, di sini tips nya saya berikan. Sila pilih salah satu ibadat yang kita suka dan mampu melakukannya secara konsisten (istiqamah). Tak kan lah satu pun tiada, kan. Pasti ada. Saya yakin. Contohnya ketika Ramadan lalu, hari-hari kita membaca al-quran, jadi budayakan nya, paling tidak semuka satu hari. Jika sebulan lalu kita mampu mengawal kemarahan dan berjaya memupuk kesabaran, mengapa tidak kita jadi “diri yang itu” untuk hari-hari selepas Ramadan. Ingatkah lagi ketika diri kitalah yang paling penjimat sebulan yang lalu? Nah, sekarang apa sudah jadi? Saya yakin ada segilintir yang tergelincir, namun saya juga yakin pasti ramai juga yang masih kekal dengan “diri ketika Ramadan” yang baru sahaja selesai baru-baru ini.
Berbalik kepada tajuk yang saya pilih untuk tulisan kali ini, memang seharusnya takbir raya itu sendiri seperti metafora (kiasan) kepada kemenangan. Berbeza dengan nada laungan takbir raya di negara-negara arab, mereka melafazkan takbir dengan penuh bersemangat. Sebaliknya dek kerana faktor masyarakat melayu di negara ini yang sinonim dengan gaya sopan santun, takbir raya di Malaysia di laungkan dengan penuh lembut gemalai. Maka sebab itu, tidak hairanlah jika tiap kali kita mendengar laungan takbir raya, kita akan merasa penuh kesyahduan di sertai linangan bahkan cucuran airmata, kerana mood laungan di Malaysia di acuankan sebegitu. Sedangkan orang arab melaungkan takbir raya seperti mereka menang selepas berperang dan memang begitulah sejarah takbir bermula.

Sejarah Takbir

Takbir raya ada kaitannya dengan sejarah perang khandaq. Perang Khandaq atau Perang Al-Ahzab telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Perang tersebut adalah sejarah penting bagi umat Islam. Ia merupakan titik penentuan kelangsungan Islam. Di namakan Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tentera Islam telah beroleh kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar. Perang ini ada diceritakan dalam al-Qur’an di dalam surah Al-Ahzab.

Perang Khandaq atau Ahzab adalah perang yang mengumpulkan 10,000 orang tentera musyrikin dari sekitar tanah arab untuk memerangi Madiinah. Jumlah tersebut adalah lebih banyak daripada bilangan penduduk Madinah termasuk kanak-kanak, wanita-wanita dan golongan tua yang anggaran nya sekitar 3000 orang Islam. Setelah bermesyuarat rasulullah saw telah bersetuju dengan idea bernas daripada Salman Al-Farisi untuk menggali parit di bahagian utara Madinah. Akhirnya tentera musyrikin gagal menyeberangi parit tersebut dan mengalami kekalahan.

Sebaik kemenangan berpihak kepada tentera Islam, rasulullah saw bersabda, “Allahuakbar bergembiralah wahai orang-orang muslimin dengan kemenangan dan pertolongan daripada Allah swt.”. Tentera Islam pun melaungkan takbir sebagai tanda syukur dan terima kasih kepada Allah atas bantuan serta kemenangan yang diberikan. Maka takbir raya yang kita dengari saban tahun ketika menjelang Aidilfitri adalah takbir yang sama yang di laungkan oleh tentera Islam dalam perang Khandaq. Jika di hayati bait-bait makna takbir itu sendiri, memamg telah jelas dan nyata kita memuji kebesaran dan keagungan Allah swt. Di mana takbir yang kita lafazkan itu adalah sebagai lambang kemenangan kita setelah berjaya melalui Ramadan dengan menahan dan mengawal diri dari pelbagai perkara. Dalam takbir yang saya yakin telah di hafal oleh ramai orang ini, sekali lagi secara terang dan nyata Allah telah menepati janji Nya, menolong hamba Nya, memuliakan tentera Nya dan menghancurkan musuh Nya bersendirian.

Maka sudah sampai masanya umat Islam harus benar-benar mengambil semangat dari laungan takbir tersebut. Takbir yang dilafazkan bukan sekadar adat kerana saban tahun kita melaungkan nya ketika meraikan hari raya Aidilfitri, tetapi ia mestilah memberi kesan dalam sanubari setiap jiwa Islam. Umat Islam harus menjelmakan kekuatan hasil dari roh takbir itu dalam pelbagai aspek kehidupan seharian. Malah lebih dari itu semangat, keyakinan dan kekuatan yang terjelma dari takbir itu juga, harus di salurkan untuk membantu umat islam sejagat.

Seperti isu Palestin yang tidak pernah bernoktah sehingga hari ini, tanggungjawab kitalah semua untuk memikulnya. Jangan pernah ada istilah jemu, jangan pernah ada rasa putus asa atau mengalah. Umat Islam adalah umat terbaik yang di ciptakan Nya. Kita ada segala sumber dan punyai kekuatan besar andai bersatu padu, andai kita seia sekata. Pertolongan Allah akan datang pada bila-bila masa, cuma sengaja Allah mahu melihat sejauh mana ikhtiar, keprihatinan dan tautan hati kita kepada Nya. Rasa bergantung kepada Allah haruslah tinggi di samping menyertakan segala usaha kita. Mungkin atau memang kita telah banyak berusaha untuk segala perkara selama ini, tetapi hasilnya mungkin tidak seberapa atau langsung gagal hakikatnya, ini kerana mungkin kita tidak buat semua perkara dengan jiwa. Juga kerana kita tidak cukup melakukannya dengan penuh bersemangat, boleh jadi itu penyebabnya.

Jadi ayuh umat Islam semua, kita perkasakan ilmu dan kemahiran, tingkatkan semangat dan jiwa kita, doa jangan di abai, tautan hati dan kebergantungan dengan Allah hendaklah terus, nescaya umat Islam akan jadi umat terhebat di dunia dan kejayaan akan kita genggam dengan segera. Allaahu akhbar, Allaahu akhbar, Allaahu akhbar, walillaahil hamd.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 6 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment