Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Samiri Si Durjana

Ibrah episod ke 22 bersama Ustaz  Muhammad Syaari Abdul Rahman menyambung kisah Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israel. Rancangan ini bersiaran setiap Isnin jam 5.15 petang secara langsung di IKIMfm.

Nabi Musa telah menerima kitab Taurat daripada Allah SWT dan Allah juga memberi peringatan kepada baginda yang tergesa-gesa bertemu dengan Allah dan meninggalkan kaumnya telah mengundang padah. Dengan ketiadaan Nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel ini, akhirnya memberi peluang kepada Samiri untuk menyesatkan mereka. Kesesatan mereka ini bukanlah kerana hasutan syaitan tetapi adalah hasutan daripada salah seorang daripada Bani Israel sendiri, iaitu yang bernama Samiri.
Firman Allah di dalam Surah Toha, ayat 85: “Telah Kami uji kaummu setelah kepergianmu kemudian samiri telah menyesatkan mereka.” Semasa Nabi Musa a.s. bermunajat kepada Allah SWT selama 40 malam untuk menerima kitab Taurat, ketika itulah Bani Israel telah disesatkan oleh Samiri. Mereka telah mengambil seekor patung anak lembu yang diperbuat daripada emas dan boleh mengeluarkan suara apabila ditiup oleh angin.

Sepeninggalan Nabi Musa, kaumnya memuja anak sapi yang bersuara yang mereka buat daripada perhiasan mereka sendiri. (Surah Al-A’raaf, ayat 148). Apabila Nabi Musa a.s. telah diberitahu oleh Allah bahawa Samiri telah menyesatkan Bani Israel, maka dengan segera baginda bergegas kembali kepada kaumnya dalam keadaan yang marah dan sedih. Perasaan baginda nyata berbeza, Nabi Musa a.s. berasa sangat marah dan sedih kerana Bani Israel sedikitpun tidak mempedulikan kewujudan Nabi Harun yang bersama mereka untuk memberi petunjuk kepada mereka. Betapa Bani Israel tidak mengambil pengajaran dengan peristiwa Allah menenggelamkan Firaun dan tenteranya di Laut Merah.

Sesampainya Nabi Musa a.s. ke tempat Bani Israel, alangkah terkejut baginda melihat mereka sedang tawaf mengelilingi patung anak lembu tersebut. Kemarahan Nabi Musa sampai ke kemuncak dengan apa yang dilihatnya sehingga terlepas batu (luh) yang ditulis Taurat yang dipegang oleh baginda. Ustaz Syaari Abdul Rahman menggambarkan bagaimana perasaan Nabi Musa yang begitu sedih kerana baginda pergi menghadap Allah SWT bagi mendapatkan kitab Taurat untuk mereka. Bahkan Nabi Musa juga memberitahu kepada mereka tentang kepergiannya dan meminta Nabi Harun menggantikan baginda sepanjang ketiadaannya untuk menjaga mereka.

Peristiwa ini dirakamkan di dalam Surah Toha, ayat 86. Musa kemudian kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih. Dia berkata: “Tidakkah Tuhanmu telah berjanji kepadamu janji yang baik? Adakah kamu beranggapan janji itu terlalu lama atau apakah kamu menghendaki tertimpa kemurkaan Tuhanmu, maka kemudian kamu melanggar janji denganku?
Bani Israel mula rasa bersalah apabila melihat reaksi Nabi Musa lalu mereka memberikan alasan kepada baginda. Mereka menjawab: “Kami sebenarnya tidak melanggar janjimu kerana kemahuan kami sendiri, tetapi kami diserahi perhiasan oleh kaum itu dan kemudian kami bakar ke dalam api untuk dibentuk, samiri juga melakukan yang demikian.” (Surah Toha, ayat 87).
Ustaz Syaari Abdul Rahman mengimbas kembali bagaimana kaum wanita mesir yang takut kepada mukjizat-mukjizat telah berlaku telah menyimpan barang kemas mereka di tempat yang selamat, iaitu di rumah-rumah Bani Israel. Semasa Nabi Musa a.s. membawa Bani Israel keluar dari Mesir, mereka juga membawa bersama barang kemas ini dan hal ini membebankan mereka kerana ia bukan kepunyaan mereka. Akhirnya ketika inilah Samiri mengambil kesempatan ke atas kelemahan Bani Israel ini.

Menurut Ibnu Kathir, nama sebenar Samiri ialah Musa bin Zafar dan beliau merupakan seorang yang bijak serta mempunyai kebolehan malakukan sihir. Samiri mengetahui bahawa Bani Israel tidak suka membawa barang-barang yang bukan milik mereka bersama. Samiri telah mengambil peluang semasa ketiadaan Nabi Musa dengan memberi cadangan kepada Bani Israel supaya membakar barang-barang bukan milik mereka itu dengan alasan ianya haram. Mereka telah mengumpulkan kesemua barang tersebut dan Samiri sendiri yang membakarnya. Apabila telah cair, ketika inilah Samiri menggunakan kuasa sihirnya. Beliau telah membaling segenggam debu ke atas emas yang telah cair tersebut dan terbentuklah patung anak lembu daripada emas dan mengeluarkan suara. Bani Israel yang menyaksikan kejadian itu begitu takjub dan sedikitpun tidak mengetahui tentang perancangan dan permainan Samiri ini. Lalu keluarlah patung anak lembu yang bertubuh dan boleh bersuara, mereka berkata: “Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa kerana dia telah lupa.” (Surah Toha, ayat 88).

Setelah Nabi Musa a.s. mendapat penjelasan daripada Bani Israel yang mengatakan bahawa Samiri yang mengarahkan mereka untuk mengumpulkan barang kemas tersebut pada satu tempat, baginda terus berjumpa dengan Nabi Harun AS. Nabi Musa AS memegang ubun-ubun dan merentap janggut abangnya, Nabi Harun kerana marah dengan apa yang berlaku. Berkata Musa: “Wahai Harun, apa yang menghalang kamu untuk bertindak sewaktu engkau lihat mereka sesat?” “Apakah kamu tidak mengikuti aku atau kamu memang bermaksud mengkhianati perintahku?” (Surah Toha, ayat 93 & 94).

Namun Nabi Harun AS begitu tenang dan menggunakan pendekatan kasih sayang dalam memberi jawapan kepada Nabi Musa. Harun menjawab: “Wahai putera ibuku, jangan engkau tarik janggutku dan kepalaku, aku khuatir engkau akan berkata, kamu telah memecah-belahkan Bani Israel dan kamu belum mendengar kata-kataku.” (Surah Toha, ayat 95). Nabi Harun terpaksa membiarkan Bani Israel dalam keadaan sedemikian kerana bimbang dengan menggunakan kekerasan akan menyebabkan dirinya dibunuh dan akhirnya mereka akan berpesta kegembiraan dengan ketiadaan nabi bersama mereka. Nabi Harun juga tidak mahu Bani Israel berpecah kepada dua golongan, iaitu golongan yang lari mengikuti Samiri dan satu golongan lagi yang tinggal untuk mengikuti Nabi Musa.

Sebelumnya Harun telah berkata kepada mereka: “Wahai kaumku, kamu sedang diuji dengan lembu ini, Tuhanmu adalah Allah Yang Maha Pemurah, ikutilah akau dan ikuti perintahku. Mereka menjawab: “Kami tidak akan meninggalkan patung sembahan ini sehingga Musa pulang kembali.” (Surah Toha, ayat 90 & 91).

Nabi Harun menasihati Nabi Musa supaya tidak bergaduh dengannya dan membiarkan musuh gembira melihat pergaduhan tersebut. Terdapat musuh di kalangan mereka yang perlu Nabi Musa tangani. Setelah mendengar kata-kata Nabi Harun itu, Nabi Musa terus melepaskan Nabi Harun dan mencari Samiri. Samiri telah menceritakan bahawa semasa Laut Merah menelan Firaun dan tenteranya, beliau melihat Jibril turun bersama kudanya dan beliau telah memerhati di mana jejak kuda itu ditinggalkan lalu diambilnya segenggam tanah dan membalingkannya ke atas emas yang cair tersebut.

Setelah mendengar cerita Samiri itu, Nabi Musa berkata: “Pergilah kamu, sebagai hukuman dunia sudah ditetapkan, ‘jangan sentuhi aku’, sementara hukuman akhirat adalah sesuatu yang tidak dapat dihindari dan lihatlah patung sembahan yang masih engkau sembah. Akan kami bakar patung itu kemudian abunya akan kami lempar ke laut.” (Surah Toha, ayat 97).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 23 September 2014

No comments:

Post a Comment