Sunday 2 November 2014

Syukuri Nikmat Yang Ada - Syeikh Hamza Yusuf Hanson

Dalam temubual eksklusif bersama Dj Mazlina Ismail pada hari Khamis lepas di IKIMfm, seorang ulama terkenal Sheikh Hamza Yusuf Hanson yang merupakan pengasas Institut Zaytuna di Amerika Syarikat telah memuji umat Islam di Malaysia kerana masih memiliki identiti yang kukuh dan masih terus mempertahankan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jamaah dengan berpegang teguh kepada mazhab Imam Shafie dalam fekah, Abu’l Hasan al-Asha’ari dalam Aqidah dan tasawwuf Imam al-Ghazali. Beliau merasakan umat Islam Malaysia masih belum dirosak teruk oleh anasir-anasir luar sepertimana negara-negara Islam yang lain yang terpengaruh dengan pengaruh-pengaruh pasca modernisma. Beliau menyeru agar dipertahankan tradisi ini dari ancaman kononnya apa yang diamalkan hari ini adalah salah dan tidak menepati Sunnah.

10636061_296409263897992_5868555521711803077_nAdakah amalan umat Islam selama beratus tahun dahulu semuanya salah? Mustahil bagi ajaran Islam untuk perlu dibuat kajian semula setelah melalui zaman yang begitu lama dan setelah melalui proses saringan yang ketat oleh ratusan ulama-ulama yang muktabar sepanjang zaman. Beliau turut menyeru agar umat Islam benar-benar mengenali siapakah sebenarnya Ahlul Sunnah wal Jamaah dan ciri-cirinya kerana ramai yang mendakwa mereka adalah kumpulan selamat (firqah najiah) dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah sedangkan sebenarnya tidak.



Dalam lawatan yang kali ketiga ke Malaysia ini atas undangan Instute of Islamic Adavanced Studies (IAIS) dan Al-Naqiy Solutions, Sheikh Hamza – yang disenaraikan sebagai “ulama paling berpengaruh di dunia Barat” oleh Professor John Esposito dalam buku beliau “The 500 Most Influential Muslims” – itu mengungkapkan bahawa beliau berpandangan apa sahaja masalah yang berlaku di alam ini berpunca dari “Krisis Ilmu Pengetahuan”. Samada ianya krisis ekonomi, krisis politik atau apa sahaja ia semuanya berpunca daripada permasalahan pokok, iaitu krisis ilmu pengetahuan. Manakala yang lain itu hanyalah simptom kepada penyakit sebenar yang dihadapi.

Beliau memberi contoh bagaimana penulis terkenal dari Amerika Syarikat, Mark Twain yang pernah melawat Palestin suatu ketika dahulu, begitu juga Florence Nightingale yang pernah tinggal hampir dua tahun di Mesir dan di Turki namun mereka ini tidak pernah menganggap umat Islam sebagai terroris atau berpandangan jahat terhadap Islam, bahkan sebaliknya memuji umat Islam dan agama Islam. Bagaimana mungkin orang yang hidup lebih 100 tahun dahulu boleh melihat Islam itu positif sedangkan hari ini tiada langsung kebaikan tentang Islam. Inilah yang dikatakan “krisis ilmu pengetahuan”.

Bahaya “Jahil Berganda” 

Beliau mengungkapkan kembali pandangan Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas membicarakan berhubung “kejahilan biasa” dan “kejahilan berganda”. Anak-anak biasanya tergolong dalam “jahil biasa” dan ini merupakan lambing keikhlasan dan kejujuran terhadap keilmuan yang dimiliki. Namun hari ini ramai yang jahil namun berlagak alim dan mempunyai ilmu pengetahuan, inilah yang dikatakan “jahil berganda”.  Ini adalah penyakit apabila ramai yang mendakwa mengaku mengetahui sesuatu tetapi sebenarnya kosong tidak mengetahui apa-apa. Para ulama kita mengajar agar kita mengungkapkan aku tidak tahu” jika kita tidak tahu kerana itu adalah sebahagian daripada ilmu. Ini berdasarkan Firman Allah SWT dalam al-Qur’an mafhumnya “Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: Ini halal dan ini haram, untuk mengadakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” (al-Nahl:116). Kejahilan sombong ialah merasakan mengetahui sesuatu perkara lalu memberi pelbagai komentar dan pandangan padahal mereka jahil sebenarnya. Perlakuan sebegini teramat merbahaya untuk masyarakat awam dan akan mengelirukan mereka namun malang sekali apabila kita melihat ramai yang kononnya bercakap seolah  mereka mengetahui padahal mereka jahil dari hakikat sebenar. Para sahabat Baginda SAW dahulu menolak untuk memberi padangan mereka kerana merasakan tidak layak, dan ianya suatu yang berat dan mereka amat takut akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hari ini ramai yang menulis kosong tanpa ilmu di media sosial seperti facebook misalnya, bahkan atas nama palsu dengan identiti yang disembunyikan seolah-olah malaikat tidak mengetahui siapa penulis sebenar. Hari ini juga untuk mengumpat tidak perlu lagi berdua seperti dahulu kala, namun memadai dengan mengetuk papan kekunci computer dan menghantarnya ke media sosial. Mereka ini tidak akan terlepas dari hukuman Allah SWT atas pandangan, “fatwa” mereka menyelewengan apatah lagi menyesatkan masyarakat.

Cermat Tangani Perbezaan

Sheikh Hamza turut menyeru agar apa jua perbezaan pendapat yang wujud dalam masyarakat kita ditangani dengan cermat dan halus tanpa mewujudkan perpecahan dan pergeseran sesama umat Islam. Ada ketikanya dalam sesuatu amalan itu walaupun mungkin ada hujah atau dalil yang lebih kuat untuk tidak melakukannya misalnya, namun jika masyarakat sudah terbiasa dengan amalan tersebut yang hujahnya tidak begitu kuat namun demi menjamin perpaduan maka lebih baik ianya dibiarkan terus diamalkan bagi mengelakkan pergeseran. Ini merupakan antara pandangan para ulama mazhab Maliki. Apa yang merbahaya apabila kita merasakan dan mendakwa hanya “Islam” yang kita fahami sahajalah yang betul sedangkan Islam orang lain semuanya salah belaka. Tidak salah untuk kita menyakini bahawa apa yang kita fahami itu benar, namun untuk menafikan bahawa orang lain juga mungkin benar adalah satu sikap yang angkuh.

Mensyukuri Untuk Ditambah Nikmat

Di akhir bicaranya, Sheikh Hamza menyeru agar umat Islam di Malaysia bersyukur atas segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT. Beliau sedar ramai yang seolah sinis terhadap pandangan tinggi beliau terhadap keadaan di negara ini seolahnya beliau tidak memahami keadaan sebenar. Namun beliau tegaskan bahawa beliau telah mengembara ke banyak negara-negara Islam dan berpandangan bahawa keadaan di negara ini jauh lebih baik dari banyak negara-negara di dunia ini. Jika dibandingkan dengan keadaan di Syria, Libya, Iraq dan lain-lain yang sedang bergolak sekarang ini, rakyat di negara-negara tersebut jika ditanyakan kepada mereka majoritinya akan menjawab mereka lebih rela kembali hidup di zaman pemerintahan  Saddam Hussein atau Muammar Gaddafi yang lebih aman berbanding keadaan hari ini. Oleh itu, di sebalik segala kelemahan yang pasti ada pada mana-mana kerajaan di atas mukabumi ini, beliau menyeru agar umat Islam di Malaysia terlebih dahulu bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati agar Allah SWT terus menambahkan lagi nikmat yang lain. Dalam masa yang sama terus berusaha memperbaiki keadaan yang ada. Bersyukur bukanlah makna berpeluk tubuh, namun bersyukur tetapi terus berusaha untuk penambahbaikkan dan membaiki kelemahan yang ada.

Beliau  mengakhiri perbualan dengan perasaan penuh sebak sambil menitiskan airmata berhubung dengan kehilangan adab di kalangan umat Islam hari ini. Beliau merasa bangga dengan umat Islam di negara ini yang masih memiliki adab Islam yang utuh dan tinggi sepertimana anjuran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW apabila Baginda bersabda mafhumnya “sesungguhnya aku telah dia adabkan oleh Tuhanku dan Dia memperelokkan adabku”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 11 September 2014

No comments:

Post a Comment