Hati yang Disayangi Allah (1)
- Ustazah Norhafizah binti Musa
Apakah warna hati kita?
Bagaimana suasana hati kita? Tenang, kelabu atau hitamkah warnanya?
Segmen Usrati Khamis lalu yang ke udara pada jam 5.15pm membincang tajuk
ini yang mana ianya diisi oleh Ustazah Nor Hafizah binti Musa.
Berbicara tentang hati memang tidak pernah habis kerana kita ini sebagai
manusia memang berubah-ubah sifatnya. Sedangkan alam lagikan berubah,
ini kan pula kita manusia. Tapi jangan berpandangan negatif tentang
ini, kerana ini lah namanya proses.
Hadis Nabi SAW, “bahawa di atas muka
bumi Allah ini ada bejana-bejana (bekas). Bekas-bekas tersebut ada
hati-hati manusia”. Jadi sifat bekas adalah menerima sahaja. Jenis-jenis
hati ada tiga iaitu hati yang paling jernih, hati yang paling teguh dan
hati yang paling lembut. Yang pertama hati yang paling jernih. Hati
jenis ini ialah hati yang paling yakin dengan Allah SWT. Mari kita
contohi sejarah pengorbanan yang sangat mahsyur di dalam al-quran iaitu
kisah Saidatina Siti Hajar dan suaminya Nabi Allah Ibrahim AS. Pasangan
ini mempunyai seorang anak yang bernama Ismail (Nabi Ismail AS).
Pengorbanan besar yang dilakukan Siti
Hajar ialah bermula dengan menanam keyakinan kepada Allah SWT.
Sanggupkah para wanita pada hari ini sekiranya ditinggalkan suami selama
bertahun-tahun lamanya? Hajar sanggup ditinggalkan dan terima dengan
redha perintah yang diberikan oleh Allah SWT yang sampaikan oleh
suaminya nabi Ibrahim AS. Saat di tanya oleh suaminya, “adakah engkau
sanggup untuk aku tinggalkan ditengah-tengah padang pasir wahai hajar? ”
Jawab Hajar, “ adakah ini arahan dari Allah SWT? ” Lalu Ibrahim AS
menjawab, “bahkan ya”. Sebaik mendengar jawapan tersebut, Hajar tanpa
merungut terus saja menerima dengan hati yang tenang dan redha atas
perintah dari Allah SWT itu. Cubalah kita bayangkan, Hajar bersama
anaknya Ismail AS dibawa ke tengah-tengah padang pasir yang kering
kontang oleh suaminya.
Sebaik tiba di padang pasir, maka
suaminya berpesan, “aku tinggalkan engkau bersama Ismail AS untuk suatu
tempoh yang agak lama di sini (padang pasir), berapa lama aku tidak
pasti, tunggu sehingga Allah SWT memerintahkan aku untuk kembali menemui
mu, diharapkan engkau dapat bersabar wahai hajar”. Hajar tanpa bertanya
apapun, terus akur, “kalau ini yang Allah mahu dan perintahkan, aku
terima kerana aku yakin apa jua yang Allah perintahkan tidak akan
sia-sia”. Walaupun ditinggalkan oleh suami bertahun-tahun di padang
pasir, dengan bekalan makanan yang sudah habis tetapi Hajar boleh
bersabar. Kesabaran Hajar sangat tinggi kerana dia amat yakin dengan
Allah, pasti ada hikmah, pasti ada sesuatu yang akan di beri oleh Allah
SWT. Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang tahu. Yang penting
sebagai hamba Nya kita kena yakin dan akur terhadap Nya. Itulah betapa
kuatnya keyakinan Hajar kepada Allah SWT. Tahap keyakinan kita
bagaimana?
Satu sisi lagi yang perlu kita lihat
ialah bagaimana positif dan halusnya kata-kata yang diungkapkan oleh
Hajar sebaik mendengar perrmintaan suaminya untuk ditinggalkan. Hajar
tidak marah, tidak mengeluh dan tidak juga merungut. Hajar juga tidak
bertanya macam-macam, mengapa begitu dan begini, malah dia turuti saja
kehendak Allah dan permintaan suaminya, untuk ditinggalkan dan mohon
hajar untuk bersabar. Mampukah kita sesabar dan seredha Hajar? Lihat,
hati Hajar sungguh jernih. Hati yang jernih akan mengeluarkan kata-kata
yang jernih.
Tindakan Hajar yang tidak banyak soal
itu dan kesanggupan dia menerima ujian tersebut dengan sabar yang
tinggi, maka tindakan Hajar itu telah melegakan hati suaminya, nabi
Ibrahim AS. Bagaimanakah kita, adakah kita telah banyak melegakan hati
suami? Satu kata-kata yang ingin saya berikan untuk kita berkongsi
bersama, “alangkah indahnya hidup ini jika kita bukanlah penyebab atau
menjadi punca yang menyebabkan orang lain susah”. Hidup kita ini biarlah
banyak memudahkan orang bukan menyusahkan orang. Sepantas mana kita
memberi kebaikan atau menolong orang lain, maka sepantas itulah kita
melalui titian sirat di akhirat nanti. Membuat perasaan orang lain
merasa lega juga adalah perkara yang besar di sisi Allah SWT. Ada banyak
perkara yang di lihat kecil pada pandangan manusia tetapi sebenarnya
hal yang kecil itu di lihat besar pada pandangan Allah.
Hajar dan Ibrahim AS adalah antara
manusia yang hebat di dunia kerana keikhlasan hati dan keyakinan mereka
terhadap pencipta Nya. Keikhlasan hati dan kesabaran mereka di uji lagi.
Setelah Ibrahim AS kembali menemui Hajar setelah bertahun-tahun
ditinggalkan dipadang pasir, ada lagi perintah baru daripada Allah SWT.
Kali ini Allah memerintahkan pula untuk Ibrahim AS menyembelih
satu-satunya anak mereka, Ismail AS. Lepas satu, satu mereka diuji. Yang
ini pun Hajar dan Ibrahim AS menerima dengan sabar. Anaknya Ismail AS
juga redha untuk disembelih kerana itu perintah dari Allah SWT. Begitu
tinggi tahap keimanan Ismail AS. Sanggup disembelih oleh ayahnya
sendiri. Yakinnya tiga beranak ini dengan Allah SWT.
Besar cerita tentang keyakinan ini
sebenarnya. Bertahun-tahun Allah menguji Hajar dan Ibrahim AS. Ujian
pula besar dan lebih dari satu. Hasilnya Allah angkat dan tatang nama
Hajar dan Ibrahim AS sepanjang zaman. Kesabaran kita tidak sekuat Hajar
dan Ibrahim AS sebab itu Allah bagi kita ujian untuk kita menjadi
seorang yang sabar. Bila kita dapat bersabar maka itu akan menjernihkan
hati kita. Taqwa itu bukan terletak pada orang yang berceramah. Bukan
juga terletak pada orang yang menyampaikan khutbah semata, tetapi ia
terletak dihati. Mudah-mudahan kisah pengorbanan Ibrahim AS, Ismail AS
dan Saidatina Siti Hajar bukan dihafal semata-mata oleh kita. Lebih
utama dari itu ialah moga-moga kita dapat betul-betul menghayati dengan
dalam bagaimana jika kita bertukar tempat dengan mereka. Mampukah kita
jadi seperti mereka? Janganlah segala kisah dalam Islam kita jadikan
retorik sahaja. Sama-sama kita mengambil pengajaran daripada kisah
mereka.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 9 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment