Bercerai adalah sesuatu
yang di takuti oleh sesetengah orang dan juga sesuatu yang di nantikan
bagi sesetengah di kalangan kita tidak kira lelaki mahupun perempuan.
Secara logiknya sudah pasti semua mengharap bahagia dan ceria dalam
rumahtangga. Mana ada rumahtangga yang tidak ada ujian. Itu biasa.
Pepatah “ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah
hari” memang pernah kita dengar, bukan? Siapa cakap hujan di tengah hari
tidak bagus. Hujan itu bagus sebab ia bersifat boleh membersihkan.
Jangan lihat isu perceraian sebagai semuanya negatif . Ada orang yang
bercerai tapi tetap bahagia. Jangan paksa diri kalau tidak boleh
meneruskan rumahtangga. Ikuti kupasan tajuk ini bersama Ustazah Nor
Hafizah Musa yang telah ke udara di Ikimfm pada Khamis lepas, jam 5.15
petang menerusi segmen Usrati.
Sudah kita maklum punca-punca yang
menyebabkan perceraian boleh berlaku. Sudah kerja syaitan untuk
menghasut dan menimbulkan suasana permusuhan dan rasa benci. Jadi ini
perlu untuk menilai rumahtangga. Antara lain faktornya ialah memasukkan
perasaan yang bercanggah dengan apa yang menjadi kesukaan Allah.
Contohnya di tanam dalam hati isteri tentang kemiskinan. Terlalu takut
dengan masa depan, takut itu dan ini. Sikap ini datang dari kejahilan
kita juga. Selain itu, syaitan juga menjadikan kita suka untuk
melakukan perkara-perkara buruk dalam rumahtangga, contohnya melawan
suami. Bila ingatan pada Allah hilang, maka rumahtangga akan jadi haru
biru. Syaitan juga bermatlamat untuk menjadikan suami atau isteri
sebagai kawan mereka, contohnya supaya suka membuat pembaziran.
Ada dua pintu untuk membuka syaitan
campur tangan iaitu kelalaian. Kita sering lalai dengan pelbagai urusan
sehinggakan tidak solat atau sengaja solat di hujung-hujung waktu
secara kerap. Ramai juga diantara kita di selubungi dengan kejahilan dan
kebodohan. Jahil dalam mengenal Allah. Jadi untuk menghindar kelalaian
kita atasinya dengan zikir. Untuk mengelak kejahilan dan kebodohan pula
kena rajin menuntut ilmu. Tajuk kali ini bukanlah menggalakkan orang
untuk bercerai dan juga tidak mengatakan bahawa jangan bercerai, tetapi
sebagai memberi panduan.
Bagi yang sudah lama menanggung derita
dan sudah tidak tahan kerana hidup merana, boleh meminta untuk bercerai.
Tidak salah untuk bercerai. Sekali lagi di ingatkan, jangan pandang
perceraian itu langsung tidak ada bagusnya. Untuk bercerai perempuan
kena tahulah haknya dalam menuntut perceraian. Perceraian boleh
dilakukan dengan cara “khuluk” iaitu perlu mendapat persetujuan dari
suami untuk bercerai dan isteri akan membayar sejumlah wang kepada
suami.
Keduanya, perceraian juga boleh di minta
melalui “taklik” jika berlaku perlanggaran terhadap syarat-syarat yang
telah dilafazkan oleh suami yang telah dilanggar oleh isteri. Yang
ketiga pula iaitu “fasakh”, dimana ia menggunakan kuasa hakim, dengan
syarat perlu ada sebab-sebab yang munasabah. Jika isteri tahu
hak-haknya, maka tiadalah mereka menderita seumur hidup, ada jalan
keluar dari perkahwinan. Tidak perlulah mempertahankan rumahtangga jika
hidup dalam kesengsaraan. Asal isteri minta cerai, sering saja mereka
dilabel ahli neraka. Islam menjamin hak-hak isteri.
Daripada merintih dan merana, tolonglah
tahu hak-hak anda sebagai isteri. Apa jua pertelingkahan uruskanlah
dengan sehabis baik, walaupun sukar. Apa jua perkara fikirkan dengan
betul, kalau rumahtangga boleh diselamatkan, selamatkanlah. Kalau
keputusan untuk bercerai boleh ditangguhkan, mungkin itu lebih baik.
Jangan buat keputusan terburu-buru. Berfikir untuk kebaikan semua,
jangan hanya mengenangkan anak-anak semata, yang penting juga ialah diri
pasangan itu sendiri. Kalau suami dan isteri tidak boleh lagi bersama
melalui rumahtangga, maka bercerai itu jalan penyelesaian terbaik.
Jangan kerana sebab anak-anak semata, suami atau isteri, paksa diri
untuk telan segala derita dan kepahitan asalkan tidak bercerai.
Usahakan untuk kembali mengingati Allah
dengan jalan yang betul. Contohnya ketika sedang bergaduh, kita sebut
“ya Allah” tapi dalam masa yang sama kita cakap “kenapalah asyik aku
yang diuji”, ini sebenarnya menunjukkan bahawa kita protes atau
menentang pada takdir Allah. Selain itu juga, buangkan keakuan kita atau
perkataan aku itu. Dalam sesetengah keadaan, dahulukan orang lain
daripada diri sendiri. Tidak mengapa kalau kita mengalah sekali sekala.
Jika kita ada masalah, carilah orang
yang betul pada situasi yang betul. Carilah orang yang boleh memberi
pandangan yang rasional. Belajar mendengar dan tidak dapat tidak,
berdoalah kepada Allah. Andai kata segala usaha telah dilakukan, maka
bercerailah. Jangan lihat perceraian itu negatif belaka. Ingat dan
sedarilah, walaupun bercerai tapi tetap ada bahagianya juga. Peceraian
juga ada positifnya, ia sebagai satu jalan keluar. Berikanlah kata-kata
semangat kepada mereka yang bercerai. Seandainya bercerai itu bukan satu
pengakhiran hidup. Bagi yang bercerai anda masih boleh melalui
kehidupan dengan bahagia. Belum tentu dengan mengekalkan perkahwinan
anda bahagia dan tidak semestinya orang yang bercerai akan derita.
Bahagia dan derita letaknya dihati. Kita boleh pilih nak rasa yang mana.
Allah berikan panas terik, rupanya ada teduh yang menanti, Allah
berikan hujan dan petir, rupanya ada pelangi sebagai ganti. Bersangka
baiklah kepada Allah dengan tiap takdir Nya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 28 Ogos 2014
No comments:
Post a Comment