Sunday 2 November 2014

'IBRAH: Bunuh Diri Taubat Bani Israel

Bunuh Diri Taubat Bani Israel
- Ustaz Syaari Abdul Rahman

Segmen Ibrah bersiaran setiap Isnin, jam 5.15 petang minggu lalu di IKIMfm dimulakan dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman menyoroti kisah Nabi Musa AS yang begitu marah dengan kaumnya yang menyembah patung anak lembu sehingga terlepas batu (luh) yang tertulis kitab Taurat.

Apabila kemarahan Nabi Musa AS telah reda, baginda telah mengambil kembali batu (luh) Taurat tersebut. Ustaz Syaari mendefinisikan kemarahan itu sebagai satu ‘makhluk’ dan berada di dalam diri setiap manusia, termasuklah Nabi Musa AS sendiri. Kita perlu mengetahui bahawa kemarahan itu boleh dikawal dan akan bertindak apabila tidak dapat dikawal.

Nabi Musa AS telah mengumumkan hukuman membunuh diri terhadap mereka yang telah menyembah patung anak lembu tersebut seperti di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 54. Nabi Musa a.s. berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telh menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung ank lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, iaitu bunuhlah diri kamu.” Hukuman bunuh diri ini merupakan syariat pada masa itu untuk mereka yang ingin bertaubat. Adapun umat Nabi Muhammad SAW begitu beruntung kerana Allah SWT tidak memerintahkan membunuh diri apabila mereka ingin bertaubat. Sewajarnya kita bersyukur kerana dengan melahirkan keinsafan dan penyesalan, berjanji untuk tidak mengulangi dan seterunya meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan itu merupakan bentuk taubat untuk umat Nabi Muhammad SAW.


Ustaz Syaari seterusnya menekankan bahawa jenayah murtad adalah satu perkara yang amat serius, maka hukuman bunuh diri adalah wajar. Seperti yang berlaku kepada Bani Israel, mereka bukan sahaja sengaja dan gembira menyembah patung anak lembu tersebut, malah juga mengingkari kata-kata Nabi Harun a.s. Di samping itu, mereka juga telah diberi kemuliaan oleh Allah SWT dengan dizahirkan pelbagai mukjizat termasuklah Allah pernah selamatkan mereka daripada cengkaman Firaun, namun mereka masih mahu kembali kepada penyembahan berhala. Adakah dengan kembali murtad ini dikatakan sebagai terima kasih kepada Allah yang menyelamatkan mereka?

Dengan pengisytiharan hukuman bunuh diri kepada mereka yang menyembah berhala, ada di antara mereka yang terbunuh, ada yang bunuh diri dan ada juga yang belum sampai ajalnya walaupun dibunuh dan golongan ini diampunkan Allah kerana telahpun menjalani hukuman mereka.

Nabi Musa AS berasa amat terkejut dan bersalah terhadap apa yang telah berlaku. Oleh itu baginda telah memilih dan membawa seramai 70 orang lelaki daripada Bani Israel, iaitu mereka yang beriman, yang tidak menyembah berhala tersebut ke Gunung Tursina, tempat baginda bermunajat kepada Allah sebelum ini. Dalam perjalanan menuju ke Gunung Tursina, baginda meminta 70 wakil tersebut untuk menunggu baginda di satu lereng bukit dan baginda meneruskan perjalanan bertemu dengan Allah SWT.

Setelah kembali daripada bertemu Allah, Nabi Musa kembali kepada 70 wakil tersebut dengan membawa berita gembira. iaitu Allah SWT telah mengampunkan dosa mereka seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 153. Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengmpun lagi Maha Mengasihani.
Sebaik sahaja Nabi Musa a.s. memberitahu mereka berita gembira itu, mereka dengan tiada segan silu memberitahu Nabi Musa untuk bertemu dengan Allah SWT. Dan ketika kamu berkata: Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami).” (Surah Al-Baqarah, ayat 55).
Menariknya, Ustaz Syaari merujuk Bani Israel yang tidak mempunyai keteguhan iman ini dengan istilah ‘berpenyakit’. Inilah akibat terlalu lama dijajah oleh Firaun dan terlalu lama hidup dalam penyembahan berhala. Mereka tidak sedar bahawa mereka hanyalah makhluk dan tidak layak untuk melihat Khaliq. Kata-kata mereka ini telah menyebabkan berlakunya gempa bumi dan petir yang akhirnya meragut kesemua nyawa mereka.

Nabi Musa yang melihat keadaan demikian merayu kepada Allah SWT apakah yang akan dikatakan kepada kaumnya sekembali baginda nanti kepada mereka? Tidakkah mereka akan mengatakan bahawa bagindalah yang telah membunuh kesemua mereka? Maka ketika mereka digegar oleh gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? Itu hanyalah cubaan-Mu.” Nabi Musa berdoa kepada Allah supaya membangkitkan mereka semula. Rahmat Allah yang begitu luas telah membangkitkan semula kesemua mereka daripada mati.

Ustaz Syaari mengajak para pendengar untuk bermuhasabah sekiranya kita berada di tempat Bani Israel dengan mukjizat yang berlaku pada diri sendiri, iaitu mati dan dihidupkan kembali. Apakah tidak kita bertaubat dan bersyukur kepada Allah SWT? Ibnu Kathir memetik kata-kata seorang sahabat yang bernama Qatadah r.a. yang mengatakan Nabi Musa a.s. diberitahu melalui Surah Al-A’raaf, ayat 157, bahawa akan datang kemudian nanti seorang Rasul yang Ummi, yang tidak tahu membaca atau menulis, dan namanya akan tertulis di Kitab Taurat dan Injil. Umatnya adalah lebih baik dan dengan itun Nabi Musa meminta kepada Allah untuk menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi Allah tidak mengabulkan doa Nabi Musa itu.

Setelah kesemua 70 Bani Israel tersebut dihidupkan kembali oleh Allah SWT, mereka berasa amat takut dan gentar dengan pengalaman menghadapi kematian. Nabi Musa membawa mereka ke Gunung Tursina, tempat baginda bermunajat kepada Allah SWT. Di sinilah Allah telah mengambil perjanjian daripada mereka seperti di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 63. Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami angkatkan gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman): “Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya supaya kamu bertaqwa.” Bani Israel patuh dengan perjanjian mereka ini kerana takut gunung tersebut akan menghempap mereka. Mereka mendengar, akan tetapi setelah turun dari Gunung Tursina mereka mengabaikannya dengan perlakuan dalam kehidupan mereka.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 30 September 2014

No comments:

Post a Comment