Sunday 2 November 2014

Di Manakah Al-Mu'Tassim untuk bela Warga Palestin

Dalam kita bergembira menyambut Hari Raya Aidil Fitri, saudara seagama kita di Gaza, Palestin terus disembelih tanpa belas kasihan oleh zionis Yahudi. Ketika rencana ini ditulis sudah lebih seribu orang dibunuh dengan kejam, manakala ribuan lagi cedera dan ratusan ribu menjadi pelarian. Seperti yang diungkapkan oleh Michael Heart dalam lagusnya We Will Not Go Down (Song for Gaza)”, pemimpin dunia di dan Pertubuhan Bangsa-Bangsan Bersatu (PBB) masih sibuk berbahas siapa yang benar dan siapa yang bersalah, sedangkan setiap jam rakyat Palestin dibunuh. Amerika Syarikat pula terus mendendangkan laungan kononnya “hak Israel untuk mempertahankan diri” dari serangan roket Hamas Palestin, tanpa mereka mengakui bahawa Israel lah punca sengketa ini dari awalnya lagi – perompak tanah hak milik mutlak penduduk Palestin. Masakan apabila rumah kita dinaiki perompak, tindakan kita menghalau perompak itu maka perompak boleh pula mengadu kononnya bahawa dia mempertahankan diri? Di manakah bangsa Yahudi sebelum 1948? dan bagaimana Israel meluaskan jajahan takluknya setiap tahun bahkan setiap hari. Berapa banyak resolusi PBB yang tidak dipatuhi oleh Israel termasuklah persetujuan mewujudkan dua entiti negara berbeza. Siapakah yang memberikan hak kepada Israel untuk mengenakan sekatan ke atas Gaza sehingga menjadikan 1.8 penduduk di situ sebagai penghuni penjara terbesar di dunia?


Itulah senario yang melanda umat Islam di Gaza hari ini. Lebih menyedihkan lagi apabila tiada seorang pun pemimpin umat Islam hari ini yang berani mengherdik Israel agar menghentikan penyembelihan itu kecuali pemimpin Turki. Tiada satu pun negara Arab yang mempunyai hubungan diplomatic dengan Israel berani mengambil apa jua tindakan. Sungguh berbeza dengan negara-negara Amerika Latin seperti Brazil, Ecuador, Peru dan Chile yang memanggil kembali dutanya di Tel Aviv sebagai membantah tindakan kejam Israel membunuh rakyat Palestin.

Peristiwa ini sepatutnya menyedarkan kita umat Islam semua betapa kita tidak lagi memiliki pemimpin yang berani membela nasib umat Islam di atas mukabumi hari ini. Semua yang ada pengecut belaka dan tidak berani bertindak kerana takutkan Amerika Syarikat dan negara-negara besar lain sekutu Israel. Tiada lagi Umar al-Khattab, Salehuddin al-Ayubi atau Khalifah al-Mu’tasim hari ini.

Ibn Athir dalam kitabnya “al-Kamil fi al-tarikh” mencatatan peristiwa yang berlaku pada tahun 223 Hijriyyah bersamaan 838 Masehi, yang dikenali dengan nama “Peristiwa Penaklukan Ammuriah”. Peristiwa yang dicatatkan dengan tinta emas ini berlaku di zaman Khalifah al-Mu’tassim, khalifah terakhir kerajaan Abbasiyyah yang memerintah sekitar 833-842 Masehi. Apabila seorang muslimah telah ditangkap dan dipenjara serta dihina auratnya oleh tentera Rom, maka muslimah tersebut melaungkan “wa mu’tassim” yang bermaksud “Wahai Mu’tassim, tolonglah aku” dengan maksud menyeru khalifah agar datang membelanya. Laungan wanita tersebut telah disampaikan ke telinga khalifah al-Mu’tassim lantas beliau mengerahkan segala bala benteranya menuju ke utara benua Asia, yakni kota Ammuriah di Turki hari ini. Bayangkan khalifah di Baghdad mengerahkan tentaranya ke Turki yang beribu batu hanya untuk membantu seorang muslimah yang kehormatannya dihina oleh tentera kafir Rom. Kota Ammuriah dikepung oleh tentera Islam lebih lima bulan hingga akhirnya ditakluk oleh Khalifah al-Mu’tassim pada 13 Ogos 833. Bayangkan hanya kerana maruah seorang wanita Islam dihina oleh tentera kuffar Rom di Turki, ribuan bala tentera umat Islam di Baghdad dikerah membelanya. Setelah berjaya menawan kota Ammuriah, khalifah sendiri dengan rendah diri, tawaduk masuk ke penjara dan membuka rantai yang mengikat muslimah yang memohon pertolongannya itu tadi. Apabila ditanya siapakah engkau? Khalifah menjawab “akulah Mu’tassim yang kau minta pertolongan sebelum ini”. Peristiwa ini berlaku ketika khalifah Islam berada dalam keadaan paling lemah dan sejurus selepas itu ianya digulingkan oleh Hulagu.

Namun apa yang ditunjukkan oleh Khalifah al-Mu’tassim itu merupakan teladan yang diambil dari Baginda SAW. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, ada seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ yang menjatuhkan kehormatan seorang Muslimah dengan mengikat hujung bajunya sehingga menyebabkan kainnya tersingkap dan menampakkan auratnya. Pada ketika itu, ada seorang lelaki Islam yang berkebetulan berada di situ lalu membunuh orang Yahudi itu. Orang-orang Yahudi kemudiannya berpakat dan membalas dengan membunuh lelaki itu pula. Keluarga lelaki itu kemudiannya memanggil kaum Muslimin untuk membantu dan apabila dimaklumkan kepada Nabi SAW, Baginda SAW mengirimkan pasukan melawan mereka dan setelah lima belas hari pengepungan seluruh suku Bani Qainuqa’ telah diusir dari Madinah. Subhanallah!

Lihatlah apa yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam sejak dari zaman Baginda SAW hinggalah Khalifah al-Mu’tassim yang membela dan menjaga maruah sesama saudaranya. Nah, hari ini lihatlah berapa ramai umat Islam yang dianiayai bukan sahaja maruah dan kehormatan mereka dicalar, bahkan nyawa mereka juga diragut tanpa ada pembelaan dari mana-mana pemimpin Islam. Saudara kita di Gaza sepanjang Ramadhan berteriak memohon bantuan dan pertolongan dari kita namun tiada yang mengendahkan. Di ketika kita sibuk membeli baju baharu untuk berhari raya, mereka sibuk membelikan kain-kain kapan untuk para syuhada mereka. Di ketika merka cuba untuk menyambut Hari Raya, Israel mengebom dan membunuh anak-anak mereka di taman-taman permainan denga rakus dan kejam seperti seekor anjing gila. Adakah pemimpin umat Islam hari ini pekak dari mendengar teriakan memohon pembelaan dari saudara kita di Gaza, Syria, Iraq dan seluruh dunia?. Dimanakah al-Mu’tassim hari ini? Di manakah OIC? Di manakah Liga Arab?
Lupakah mereka bahawa anjuran agar membantu umat Islam yang ditawan dan diseksa merupakan perintah dalam agama Islam sepertimana sabda Baginda SAW, mafhumnya,“Berikanlah makan pada seseorang yang merasa lapar, kunjungilah seseorang yang sakit dan bebaskanlah seseorang yang ditawan.” Ibnu Taimiyyah pernah berkata, “Jika mereka menahan seorang Muslim, adalah suatu kewajiban kita untuk tetap memerangi mereka sampai mereka membebaskan mereka atau mereka dimusnahkan,” Inilah kewajipan kita terhadap saudara kita di Gaza yang sedang disembelih oleh tentera zionis dan disokong oleh sekalian sekutunya. Mereka dikepung dan ditawan oleh zionis sejak sekian lama dalam penjara terbesar di dunia.

Sejarah Islam telah mencatatkan dengan tinta emas kisah-kisah tauladan abadi dari mereka yang membela kehormatan kaum Muslimin yang dizalimi. Khalifah al-Mu’tasim adalah salah satu contoh yang paling menakjubkan dalam menanggapi panggilan seorang Muslimah yang dizalimi kaum kuffar. Hari ini bukan seorang, sudah lebih 1000 orang dibunuh di Gaza tanpa belas kasihan. Bukan lagi maruah seorang muslimah, tetapi lebih seribu nyawa diragut dengan tanpa ada pembelaan.

Ketandusan kita terhadap pemimpin berjiwa besar dan berani seperti Khalifah al-Mu’tassim adalah manifestasi terhadap kelunturan dan kelemahan iman kita dan pemimpin kita. Kelemahan iman itu disebabkan oleh ‘kecintaan kita terhadap dunia dan takutkan mati’ sepertimana mafhum Hadith Baginda SAW. yang sering dibacakan.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat Madrasah Ramadan yang baru berlalu untuk benar-benar menghayati Islam dan menjadi insan yang benar-benar bertakwa. Kita tidak boleh lagi mengharapkan orang lain menjadi seperti Khalifah al-Mu’tassim, tetapi membina diri kita sendiri menjadi insan-insan hebat seperti itu. Wallahu’alam

>> penulis ialah Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 31 Julai 2014
 
 

No comments:

Post a Comment