Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Jadi Pemerhati Diri Sendiri

Pastikan hati bersih terlebih dahulu sebelum kita membuat perubahan pada diri. Hati yang bersih akan mudah untuk menerima ilmu, teguran, pelajaran dan nasihat. Hati yang bersih juga sebenarnya boleh menjadi pengubat segala jenis penyakit. Namun hati yang bersih harus juga diiringi dengan emosi yang stabil kerana apabila keduanya seimbang, maka mudahlah bagi kita melakukan transformasi diri dan dapat melihat kesan dari usaha perubahan diri itu.

Hakikatnya hati yang bersih akan terserlah melalui kejernihan wajah dan aura yang positif. Sebab itu orang yang berhati mulia akan lebih disayangi dan mudah didampingi berbanding orang yang memiliki hati yang berkeladak atau kotor, kerana ia melahirkan emosi yang negatif seperti dengki, suka mengumpat, cepat marah, suka mengeluh, banyak mengkritik dan sebagainya.

Meminjam kata-kata alim ulama, hati itu ibarat raja bagi seluruh anggota badan kita, jika hati itu baik, maka menjadi baiklah sifat manusia, namun jika hati itu busuk, kotor, sakit, maka ia akan menjadi tempat berkumpulnya segala penyakit mazmumah.

Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad berkata dalam rancangan Tarbiyah yang bersiaran Jumaat lepas jam 10.15 pagi,  jika kita bijak mengurus hati dan menangani emosi dengan selalu meletakkannya di landasan yang betul, ia akan membantu kita menentukan tindakan yang tepat dalam membuat pilihan dan keputusan kehidupan.

Setiap tindakan kita hari ini, akan menentukan siapa kita pada hari hadapan. Oleh demikian buatlah pilihan yang akhirnya kita sendiri beroleh kebaikan untuk dunia dan akhirat. Sematkan dalam diri setiap masa dengan nilai kebaikan seperti bersyukur dan memaafkan orang lain. Begitu juga dengan kesilapan dan kekhilafan yang pernah kita lakukan. Lupakan dan bertaubat serta memohon pengampunan daripada Allah swt kerana itu akan membantu kita untuk memulihkan hati yang terluka.

Berinteraksi Dengan Anggota Badan

Lumrah kehidupan, akan ada sahaja ujian yang menduga perasaan dan hati kita. Adakala kita merasa bertenaga dan bersemangat, ada waktu kita merasa kecewa dan terluka. Namun sebenarnya kita sendiri boleh mengurus emosi dan perasaan dengan selalu berinteraksi dengan hati kita sendiri.

Barangkali kita merasa kecewa melihat orang lain mendapat kenaikan pangkat, kita merasa sedih kerana impian kita tidak terlaksana. Hati kita merasa gundah gulana dan tidak tenang tanpa sebarang alasan. Jadi, bangkitlah pulihkan semangat diri melalui interaksi dengan anggota badan.

Umpamanya Jika kita merasa sakit hati, bercakaplah dengan hati, pujuklah hati dengan kata-kata semangat “Wahai hati, janganlah ada dengki, wahai hati, bangkitlah dari kesedihan, wahai hati, tenanglah, janganlah terlalu menuruti nafsu, wahai hati, jadilah hati yang bersih’. Kata-kata sedemikain boleh memujuk hati yang secara tidak langsung menjadi terapi untuk memulihkan semangat diri.

Begitu juga seandainya kita sedang mencari kekuatan diri untuk membina motivasi, boleh sahaja kita berinteraksi dengan anggota badan dengan bercakap seperti “ wahai tangan dan kaki, janganlah jadi anggota badan yang malas, wahai mulut yang diciptakan Allah dengan kebaikan, berkata dan bercakaplah perkara yang baik-baik.

Saat kita merasa marah atau gagal mengawal perasaan, berinteraksi sahajalah dengan anggota badan sama ada mata, kaki, malahan dengan nafsu kita sendiri sekalipun agar bermujahadah melawan segala godaan dan dugaan.

Namun sekiranya kita telah melakukan segalanya untuk berubah menjadi baik tetapi kita masih gagal untuk melaksanakannya, jangan berpatah hati, kerana kita masih ada doa kepada Allah yang pastinya jika dipohon dengan sepenuh hati dan keyakinan hanya pada allah, sudah pasti Allah swt tidak akan membiarkan hambanya berdoa secara sia-sia
.
Apa yang pasti, dalam apa juga tindakan dan perbuatan, mesti dilakukan dengan merasai kehadiran kewujudan Allah swt. Ini kerana jika melakukan apa sahaja perkara sama ada ibadah atau apa juga bentuk pekerjaan, jika kita melakukannya hanya untuk Allah dan kerana Allah, hati kita merasa tenang dan tidak gusar dek pandangan manusia. Apabila kita berbuat baik kerana mahu mendapat redha Allah kita tidak akan merasa kisah lagi dengan penghargaan manusia. Orang yang tidak mengharapkan penghargaan dan pujian manusia, akan merasa selalu bermotivasi dan bersemangat dengan apa sahaja yang dikerjakannya.

Selalu menjadi orang yang ada kesedaran.

Setiap orang sudah tentu ada Key Performance Indikator (KPI) atau Indeks Prestasi Utama mereka sendiri. Bagi orang yang mahu berubah, mahu menjadi orang yang kaya dengan sifat mahmudah disaran untuk mempunyai jurnal kehidupan masing-masing.

Ianya bertujuan untuk membantu kita mengenali siapa diri kita dan menjauhi sifat buruk yang ada dalam diri. Seandainya kita tidak mahu menjadi orang yang suka mengumpat, kita boleh catatkan perbuatan itu dalam jurnal harian kita apabila atau setiap kali kita mengumpat hal orang. Begitu juga jika kita mahu menjadi orang yang rajin solat pada waktunya, setiap kali kita lambat solat, kita catatkan dalam jurnal kehidupan sehinggalah kita dapat mendisiplinkan diri dengan  solat tepat pada waktunya.

Setiap pekara yang dilakukan dalam masa 21 hari akan menjadi habit atau tabiat bagi seseorang itu. Begitu juga dalam soal suka mengumpat tadi, jika setiap kali kita menyebut nama orang dan sedar tentang hal itu lalu menghindari perbuatan tersebut, lama kelamaan kita akan dapat menjauhi diri dari perbuatan yang suka mengumpat. Malahan kalau kita mula untuk mengubat atau mendengar orang bercerita hal orang sekalipun, kita akan merasa resah dan hati merasa amat tidak selesa.

Itu merupakan satu petanda bahawa hati kita sudah bersih. Sebenarnya hati bersih juga apabila kita merasa tidak selesa kepada perkara yang bersifat jahat. Hati kita merasa sedih jika melihat perkara yang negatif. Kita merasa gundah jika ada sedikit hasad terhadap orang lain. Namun kita akan turut berdukacita jika melihat orang sedih dan kecewa.
Bagaimanapun, dalam kita membuat trasformasi diri, perlu menjadi orang yang hidup dalam kesedaran. Ini bermakna apa pun perbuatan kita, mesti sedar dan tahu itu perbuatan baik atau jahat. Jika kita merasa setiap tindakan kita tidak mendatangkan faedah atau manfaat, jangan lakukannya. Hidup ini mesti jelas tujuan dan matlamatnya. Jangan lakukan perkara yang membawa sia-sia dan tidak mendatangkan kebaikan.

Selalu ada kesedaran untuk memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Setiap hari selalu memotivasi diri dengan indeks kebaikan yang maksimun. Begitu juga setiap hari mesti bercakap dengan akhlak diri, menanam azam untuk bercakap baik, bertindak baik, berbuat baik.

Ini kerana kata Prof Dr. Muhaya orang yang mahukan kebaikan mengiringi roh dan jasadnya adalah orang yang selalu bertindak sebagai orang yang poaktif dan bukan reaktif. Ini kerana orang yang proaktif adalah orang yang hidup dari dalam ke luar iaitu dari dalaman diri kita dan diterjemahkan melalui perbuatan dan tindakan.

Setiap hari bangkit dari tidur, tanamkan azam dan bayangkan hari-hari berkenaan dan seterusnya untuk melayan orang dengan baik, mahu bersedekah, tidak mahu sia-siakan waktu dengan perkara yang tidak berfaedah. Menghormati orang setiap masa. Ini kerana menurut kajian psikologi hanya sepuluh peratus sahaja persekitaran yang menentukan diri kita, sebanyak 40 peratus adalah genetik ibu bapa dan sebanyak 50 peratus adalah pilihan manusia itu sendiri. Hebatnya manusia kerana kita ada keupayaan untuk membuat pilihan. Ini kerana pilihan  yang tepat akan menentukan siapakah diri kita dan dimanakah tempat kita di sisi Allah swt.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 22 Ogos 2014

1 comment:

  1. Assalamualaikum ....

    Subhanallah...
    Alhamdulillah...

    Terima kasih di atas segala perkongsian...

    ReplyDelete