Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Memberi Kebaikan yang Terbaik

Rasulullah SAW mengungkapkan saranan menerusi hadis Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah mafhumnya, “Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi)

Pekerjaan adalah proses, wadah dan kaedah untuk beri kebaikan kepada orang lain. Bukan sekadar mendapat laba tetapi gudang memperoleh pahala. Bukan semata makan gaji tetapi menghadam sebanyaknya kebaikan dan reda Ilahi.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi mengajak kita melihat pekerjaan dari perspektif Islam yang kaya dengan kebaikan dan punya kaitan dengan tujuan kehidupan menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm; Rabu lalu. Pegang kata kunci “Beri kebaikan yang terbaik jika ingin menjadi baik” untuk membezakan pekerjaan manusia dengan mahluk Allah yang lain mahupun meletakkan beza pekerjaan umat Islam dengan yang belum beragama Islam.
Menyorot kehidupan sebagai hamba Allah SWT juga khalifah di atas muka bumi diberi tanggungjawab bekerja sebagai salah satu cabang ujian dan menjadi kewajipan untuk ‘menang’ dalam menyahut ujian tersebut. Caranya dengan melaksanakan perkerjaan pada tahap ‘terbaik’ sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Mulk ayat dua mafhumNya, “Dialah yang mencipta mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.
Dalam gelanggang yang bernama pekerjaan serba serbi bakal diuji. Kompetensi diuji, kesungguhan diuji, kecekapan diuji, keikhlasan diuji dan akhlak juga tidak terlepas dari diuji. Setiap ujian menjadi kayu penanda keperibadian seseorang mukmin.

Allah berfirman di dalam Surah al-Qasas ayat 26 mafhumnya, “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” Perlu menggabungkan ciri-ciri dari sudut al-quwwah;  iaitu kekuatan serta kemampuan bukan sekadar fizikal tetapi juga ilmu dan kemahiran dan al-amanah; punya amanah, ketelusan serta kasih sayang dalam melaksanakan tugasan. Inilah sifat umat Islam dalam bekerja. Ada gabungan kepakaran juga keimanan, ada cantuman integriti dan kompitansi. InsyaAllah segala yang direncana menjadi dan diberkati.

Melakukan kerja dengan acuan Allah bukan terapan manusia akan melahirkan pekerja yang punya prestasi kerja yang tinggi. Terdapat tiga (3) elemen sebagai neraca kerja yang terbaik. Pertama; capai kualiti dengan input yang sedikit menghasilkan output yang banyak, kedua; kuantiti yang lebih baik dan ketiga; akhlak, etika serta adab yang terpuji yang membangun jati diri, sahsiah dan peribadi seorang mukmin.

Menelusuri cara kerja yang dipamerkan oleh Imam Malik rahimahullah ketika menyuarakan pendapat untuk menulis Kitab Muwatta’ dan dipertikaikan oleh orang lain kerana ketika itu sudah ada Kitab Muwatta’ yang ditulis oleh orang-orang terdahulu, jadi apakah perbezaan pada hasil tangan Imam Malik? Lalu Imam Malik rahimahullah menegaskan perbezaan terletak pada keikhlasan dan keikhlasan itu akan berkekalan.

Imam Malik rahimahullah telah menulis dengan ikhlas dan mengharap reda Allah SWT sehinggakan beliau menyaring tiga ribu daripada sepuluh ribu hadis dalam menghasilkan Kitab Muwatta’ karangan beliau. Beliau begitu teliti dan hanya inginkan yang terbaik. Sebagai ganjaran ketelitian, kesungguhan dan curahan ilmu yang terbaik itu, sehingga hari ini jika menyebut Kitab Muwatta’ hanya terbayang Kitab Muwatta’ milik Imam Malik rahimahullah dan terpadam kitab-kitab muwatta’ yang terdahulu sebelum beliau. Hebatnya keikhlasan yang akhirnya melahirkan ketelitian dan kesungguhan. Rasullullah SAW pernah menyatakan bahawa Allah SWT menyayangi hamba-Nya yang sentiasa melakukan kerja dengan cara yang terbaik dan bersungguh-sungguh.

Bukan suatu yang mudah untuk melakukan kebaikan. Terkadang setiap kebaikan yang dilakukan perlu kepada perlindungan dari tempias kata-kata yang mengecewakan. Allah SWT mengingatkan bahawa kesenangan dan kesusahan itu adalah ujian ke atas hambaNya dan ia adalah sunnatullah. Bukankah syurga itu dipagari dugaan dan ujian sedang neraka dipagari kesenangan serta kenikmatan? Sedangkan Rasulullah SAW sebaik-baik manusia juga diuji apatah lagi kita manusia biasa yang selayaknya diuji.

Jika ada suara mengkritik perbuatan baik kita, Ustaz Pahrol menasihatkan agar kita katakan kembali bahawa perbuatan atau kerja baik kita bukan bererti kita sudah menjadi baik, tetapi itu sahaja usaha kita untuk menjadi orang yang baik. Dan jika ditanya adakah kita sudah baik? Usah yakin bahawa kita sudah jadi baik tetapi jawablah dengan yakin bahawa kita sedang dalam usaha menjadi baik dengan melakukan kebaikan dengan kebaikan yang terbaik.

Walau apa jua kekangan, lakukanlah kebaikkan dengan sehabis baik dan penuh kesungguhan serta iltizam kerana ia sangat berkait rapat dengan iman dan cara meraih reda serta cinta Allah SWT. Dr. Yusof Qardawi mengatakan bahawa dalam usaha meningkatkan prestasi kerja dan produktiviti pengeluaran, tiada pendorong dan penggerak yang lebih kuat pengaruhnya selain dari iman. Ini akan melahirkan pekerja  yang selari dengan falsafah Islam. Malah etika dan profesionalisme Islam meletakkan kesetiaan kepada Allah SWT dan rasulNya mengatasi segala-gala nilai yang wujud dalam sesuatu sistem atau budaya.

Sebagaimana hadis di awal perkongian tadi berkenaan kesungguhan dan ketelitian, Allah SWT sangat menyukai hambaNya yang itqan dan mengelokkan kerjanya. Kerja yang bersungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah SWT dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya. Seiring pelaksanaan kerja yang baik, prinsip kesempurnaan juga sangat menitikberatkan elemen ikhlas. Semoga dicampakkan ikhlas ke dalam hati kita sewaktu melaksanakannya. InshaAllah.

Jawatan, kerja, tugas atau apa jua profesyen yang kita pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai suatu alat untuk mencapai cita-cita dunia tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan dengan cara yang sempurna. Mudah-mudahan kerja yang kita lakukan itu bukan sahaja membawa faedah duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk ubudiyyah kita kepada Allah SWT .

Islam bukan sekadar mendidik kita untuk memberi kebaikan, malah menuntut kita menghulur kebaikan yang terbaik. Lakukan kerja tidak cukup dengan buat kerja yang betul tapi laksanakan dengan betul-betul. Sesungguhnya kerja itu untuk dijalani, dinikmati dan disyukuri, semoga kita dapat lakukan kerja kita dengan sepenuh hati, penuh kasih sayang dan dilaksana dengan yang TERBAIK.

No comments:

Post a Comment