Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Kuasa Allah Membela Nabinya Dari Difitnah

Kuasa Allah Membela Nabinya Dari Difitnah
 - Ustaz Syaari Abdul Rahman

Kadang-kadang Allah berikan kenikmatan yang banyak kepada kita, namun belum tentu kehidupan kita akan berakhir dengan baik. Kadang-kadang Allah lemparkan kesulitan yang banyak kepada kita supaya kehidupan kita akan berakhir dengan baik. Ustaz Syaari Abdul Rahman memulakan segmen Ibrah yang ke udara setiap hari Isnin, jam 5.15 petang di radio IKIMfm untuk episod ke-26 dengan merujuk kepada Bani Israel yang berterusan menerima kenikmatan, kesenangan serta keselesaan dari Allah SWT walaupun mereka berada di padang pasir yang kering kontang di bawah terik matahari bermusafir ke Palestin.

Selepas Allah menerima taubat kaum Bani Israel yang menyembah patung anak lembu tersebut, mereka meneruskan perjalanan ke utara Sinai, menghampiri Palestin yang mengambil masa selama sepuluh hari perjalanan. Sepanjang bermusafir di padang pasir yang panas terik dan kering kontang, Bani Israel meminta air dan makanan kerana sudah pastinya tidak tahan menghadapi ujian yang perit tersebut.

Allah SWT telah memberikan bantuan air di sepanjang perjalanan mereka. Bantuan air ini adalah dalam bentuk batu, seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 160. Dan Kami membahagikan mereka (Bani Israel) menjadi dua belas suku, sebagai golongan besar dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat minum masing-masing.

Adakah Bani Israel akan bersyukur dengan nikmat air yang Allah kurniakan kepada mereka atau sebaliknya? Pada awalnya mereka bersyukur dengan pertolongan Allah melalui Nabi Musa ini, namun rasa syukur itu tidak berkekalan. Apabila air menjadi semakin banyak dan membentuk kolam, mereka mula mandi dan pada saat inilah mereka mula bercerita buruk berkenaan Nabi Musa a.s. seperti yang diriwayatkan di dalam hadith.

Bani Israel mula menyebar cerita yang mereka tidak pernah melihat Nabi Musa mandi bersama mereka di kolam tersebut. Berkemungkinan besar Nabi Musa menghidapi penyakit kusta. Bani Israel sedikitpun tidak berasa bersalah dengan fitnah yang disebar terhadap nabi mereka. Bani Israel tidak pernah melihat Nabi Musa mandi bersama mereka kerana baginda merupakan seorang yang pemalu walaupun baginda dan hanya mandi di lokasi yang lain dari lokasi Bani Israel.

Pada suatu hari, ketika Nabi Musa mandi di satu lokasi di kolam tersebut, baju baginda yang diletakkan di atas batu dan dengan kuasa Allah SWT batu tersebut telah diperintahkan untuk menyembunyikan baju Nabi Musa AS. Sehinggalah Nabi Musa menyeru kepada batu tersebut untuk mengembalikan baju baginda. Pada saat inilah Allah menunjukkan kekuasaannya terhadap Bani Israel yang memfitnah Nabi Musa agar kemuliaan Nabi Musa AS tidak terjejas. Baju tersebut akhirnya berada di atas batu berdekatan dengan lokasi Bani Israel mandi dan tidak sempat Nabi Musa mendapatkan bajunya, akhirnya Allah mentakdirkan kaum Bani Israel dapat melihat badan Nabi Musa yang sebenarnya, yang sangat cantik tanpa sedikit penyakit cacat cela pun tidak sepertimana fitnah yang telah disebarkan.

Apabila Nabi Musa mengetahui hal yang sebenar tentang Bani Israel yang memfitnahnya, batu tersebut memulangkan semula bajunya dan Nabi Musa telah memukul batu tersebut beberapa kali. Cerita ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah di dalam Hadith Sahih Bukhari.

Allah SWT menekankan tentang akhlak, iaitu peringatan kepada para sahabat supaya tidak menyakiti hati Rasulullah s.a.w. sepertimana kaum Bani Israel yang melakukannya terhadap Nabi Musa a.s. seperti di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 69. Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. Nabi Musa a.s. sentiasa bersabar dengan sikap kaumnya, Bani Israel sehinggalah Allah mengutuskan seorang pengikut yang paling hebat, iaitu Nabi Yushak bin Nun untuk memimpin kemenangan ke atas Tanah Suci.

Allah bukan sahaja mengurniakan nikmat air kepada Bani Israel, bahkan juga Allah menaungi perjalanan mereka di sepanjang padang pasir dengan awan. Selain itu, Allah mengurniakan nikmat makanan, iaitu Manna dan Salwa seperti yang dirakamkan di dalam Surah Al-A’raaf, ayat 160. Dan Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “Mann” dan “Salwa”. (Lalu Kami berfirman)” “Makanlah dari benda yang baik-baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu.” Dan tidaklah mereka menganiayai Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka adalah menganiayai diri mereka sendiri.

Manna” adalah sejenis makanan yang manis pekat seperti madu yang turun seperti embun dari langit dan jatuh ke atas batu dan daun-daun kayu. Allah SWT menjadikan pokok-pokok yang kering tanpa daun dan buah ini menitiskan air yang mempunyai rasa seperti madu. Allah juga memberikan nikmat makanan kepada mereka, iaitu “Salwa” yang merupakan sejenis burung. Burung-burung ini diturunkan Allah terus di atas tangan atau di dhadapan Bani Israel tanpa mereka memerlukan sedikit usaha pun untuk menangkapnya. Namun, adakah kesemua nikmat yang Allah berikan kepada Bani Israel ini disyukuri oleh mereka ataupun mereka akan tetap kembali melakukan kesalahan?

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 21 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment