Memegang status seorang isteri bukan
sesuatu yang mudah kerana tanggungjawab yang digalas amat berat. Ini
kerana wanita yang bergelar isteri seterusnya menjadi seorang ibu
mempunyai peranan yang besar dalam memastikan kehidupan keluarga bahagia
dan seterusnya berperanan dalam pembinaan insan yang berjaya..
Kehidupan yang mencabar pada hari ini
menuntut golongan isteri untuk lebih fokus terhadap kerukunan
rumahtangga agar tidak tersasar daripada perkara- perkara yang boleh
membawa kegagalan dalam perkahwinan mereka.
Semua wanita mahukan kebahagiaan dalam
perkahwinan, memiliki anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dan
kehidupan. Namun, dalam mencari kebahagiaan, isteri sering meletakkan
syarat kebahagiaan ke atas bahu suami, contohnya jika suami baik
baharulah kehidupan rumahtangga akan bahagia, namun jika sebaliknya
rumahtangga tidak akan menemui kebahagiaan.
Menurut Pakar Motivasi terkenal,
Profesor Dr. Muhaya Mohamad melalui rancangan Tarbiah yang disiarkan di
radio IKIMfm jam 10.15 Jumaat lalu, wanita yang meletakkan syarat
kebahagiaan hanya kepada suami tidak akan mengecapi kehidupan yang baik
dalam perkahwinan kerana suami dan isteri harus mempunyai kesedaran yang
tinggi untuk membina prinsip hidup ke arah mencapai kebahagiaan.
Dengan ini, perlu bagi seseorang isteri
melakukan transformasi diri dengan tidak hanya meletakkan aspek luaran
semata sebagai prinsip kebahagiaan, sebaliknya menekankan aspek yang
lebih bersifat kerohanian. Oleh itu, Prof. Dr Muhaya menyarankan
beberapa prinsip penting sebagai tonggak utama dalam membina kehidupan
rumahtangga yang cemerlang.
Pertama, sebagai seorang isteri atau
ibu, wanita harus membina semangat yang lebih positif, seperti sentiasa
bersyukur dengan apa yang dimiliki. Begitu juga melatih ahli keluarga
untuk fokus terhadap apa yang ada, bukan apa yang tidak ada. Perasaan
sentiasa bersyukur dengan anugerah Allah ini membuat hati merasa lebih
lapang kerana minda kita tidak akan terganggu dengan keinginan yang
tinggi terhadap perkara yang bukan menjadi milik kita.
Prinsip kedua utama dalam rumahtangga
ialah seorang isteri harus peka tentang pemakanan yang seimbang untuk
ahli keluarganya. Makanan yang baik akan menentukan keluarga sihat
sejahtera. Apabila seseorang isteri yang mempunyai kesihatan yang baik,
suami dan anak-anak juga sihat, keluarga akan bertambah ceria dan
gembira. Oleh itu, penting bagi wanita memahami tentang nutrisi dan
menyediakan pemakanan yang terbaik untuk ahli keluarganya.
Isteri juga harus menjadi agen kesihatan
bukan hanya fizikal tetapi mental dan spritual. Mempunyai emosi yang
seimbang, kesihatan fizikal yang baik, dan kekuatan kerohanian yang
tinggi, adalah penting dalam pembinaan akhlak seorang isteri yang
unggul. Ini kerana, isteri atau ibu adalah idola bagi anak-anak dan
sumber kekuatan bagi keluarga untuk mengharungi kehidupan yang penuh
cabaran.
Prinsip ketiga, isteri hendaklah
sentiasa fokus untuk mencapai bahagia. Ini bererti seorang wanita itu
hendaklah sentiasa menanam azam untuk menjadi sumber kebahagiaan kepada
keluarganya. Orang yang bahagia akan mendapat kebahagiaan dan
memberikannya kepada orang lain. Orang yang penuh kasih sayang akan
memberi keseluruhan kasih sayangnya terhadap orang lain. Sebab itu,
seorang isteri haruslah sentiasa fokus untuk membina tenaga bahagia
dalam dirinya. kerana dengan itu,dapat menghasilkan sebuah kehidupan
yang bermakna.
Menurut Prof Dr. Muhaya, kita hendaklah
selalu menekankan tentang hidup yang saling memberi dan berkongsi.
Contohnya memberi kasih sayang dan berkongsi rezeki dengan orang lain
akan menambahkan lagi barakah dalam kehidupan kita dan keluarga.
Terapkan nilai murni dalam diri dan
tumpukan kepada matlamat dalam perkahwinan seperti mendidik anak,
menguruskan rumahtangga atau apa sahaja yang membawa kebahagiaan kepada
keluarga dan perkahwinan adalah tugas yang perlu diberi keutamaan.
Begitu juga dalam membuat pilihan dan
menentukan keputusan yang betul. Sekiranya ada ujian atau masalah
sekalipun, ianya tidak menjejaskan proses kehidupan kita, malah kita
lebih tabah menghadapi setiap ketentuanNya kerana percaya setiap yang
Allah berikan itu adalah yang terbaik untuk kita.
Prinsip keempat, jadilah seorang yang
pemaaf. Jangan biarkan kesilapan masa lalu membelenggu minda kita. Ini
kerana, orang yang sentiasa diawasi oleh kisah silam membuatkan minda
menjadi sempit. Seseorang yang dikawal oleh kesilapan masa lalu
membuatnya menjadi tidak bermotivasi untuk menjalani kehidupan yang
lebih baik. Begitu juga dengan orang yang takut dengan masa hadapannya,
menjadikan dirinya tidak dapat mencapai kebahagiaan sebagaimana yang
diharapkan.
Dalam konteks ini seorang isteri atau
ibu harus selalu berlapang dada dan akur atas kekurangan diri sendiri
dan pasangannya. Jangan terlalu mengharap suami dan anak-anak begitu
ideal sehingga kita tidak boleh menerima kesilapan dan kekurangan
mereka. Mempunyai perspektif yang lebih terbuka membuat hati merasa
lebih lapang.
Prinsip kelima adalah hidup dalam
kesedaran, kerana isteri yang bahagia selalu bermuhasah diri dan
memperbetulkan kesilapannya. Menjadi penasihat yang baik kepada
anak-anak dan seterusnya merancang hidup yang seimbang dan tersusun.
Setiap orang dalam dunia ini mempunyai
masalah tertentu, sesiapapun tidak akan terlepas dari melalui ujian
hidup, sama ada ujian anak-anak nakal, ujian kesihatan, suami yang
malas, atau apa juga ujian yang membuatkan kita merasa tersepit untuk
menikmati bahagia. Namun, jika kita melihat masalah itu sebagai halangan
ia akan menjadi tekanan kepada kita. Jika kita melihat sesuatu masalah
sebagai suatu proses kehidupan, setiap permasalahan yang berlaku dapat
dilalui dengan lebih tabah.
Apa yang penting besarkan minda kita
kerana minda yang besar akan melihat masalah menjadi kecil, apabila kita
merasa setiap masalah itu hanya sebagai perspektif, nescaya kita akan
dapat menerima permasalahan dengan pandangan yang positif.
Transformasi diri amat penting kepada
semua orang terutama wanita yang bergelar isteri. Ini kerana, isteri
atau ibu yang bahagia akan memberikan kebahagiaan kepada seluruh ahli
keluarganya. Bayangkan setiap pagi jika isteri tersenyum bahagia, suami
dan anak-anak akan merasa gembira. Isteri yang penuh kelembutan dalam
tutur bicara menyejukkan jiwa ahli keluarga, isteri yang sihat sejahtera
akan menjadi sumber kekuatan sesiapa sahaja.
Seorang wanita yang sentiasa
menggerakkan dirinya untuk mencari kebaikan dalam hidup tidak akan
bergerak secara keseorangan. Mereka turut melibatkan suami dan anak-anak
atau sesiapa di sekelilingnya untuk bersama-sama memulakan langkah
dengan selalu meningkatkan diri dengan kefahaman ilmu agama kerana
itulah yang akan mencorak masa depan perkahwinan yang bahagia.
Artikel ini telah disiarkan di akhbar Berita Harian bertarikh
23 Julai 2014 dalam segmen Agama
No comments:
Post a Comment