Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Manusia dan Harapan III

Untuk siri ketiga membicarakan “manusia dan harapan”, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin menyambung perkongsian menerusi rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm pada Isnin lepas dengan mengimbau kembali bahawa manusia itu secara fitrahnya mempunyai harapan dalam kehidupan. Berbekalkan harapanlah ramai manusia yang dilanda ujian akan terus mempunyai kekuatan untuk mengatur langkah meneruskan kehidupan di dunia ini.

Walaubagaimanapun, kita diingatkan, harapan yang disandarkan oleh seseorang itu jika tidak diperhalusi akan niat, tujuan dan cara mencapai sesuatu harapan itu, boleh menyebabkan pemiliknya dilambung tinggi di awangan tanpa berpijak dibumi nyata. Lebih malang lagi jika sesuatu harapan yang dipertaruhkan dalam kehidupan adalah yang tidak selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan penganutnya mencari kepada kebahagiaan didunia berserta kejayaan di akhirat. Harapan tidak bertepatan dengan syariat ini adalah akibat daripada seseorang itu diperdaya oleh bisikan syaitan yang mahu memesongkan anak Adam jauh dari ajaran Islam.

Mengimbas empat perkara yang telah dikongsikan Ustaz Muhamad pada siri lalu berkenaan harapan yang dibisikkan syaitan adalah: “Mencari Puas Hati”, “Mencari Ketenangan Dengan Jalan Maksiat” dan “Kaya Dengan Jalan Bakhil” dan “Kaya Dengan Jalan Maksiat”. Minggu ini Ustaz Muhamad menyebutkan empat lagi perkara yang perlu kita muhasabah dan awasi sekiranya perkara-perkara tersebut terselit di hati dalam kita menyimpan harapan dalam kehidupan.


Yang seterusnya pada minggu ini disebutkan sebagai harapan yang dipengaruhi bisikkan syaitan adalah Keuntungan Dengan Berbuat Jahat. Dalam Surah Al Baqarah ayat 268, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (Jika kamu bersedekah atau berderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut) sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.”

Menjadi kebiasaan  manusia memang suka kepada harta kekayaan. Namun begitu, iman dan ilmu kepada akhiratlah yang mengawal hati dan cara seseorang itu dalam mencari harta kekayaan. Tanpa dipandu sifat-sifat mahmudah, seseorang insane akan mudah dipengaruhi janji-jani dan harapan kesenangan oleh bisikkan syaitan dengan jalan yang mungkar. Perumpamaan perkara ini yang diberikan ustaz Muhamad adalah seorang pencuri itu jika mencuri bagi mengisi keperluan terdesak berkemungkinan akan terlepas dari pandangan atau tertangkap. Tetapi apabila berjaya terlepas dari tertangkap pada kali pertama syaitan membisikkan agar terus mengulangi perbuatan tersebut dengan harapan akan terus terlepas dan menjadi kaya dengan hasil menipu dan mencuri. Begitulah juga bisikan yang sama untuk  jalan batil yang lain dalam usaha mendapat kekayaan atau keutungan. Dan begitu jugalah dalam konteks rumahtangga, suami atau isteri yang dipengaruhi bisikan ini akan berlaku tidak adil atau derhaka terhadap pasangan dengan persepsi mengatakan itulah yang terbaik dilakukannya.

Berterusan membuat sesuatu kesalahan dalam jangka yang panjang ini, lama-kelamaan akan menjadi tabiat yang dirasakan betul dan akhirnya apabila tersedar, baik didunia mahupun diakhirat, semua harapan itu tidak akan memberikan sebarang keuntungan dan kebaikan lagi, bahkan penyesalan yang besar jika tidak bertaubat dengan segera.

Seterusnya yang keenam adalah syaitan itu membisikkan perkara Yang Mengaibkan Diri. Merenung surah Al A’araf ayat 20, “Maka syaitan membisikkan pikiran jahat kepada keduanya (Adam dan Hawa) untuk menampakkan kepada keduanya apa yang tertutup dari mereka yaitu auratnya dan syaitan berkata: “Tuhan kamu tidak melarangmu dan mendekati pohon ini, melainkan supaya kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang-orang yang kekal (dalam surga)”.

Melayari bahtera rumahtangga memerlukan ilmu dan kasih sayang. Walaubagaimanpun adakalanya seseorang itu meneladani caranya dibesarkan atau mengadaptasi perlakuan terhadap pasangan dan anak-anak berdasarkan persepsi-persepsi yang dibisikkan syaitan sebagai cara yang dianggap betul dalam rumahtangga. Contohnya melayan isteri dengan kasar dan buruk dengan anggapan isteri itu patut dilayan sedemikian atau jika tidak mereka tidak menghormati suami. Sedangkan didalam Islam, berlemah lembut dengan ahli keluarga dalam perbuatan dan perbualan adalah tauladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terhadap ahli keluarga dan sahabat baginda.

Begitu juga seorang isteri yang tanpa segan silu menggunakan suara yang tinggi dan kasar terhadap suami dihadapan orang ramai kerana menurut hasutan syaitan yang mengatakan itulah yang terbaik sedangkan kenyataannya kita hanya mengaibkan diri dengan perbuatan yang buruk. Mudah dilihat dalam mencari kesederhanaan dalam perbuatan, umumnya semua manusia suka kepada akhlak yang baik, lemah lembut dan tenang,justeru  itulah yang sebaik-baik yang perlu diamalkan bagi menjauhkan diri dari mendengar bisikan harapan syaitan yang sentiasa berusaha menjatuhkan manusia kearah kehinaan. Jadikan lah Rasulullah SAW sebagai tauladan dan Al Quran sebagai panduan dalam akhlaq kita menghadapi kehidupan ini.

Yang terakhir pada sesi kali ini berkaitan harapan yang dibisikkan syaitan adalah yang paling bahaya. Syaitan berkerja untuk membuatkan manusia itu bersifat dan bersikap yang bertentangan dengan apa yang dianjurkan baik oleh Islam.  Syaitan berusaha menjauhkan manusia daripada pengetahuan tentang sifat Allah yang maha pengampun pada yang bertaubat, maha pengasih pada yang meminta padaNya dan maha memberi kebaikan pada yang takut dan merendah diri padaNya semata-mata. Harapan yang sangat bahaya dan  harus sentiasa kita waspada itu adalah bisikan “Tiada Harapan lagi” atau “Putus Harapan”.
Menyingkap surah Ali Imran ayat 175 Allah swt memberi peringatan bahawa “Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan, yang (bertujuan) menakut-nakutkan, (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.”
Rasa putus asa lazimnya terzahir apabila harapan dan impian kita tidak berlaku seperti dirancangkan atau juga apabila teruji dengan sesuatu dugaan. Ada juga yang merasa terbeban dengan ujian akan mengeluh seperti menyalahkan takdir. Sedangkan Allah yang maha pengasih mengatur segalanya sesuai dengan keperluan dan kebaikan hamba-Nya. Hanya Allah swt yang maha mengetahui setiap perancanganNya dan memberikan yang terbaik untuk ciptaan-Nya.

Maka apabila dilanda kegelisahan, Ingatkanlah diri sesungguhnya ujian itu tanda sayangnya Allah pada hamba-Nya. Berfikirlah sebelum mudah merasa kecewa dan putus asa dengan mengenang segala nikmat yang Allah limpahkan kepada kita selama ini. Justeru ingatkanlah diri juga orang yang kita lihat sedang melalui ujian yang berat itu, bahawasanya para Nabi adalah yang paling berat diuji, jadi apalah jika hendak dibandingkan dengan ujian yang kita lalui.

Allah berfirman mereka yang bertaqwa kepadaNya akan diberi jalan keluar atas segala kesulitan dan kesusahan dengan jalan yang tidak disangka-sangka. Bertaubat lah dengan sesungguhnya jika merasa sesal terhadap sesuatu dosa kerana sesungguhnya Allah swt itu maha Pengampun dan maha menerima taubat hambanya yang mengharap.

Jauhkanlah perasaan kecewa dan elakkanlah berfikir untuk melakukan perkara yang sia-sia hingga ada terfikir bunuh diri dan sebagainya yang merugikan diri hanya kerana kecewa yang sementara! Janganlah bersedih dan kecewa kerana di sebaliknya tersimpan kebahagiaan yang Allah hadiahkan sebagai hikmah-Nya. Teruslah berjalan di dalam dunia ini dengan berhati-hati dan berwaspada dengan janji-janji syaitan yang mahukan kita menaruh harapan yang menjauhkan kita dari Allah swt.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 
15 September 2014

No comments:

Post a Comment