Sunday 2 November 2014

Usrati: Konsep Kehidupan

Hidup yang punyai segala kebendaan, hari-hari yang dilalui tiada masalah, sentiasa gembira, apa jua impian mudah saja tercapai, itulah kehidupan yang menjadi dambaan semua orang. Tiada orang yang memiliki kehidupan yang sempurna, yang senmpurna hanyalah Allah SWT. Mungkin kita hanya boleh merasai dan memiliki hanya beberapa perkara saja yang kita mahukan kerana itulah fitrah kehidupan di dunia ini. Walaupun kita hanya boleh memiliki sedikit atau separuh saja kemahuan kita, namun ia tetap boleh membentuk hidup yang sejahtera. Segmen Usrati yang ke udara khamis lalu, jam 5.15pm di IKIMfm ada mengupas  lanjut isu ini. Ikuti intipati ilmu yang disampaikan oleh Ustazah Nor Hafizah binti Musa yang saya ringkaskan di ruang ini. Moga-moga ada memberi sedikit sebanyak manfaat buat kita.

Ada orang hidup dari segi luarannya lengkap segalanya, kereta bersusun, rumah gah ibarat istana, beroleh untung perniagaan yang berjuta ringgit, namun tidur malamnya tidak lena, hatinya sering dirundung gelisah. Ada pula yang sebaliknya, kurang dari segi pakaian yang cantik, makan setiap hari pun ala kadar, namun hatinya kaya, selalu saja merasa gembira, apa jua urusan sering dipermudahkan, ibaratnya seolah-olah tidak pernah ada masalah. Antara sekian banyak firman Nya bermaksud, “ Sesungguhnya setiap kamu akan diuji dari segi kehilangan nyawa, harta benda, hati yang gelisah, kesakitan dan penderitaan untuk menguji sejauh mana keimanan dan kesabaran kamu”. Apa yang kita miliki akan hilang, apa yang kita sayang akan ditinggalkan. Jangan pernah diantara kita ada dalam hati istilah “takut hilang segalanya”, kerana hakikatnya memang kita akan hilang semuanya, apa yang menjadi milik kekal kita hanyalah amalan yang ikhlas.


Mari kita lihat contoh kehidupan rasulullah yang sanggup berbagi dan berkongsi sebahagian besar apa yang dipunyainya. Rasulullah SAW sanggup memberi kain yang baru dibelinya untuk dibuat jubah yang baru, kerana jubahnya telah lusuh dan koyak, namun baginda sanggup menyedekahkan kain baru tersebut kepada orang lain. Hidup ini konsepnya, “kita ini bukan pemilik tetapi peminjam”. Meminjam hak siapa? Kita meminjam hak Allah. Semua kita pinjam, tidak ada satu pun yang menjadi milik kita. Rezeki umpamanya, selalu saja ada hak orang lain dalam duit kita. Maka konsep pinjam, kita kena pulangkan semula. Sampai masa ia akan hilang daripada kita. Samaada dalam bentuk benda atau orang, semuanya akan diambil kembali. Jadi seharusnya kita apa saja yang berlaku dalam hidup ini, janganlah terlalu mengenangkan hal.

Nabi saw mengajar kita bagaimana seharusnya kita bersederhana dalam apa jua keadaan. Islam juga menyarankan bahawa se baik-baik perkara kita letakkannya di batas pertengahan iaitu bersederhana. Jika kita terlalu menuntut apa yang sepatutnya kita dapat, maka kita akan sering saja gelisah, tidak puas hati itu dan ini, kerana kita terlalu mengira apa yang kita tidak miliki. Penat kan hidup begitu. Jika kita boleh berlapang dada dengan takdir yang berlaku dalam hidup kita, maka kita akan boleh memiliki hidup yang sejahtera. Tidak ada perkara yang akan membuat kita terlalu runsing. Berikanlah pada diri sendiri untuk bernafas dengan tenang. Fahamilah konsep hidup ini dengan tepat.

Kita perlu saya kira untuk sesekali mengetahui kisah-kisah orang lain yang pernah di uji, perit jerih mereka melalui kehidupan, supaya darinya kita boleh mengambil semanngat, membina keyakinan dan memperkuat pertahanan diri. Dengan itu kita akan mampu memperkasa jiwa dan fikiran untuk kekal positif dan “sekuat besi”. Andainya sesekala putus asa menjengah kita, itu lumrah kerana kita manusia, hanya manusia biasa. Tetapi kita boleh menjadi manusia luar biasa andai meneladani jiwa yang ada pada rasulullah saw, iaitu jiwa tenang. Suka saya berkongsi tip ini dengan anda, iaitu dalam apa jua keadaan yang kita lalui, apa-apa pun tarik nafas dulu dan cuba belajar bertenang. Andai kita tergopah gapah dan cepat panik, hendak menghela nafas pun tidak sempat. Bertenang, bertenang dan bertenang. Dari situ baru otak kita dapat berfungsi dengan baik.

Kalau kita memcontohi para salafusoleh, jika ada saja perkara yang membuatkan mereka tidak puas hati dan bersedih, maka tidak ada tempat sebaik-baik pengaduan, selain mengadu kepada Allah SWT. Ini kerana sifat Allah yang tidak pernah menghampakan. Allah tidak pernah jemu mendengar aduan dan keluhan kita walaupun untuk perkara yang sama berjuta kalipun, berbanding manusia yang jika kita sering bercakap perkara yang sama maka kita akan dengar kata-kata dari mereka, “berapa kali nak cakap, berapa kali nak sebut”. Manusia sering mengecewakan tetapi tidak pada Allah.

Kita harus sabar untuk mengharapkan redha Allah dan dengan sabar juga ia boleh mendatangkan jiwa yang sejahtera dan damai. Orang yang jiwanya damai, hatinya sentiasa berkata tenang. Jangan putus asa walaupun kita dalam proses untuk tenang. Biasakan diri berfikir seminit dua sebelum bercakap atau merespon sesuatu. Barulah apa yang bakal keluar dari mulut dan fikiran kita itu betul. Binalah kekuatan diri. Fahamilah konsep hidup ini dengan betul. Selalu kena tanamkan dalam diri tentang bahawasanya tidak ada yang kekal, apa yang kita ada akan hilang, selalu bersederhana dalam segala hal dan yakin Allah selalu memberikan yang terbaik buat setiap makhluk dan hamba Nya sekalipun dalam penderitaan, kerana dihujungnya terselit manis jua. Usahlah tergopoh gapah meniti hari.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 4 September 2014

No comments:

Post a Comment