Sama ada kita sedar atau tidak, kita
adalah seorang guru. Dalam ertikata lain setiap perbuatan dan tindakan
kita adalah dalam bentuk mendidik dan memberi kebaikan tidak kira kepada
sesiapa sekalipun apatah lagi kepada diri kita sendiri. Pakar
Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menerusi rancangan
Tarbiah di IKIMfm memberi beberapa panduan terutama kepada seorang
individu yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru.
Guru atau pendidik adalah orang yang
bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara formal kepada murid-murid. Ini
bermakna, seorang guru juga bertindak sebagai model bagi anak murid
kerana bagi sesiapapun yang terdidik, orang pertama yang menjadi
pendidik selain ibu bapanya adalah insan yang bernama guru. Oleh kerana
itu kata Prof Muhaya, para pendidik terutama guru yang diberi
kepercayaan untuk mengajar anak-anak di usia bermula dari kanak-kanak
lagi penting baginya menonjolkan suri tauladan yang baik bagi mencorak
anak-anak untuk lahir sebagai manusia yang penuh kebaikan.
Kanak-kanak belajar dari orang dewasa,
sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan
nilai-nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar
yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada di depan mata akan diterima tanpa
ada sebarang prejudis. Justeru para gurulah yang bertindak untuk
mencorak dan membina sudut fikir seseorang hingga menjadi manusia yang
bersifat rabbani.
Bayangkan jika seorang guru yang
mempunyai sistem nilai yang tinggi, jiwa pengasih, seorang yang sabar
dan emosi yang seimbang, pastinya manusia yang akan dilahirnya itu
adalah insan yang mempunyai keperibadian mulia kerana asas didikan yang
diberikan adalah baik.
Tetapi jika seseorang guru itu sendiri
gagal memahami tugasannya sebagai seorang pendidik, tidak ada disiplin
diri yang tinggi, kurang nilai kasih sayang dalam diri, bayangkan
bagaimana anak murid yang dibentuk dari nilai personaliti yang lemah
ini. Sudah pasti anak-anak berkenaan tidak dapat membesar bersama
sahsiah diri yang tinggi sebaliknya menjadi orang yang tercorot dalam
pencapaian hidup mereka.
Seorang guru bukan hanya
bertanggungjawab ketika berada di dalam bilik darjah semata, tetapi
secara tidak langsung, kesannya adalah sepanjang setiap perjalanan
kehidupan manusia itu sendiri. Ini kerana guru yang memberi manfaat
kepada anak muridnya yang menyebabkan pelajar itu menjadi orang yang
bermanfaat kepada kehidupan, ia umpama saham yang ganjarannya akan
diterima guru berkenaan.
Bagaimanapun jika seseorang guru
mengabaikan tugasan untuk membina akhlak mulia di kalangan para
pelajarnya, guru berkenaan juga sebenarnya gagal sebagai seorang
pendidik. Ini kerana kejayaan bagi seorang pelajar tidak boleh diukur
hanya melalui kejayaan dalam peperiksaan semata, sebaliknya jika pelajar
itu berjaya membentuk keperibadian mulia, itu adalah jauh lebih
berjaya.
Malah seorang guru yang mengabaikan
pendidikan akhlak, hanya menitikberatkan kepada kecemerlangan akademik
semata tidak akan mencapai keseimbangan kerana kejayaan dalam pelajaran
mesti seiring dengan keperibadian yang baik.
Sesiapa sahaja sebenarnya adalah
pendidik yang mesti bertanggungjawab mengajar dan belajar. Tidak kira
sama ada seorang ibu, bapa, majikan, sahabat atau sesiapa, individu itu
harus menjalankan peranan sebagai seorang guru atau pendidik yang
menjadi inspirasi yang baik kepada orang lain.
Jika kita seorang pekerja sekalipun,
harus selalu meningkatkan keperibadian diri dengan menyerlahkan sifat
penyanyang, menghormati orang lain, pemaaf dan sebagainya kerana tanpa
kita sedar, perbuatan baik itu secara tidak langsung menjadi sumber
pendidikan bagi orang lain untuk turut mempunyai perilaku yang sama.
Seorang guru yang terdidik melalui
pembangunan insan yang tinggi adalah menyumbangkan kepada pembinaan
sebuah negara bangsa yang berjaya, Ini kerana seorang guru yang baik
bukan hanya menekankan akademik semata-mata tetapi turut memasukkan
nilai mulia dikalangan anak muridnya.
Ajar Tidak Mendidik
Ramai guru yang mengajar tetapi tidak
mendidik. Dengan kata lain guru hanya mengajar menurut apa yang ada di
atas kertas. Tetapi guru yang mempunyai jiwa mendidik akan selalu
berusaha mendekatkan pelajarnya dengan nilai moral yang baik disamping
selalu member nasihat berguna untuk para pelajarnya.
Untuk menjadi seorang pendidik, seorang
guru harus membuat transformasi dalam jiwanya agar dapat membuat anjakan
bermula dari dari guru itu sendiri. Guru yang bersifat lembut, bicara
dengan sopan, melayan anak muridnya seperti anak sendiri, pastinya akan
dapat melahirkan manusia yang tinggi sahsiah diri serta dapat membina
negara yang terdidik dengan akhlak yang tinggi.
Seorang guru yang baik selalu menjadikan
persekitaran sebagai sumber ilmu kepada dirinya. Malah anak-anak
muridnya juga adalah wadah untuk dirinya mendapat ilmu. Bila menyebut
tentang ilmu, bukan hanya pelajaran yang ada di dalam buku teks sahaja,
tetapi mempelajari dari orang lain itu juga adalah ilmu yang berguna
untuk dirinya.
Sungguhpun, cabaran sistem pendidikan
semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar
memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang
tinggi di kalangan pendidik. Justeru para guru perlu sentiasa bersedia
dari segi mantel dan fizikal dalam mengharungi cabaran globalisasi dan
berdepan dengan keadaan yang mencabar ini. Sebab itu guru perlu membuat
transformasi diri agar ianya dapat menjadi tembok bagi dirinya berdepan
dengan apa bentuk cabaran.
Sebagai persediaan, guru perlu terlebih
dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu yang boleh mendekatkan dirinya
dengan Allah. Ini kerana hubungan yang akrab dengan Allah serta jiwa
tawaduk seorang guru akan menerbitkan nilai murni dan menjadinya ajen
motivasi kepada para pelajar.
Selain itu, bagi guru wanita yang
dianugerahi sifat keibuan yang penuh kelembutan dan penyayang akan lebih
mudah untuk menguruskan pelajar yang bermasalah. Pendekatan yang lembut
akan lebih berkesan dari bertindak garang atau mengenakan hukuman bagi
pelajar yang nakal.
Sama ada sedar atau tidak, guru
mempunyai pengaruh yang tinggi menentu tindak tanduk anak murid. Salah
satunya sebagai pendokong motivasi kepada para pelajarnya. Untuk
meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar merupakan
tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka pendekatan
Behavioristik perlu jadikan pedoman dalam mengajar. Guru merupakan
persekitaran yang sangat berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana
itu, meningkatkan motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang
sangat penting bagi guru.
Malahan, bagi seorang guru yang
bertindak sebagai motivator, memberi nasihat dengan kasih sayang akan
mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang
positif. Guru-guru seperti ini akan dapat membantu pelajar yang tidak
berminat terhadap pelajaran untuk menjadi pelajar yang
sekurang-kurangnya rajin ke sekolah atau tidak terlibat dengan masalah
disiplin sekolah.
Guru juga selaku pendidik perlu
memantapkan jati diri dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan
spiritual demi memastikan peranan dan tugasannya tidak tersasar dari
matlamat dan tujuan. Guru bukan sahaja memastikan anak didiknya berjaya
dalam pendidikan tetapi menjadi mukmin yang taat kepada perintah Allah
swt.
Justeru, para pendidik harus ada
kesedaran dalam diri, melakukan anjakan paradigma agar anak bangsa
sebagai pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan
sewenang-wenangnya.
Sesungguhnya, guru adalah agen perubahan
masyarakat. Gurulah insan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam
meniupkan kesedaran dan semangat bagi manusia mendapat kejayaan dalam
kehidupan. Guru juga adalah murabbi yang menjadi ‘ibu dan bapa’ bagi
anak-anak yang berada di saat duka dan suka, ini kerana guru insan yang
mulia dan sehingga bila-bila sekalipun mereka akan tetap dikenang dengan
gelaran ‘cikgu”.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment