Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Memburu Ikhlas

Ikhlas itu umpama semut hitam yang berjalan di atas batu yang sangat hitam pada malam yang gelap gelita. Begitulah ikhlas; tidak nampak di mata tapi bertapak di hati. Zahirnya tidak kelihatan namun nyata wujudnya di sisi Allah SWT sebagaimana firmanNya menerusi Surah Ali-Imran ayat 29 mafhumnya, (Katakanlah, sungguh jika kamu semua menyembunyikan apa yang ada di dalam dada kamu atau menampakkannya maka Allah akan mengetahuinya)”.

Hati yang ikhlas tidak akan tersentuh dek pujian dan tidak akan terkesan dengan kejian mahupun cercaan kerana hati itu tahu pandangan siapa yang perlu diutamakan. Demikian perkongsian Islam Itu Indah yang menampilkan Ustaz Pahrol Mohd Juoi saban Rabu pada jam 10.15 pagi di IKIMfm. Ustaz telah menerangkan keikhlasan perlu diburu bukan hanya duduk diam menunggu ia datang.

Ikhlas adalah roh amal atau jiwa ibadah bagi menjamin kebahagian dan kejayaan kita bukan hanya untuk akhirat malah di dunia lagi kita memerlukannya. Jika ditamsilkan amal ibadah sebagai seorang manusia, dan rohnya adalah nyawa. Maka jasad akan menjadi bangkai dengan ketiadaan nyawa. Bangkai perlu dibuang atau dikuburkan kerana nilai kemanusiaannya sudah tiada lagi di waktu itu. Begitu juga dengan kerja yang tidak ikhlas, diumpamakan seperti bangkai yang tiada nilai di sisi Allah SWT. Semestinya kita mengharapkan setiap amal soleh kita dinilai oleh Allah SWT, malangnya jika ia tidak dalam penilaianNya bermakna ianya tertolak ibarat debu-debu berterbangan hanya kerana tiada ikhlas dalam amalan.


Sesungguhnya orang yang ikhlas itu adalah orang yang dekat dengan Allah SWT. Bila ada ikhlas akan wujud kekuatan. Dalam kehidupan, kita perlu kekuatan dan kekuatan yang sebenarnya apabila kita bersandar pada sesuatu Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana iaitu Allah Azzawajalla.

Selain itu, dengan ikhlas manusia akan memperoleh ketenangan dalam hidup. Gabung jalin ikhlas dan tenang terkandung di dalam sifat sabar dan syukur yang digambarkan seperti roda dalam kehidupan yang perlu bergerak ke hadapan menuju Allah SWT. Orang yang sabar akan sentiasa mengingati Allah dan dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang. Justeru, insan ikhlas punya sabar; sifat yang membawa kepada mengingati Allah dan melalui sabar itu terbit zikirullah iaitu mengingati Allah yang akhirnya membuahkan ketenangan.

Seterusnya, dengan ikhlas akan ada kekayaan hati. Menerusi kekayaan hati, maka tidak akan digelisahkan dengan ujian yang datang silih berganti. Akan terbit rasa tidak dimiliki dan memiliki. Akan lahir kesedaran tidak memiliki dan segala-galanya milik Allah dan diri tidak dimiliki selain daripada Allah SWT. Percayalah, bila kita akrab dengan Allah SWT, Allah akan berikan kekayaan hati kepada kita.

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: Yang pertama kali diseru pada hari kiamat adalah orang yang menghafal Al Quran, orang yang mati syahid dan orang kaya. Kepada orang-orang yang menghafal Al Quran, Allah berfirman: “Apakah Aku tidak mengajar kamu membaca Al Quran yang Aku turunkan kepada RasulKu?” Jawab mereka: “Tentu sahaja, ya Tuhanku” Firman Allah seterusnya: “Untuk apa ilmu yang engku miliki itu?” Jawab mereka: “Saya amalkan dan saya kaji siang dan malam” Firman Allah lagi: “Engkau dusta!” Para Malaikat juga berkata: “Kamu dusta!” Firman Allah: “Sebenarnya engkau ingin mendapat pujian dari orang ramai bahawa engkau seorang qari. Maka cukuplah pujian ramai sebagai pahala untukmu” Sekarang, giliran orang kaya pula dihadapkan kepada Allah. Firman Allah: “Apakah Aku tidak memberi kekayaan kepada mu, hingga engkau tidak memerlukan sesiapa pun?” Jawabnya: “Tentulah ya Tuhanku. Hamba telah mendapat kakayaan dariMu”. Seterusnya Allah berfirman: “Engkau gunakan kekayaan yang Aku berikan itu untuk apa?” Dia menjawab: “Saya gunakan untuk bersilatulrahin dan bersedekah” Maka Allah berfirman: “Engkau berdusta!” Firman Allah seterusnya: “Sesungguhnya engkau ingin mendapat pujian sebagai seorang yang pemurah. Nah, ambillah pujian itu sebagai bahagian untuk mu” Kini, tiba giliran yang yang mati syahid dihadapkan kepada Tuhan.Allah berfirman: “Apa yang engkau lakukan selama di dunia?” Jawabnya: “Saya diperintahkan untuk turut serta dalam perang sabil dan perintah itu saya turuti hingga saya mati dalam peperangan itu” Firman Allah: “Kamu dusta!
Kemudian Allah berfirman: “Sebenarnya engkau hanya ingin dipuji sebagai seorang pahlawan yang berani dan pujian itulah bahagian untukmu”.

Lihatlah penangan keikhlasan, jika tiada maka hilang nilaian Allah SWT pada amalannya. Antara petanda bahawa hati itu sudah terjejas adalah apabila kita tidak endah kepada penghargaan dari Allah SWT tetapi resah apabila tidak dihargai oleh manusia..

Ikhlas sangat sinonim dengan ihsan dan dari ihsan akan menjana itqan. Apabila ditanya tentang ihsan Rasulullah SAW menjawab mafhumnya, “ Sesungguhnya kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, walaupun kamu tidak melihatNya, akan tetapi Allah melihat kamu.” (Riwayat Bukhari).

Hadirnya sifat ihsan akan menghindarkan manusia dari penyelewengan dan menjauhkannya dari melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang. mengambil ibrah kisah yang masyhur tentang budak pengembala kambing dan Saidina Umar  r.a yang membuat tawar menawar untuk mendapatkan kambimg gembalaannya. Sikap si pengembala kambing yang jujur dan tidak mahu menjual kambing yang bukan haknya kerana sentiasa merasakan diri diperhatikan al-Khaliq dengan tidak memberi ruang dan kesempatan untuknya melakukan kemaksiatan pada Allah SWT telah menyentuh hati khalifah tersebut. Teladan si pengembala itu menjadi iktibar untuk kita pasakkan ihsan dalam hati, dan mendarah daging dalam diri.

Orang yang ikhlas akan bekerja dengan gigih dan mengoptimumkan masa dan tenaga tanpa ada istilah berkira kerana hendak memberi sebanyaknya kepada sesama manusia. Saidina Umar kurang waktu tidur sama ada siang mahupun malam kerana merasakan jika tidur di kala malam urusan dengan Allah tidak selesai manakala jika tidur di siang hari urusan dengan manusia akan terabai.

Untuk memburu keikhlasan, cuba kenalpasti apa yang kita sewajarnya kita lakukan supaya Allah suka dan sayang pada kita dan bila Allah sayang, Allah akan anugerahkan keikhlasan dalam hati kita. Ayuh kita usahakan memburu kesukaan Allah dengan amalan yang terbaik. Dalam 24 jam pinjaman Allah adakah kita peka dengan hati kita? Sudahkah kita peruntukkan hati kita untuk memburu ikhlas kerana tanpa ikhlas tiada guna hidup kita di dunia kerana amalan-amalan kita tidak diterima. Jadikan memburu keikhlasan sebagai agenda harian supaya kita dapat beri kebaikan dengan kebaikan yang terbaik. inshaAllah

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 17 September 2014

No comments:

Post a Comment