Sunday 2 November 2014

Fitrah Kemaafan

“Maafkan ajelah….”, itulah kata-kata pujukan atau nasihat yang pernah kita dengar atau kita terima daripada keluarga atau rakan. Saya faham dan akui  bukan mudah untuk meminta maaf atau kita memberi maaf kepada seseorang. Kesukaran ini adalah kerana bergantung kepada besar mana dan jenis kesalahan yang dilakukan oleh seseorang terhadap kita. Meminta maaf dan memberi kemaafan adalah dua perkara yang berbeza. “Bukan awak yang kena, cuba awak yang duduk tempat saya…” , itulah jawapaan balas kita ketika di persoalkan oleh mereka mengapa kita sukar memaafkan. Siapa yang rasa, dia tahulah.

Kemaafan bukan hanya pada bulan Syawal, tapi harus dimulakan seawal Ramadan yang lalu. Kita diajar untuk selalu berdoa dengan doa ini, “ Ya Allah engkau maha pengampun, engkau suka mengampunkan, aampunilah kami…”. Para pembaca sekalian, hati ini seumpama gelas, hati akan kotor dengan api didalam. Ibarat pelita, bila cermin gelap, api didalam pelita itu tidak akan nampak. Jadi kena bersihkan jelaga-jelaga yang mengotorkan gelas itu. Namun api tidak akan padam, itulah fitrah manusia sentiasa buat salah.


Seumpama kanak-kanak, mereka adalah manusia yang paling gembira. Bila menangis sekejap lagi ketawa. Hati yang suci ibarat kanak-kanak. Bia kita saling memaafkan, kita akan kembali kepada fitrah. Salah satu sebab berlakunya pergaduhan kerana susah untuk memaaf dan melupakan. Untuk senangkan hati kanak-kanak mudah berbanding orang dewasa. Contohnya jika kita bagi “handphone” pada isteri, itu pun dia akan memberikan komentar yang  bermacam-macam. Sebaliknya kanak-kanak jika diberikan hanya gula-gula yang dibeli di kedai runcit, mereka sudah sangat gembira dan menerimanya tanpa banyak komplen itu dan itu. Mereka tidak akan persoalkan kenapa bagi gula-gula murah, alah dapat dua biji ke, semua itu tidak akan kita dengar. Malah sekalipun jika kita hanya sergah kanak-kanak sebagai tanda bergurau, mereka sudah boleh ketawa, berbanding orang dewasa yang risiko di maki atau di marahi itu tinggi. Itulah kanak-kanak, hati mereka suci dan sangat mudah untuk buat mereka gembira.

Sebagai motivasi bersama, bila kita maafkan orang, maka Allah ampunkan kita. Kita akan lebih tenang. Saidina Abu Bakar As-Siddiq sangat terkenal dengan sikap memaafkan orang. Suatu hari Sayyiduna Rabiah bermasam muka kerana kecil hati dengan Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar menyuruh saidina Rabiah cakap kembali kepadanya apa yang telah dia (Abu Bakar) katakan pada saidina Rabiah. Jawab Sayyidina Rabiah, aku tak akan cakap melainkan hanya perkataan yang baik-baik saja”. Lalu Sayyidina Abu Bakar mengadu dengan rasulullah saw sebab tidak puas hati kerana saidina Rabiah baik sangat, tidak mahu membalas kaata-kata saidina Abu Bakar. Jadi rasulullah saw meminta saidina Rabiah berdoa kepada Allah agar saidina Abu Bakar diampunkan. Lalu Saidina Abu Bakar memalingkan mukanya ke tepi dan menangis kerana terharu saidina Rabiah mendoakan kemaafan untuknya. Memaafkan dan membalas kejahatan orang adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun kita telah memaafkan seseorang tetapi kita boleh membalasnya. Maaf tetap maaf, tapi kita boleh ambil tindakan. Ini kerana kata Allah, orang yang bijak tidak akan jatuh lubang yang sama dua kali. Contohnya macam kes dera, kita boleh maafkan si tukang dera, tapi kita perlu laporkan kepada mahkamah.

Sebagai motivasi lagi, orang yang mudah memaafkan tidurnya lena, makannya kenyang, hatinya tenang, wajahnya sedap mata memandang. Bersihkan hati, macam mana caranya? Ada satu cara, kita bagi hadiah pada orang yang buat salah dengan kita. Kalau kita memberi, kita akan rasa lebih bahagia. Ego memang ada pada manusia dan tetap kena ada ego, tapi bagaimana untuk mengawalnya. Orang yang sabar dan mengampunkan sesungguhnya itu sesuatu yang besar di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan kita dapat mengambil salah satu daripada sifat Allah Taala iaitu memaafkan. Allah sifatkan kemaafan ini sebagai satu perkara yang sangat-sangat cantik. Semoga kita jadi cantik, kita jadi indah, kita dapat kembali kepada fitrah dengan sifat kemaafan daripada kita. Kalau hendak jadi cantik dan indah mari kita cuba maafkan orang.

Menerusi FirmanNya dalam Surah At-taghabun ayat 14, “ wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada antara isteri-isteri dan anak-anak kamu yang menjadi musuh kamu. Oleh itu, berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Sekiranya kamu memaafkan dan tidak memarahi (mereka) serta memaafkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Jadi ketahuilah para pembaca sekalian, sebenarnya keluarga juga jadi penghalang untuk kita jadi baik. Perkara pertama memaafkan terlebih dahulu,  buka lembaran baru. Hakikatnya fitrah manusia adalah memberi kemaafan, namun terpulanglah kepada manusia itu sendiri samaada hendak memaafkan seseorang atau tidak. Habluminallah dan habluminannas. Hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Dengan Allah dosa apapun akan diampunkan, dek kerana sifat Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya Allah, tetapi dosa sesama manusia “pandai-pandailah” diselesaikan. Untuk mendapat kemaafan daripada seseorang, si tukang salah pun kenalah meminta maaf dengan penuh keikhlasan, ketahui macam mana adap-adap minta maaf yang betul. Ini tidak, kalau kita tidak dapat memaafkan seseorang, kita pula yang dituduh berdosa kerana tidak dapat memaafkan. Sedangkan orang lain yang buat salah dengan kita. Apatah lagi jika kesalahan itu besar, melibatkan nyawa dan maruah dan harga diri seseorang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 21 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment