Sunday 2 November 2014

Pesona D’Zahra: Ibadah Dipersembahkan Buat Allah


Rancangan Pesona D’Zahra minggu lalu bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin memilih untuk membicarakan tentang Aidil Adha yang semakin menghampiri kita. Moga dengan perkongsian tajuk ini, kita semakin memahami dan menghayati perayaan AidilAdha.
Memulakan bicara, Ustaz menerangkan umat Nabi Muhamad SAW dikurniakan dengan dua hari perayaan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Keduanya  merupakan hari raya yang disyariatkan di mana syiar merayakannya dan memaparkan kegembiraan pada hari tersebut kita akan diberikan ganjaran pahala. Jadi adalah sunat bagi kita mempamerkan kegembiraan kita oada dua hari tersebut. Walaubagaimanapun pensyariatan tersebut tidak menghalang umat Nabi Muhammad SAW untuk menyambut perayaan yang lain dengan memastikan ia memenuhi tiga syarat iaitu:
  1. Sambutan tersebut bukan perayaan keagamaan  atau membabitkan penyembahan kepada dewa-dewa dan sebagainya.
  2. Perayaan itu tidak melambangkan kepada perkara maksiat contohnya hari kekasih (Valentine’s Day) yang membawa mesej menghargai kekasih dan hubungan bukan suami isteri serta menggalakkan kepada aktiviti maksiat.
  3. Tidak membawa unsur syirik dan pemujaan seperti contoh yang pernah diamalkan masyarakat dahulu kala iaitu hari memuja semangat padi, puja pantai, mandi safar  dan lain-lain seumpamanya dan telah lama ditinggalkan.
Kembali bercakap berkenaan hari raya yang dianugerahkan kepada kita, Ustaz Muhamad menyebut, jika direnungkan sesuatu perayaan yang disambut itu kebiasaannya ia adalah bagi meraikan sesuatu pengorbanan yang telah dilaksanakan.

Contohnya meraikan Hari Ibu sebagai memperingati pengorbanan ibu, Hari Guru bagi meraikan memperingati jasa guru dan begitu juga Hari Raya Aidilfitri bagi merayakan kemenangan ibadah berpuasa dan melawan hawa nafsu. Begitulah juga perayaan Aidil Adha dimana yang dirayakan bagi meraikan pengorbanan  dari sudut harta dan kepayahan dalam menunaikan ibadat haji. Bagi yang tidak menunaikan ibadah haji pula, mereka berkorban dari sudut mengeluarkan harta atau wang ringgit bagi melaksanakan ibadah korban.

Dalam Surah Al Kautsar, Allah swt ada berfirman yang membawa maksud “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhamad kebaikan yang banyak (didunia dan diakhirat.) Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya).”  Allah swt mengajar hamba-hambaNya akan cara melawan musuh Islam itu adalah dengan jalan solat dan berkorban. Dengan menjalankan dua syariat ini orang yang membencimu dan me itulah yang akan binasa.

Berkenaan dengan dua hari raya yang dianugerahkan ini, ia mempunyai banyak kaitannya dengan galakan memperbanyakkan doa. Doa ialah pengharapan seseorang untuk mendapatkan kebaikan daripada Allah s.w.t dengan memohon secara langsung kepadaNya. Setiap individu ada mempunyai keperluan dan keinginan masing-masing sama ada secara positif atau negatif, kerana mereka terpaksa menghadapi pelbagai ragam hidup, yang berupa cabaran, halangan, dugaan dan lain-lain. Justeru mereka berdoa kepada Allah SWT memohon limpah perkenan dan rahmat-Nya supaya hajat mereka terkabul.

Allah SWT menyuruh setiap muslim berdoa dan memohon restu daripadaNya. Ia disyariatkan supaya orang Islam melakukannya dalam kehidupan harian mereka yang penuh dengan cabaran dan pertentangan di antara kebaikan dan keburukan yang memerlukan kita kepada hidayah dan pertolongan Allah setiap masa. Justeru kita perlu berdoa setelah didahului dengan usaha dan ikhtiar yang gigih.

Disebutkan terdapat lima malam dimana doa yang dipanjatkan seseorang hamba itu mustajab atau dimakbulkan oleh Allah SWT. Lima malam tersebut adalah:
  1. Awal Rejab atau 1 Rejab
  2. Malam Nisfu Syaaban atau pertengahan syaaban (nisfu itu membawa maksud separuh) kerana itulah antara hikmah orang terdahulu menyusun membaca yasin sebanyak tiga kali bagi mengisi keseluruhan malam itu dengan berdoa dan beribadat, walaupun amalan tersebut tidaklah diamalkan sebegitu oleh Baginda SAW.
  3. Malam Hari Raya Aidilfitri
  4. Malam Aidil Adha
  5. Setiap malam Jumaat
Kembali menyebut tentang perayaan hari raya Aidil Adha, Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT

Hari Raya Aidil Adha adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidil Fitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hikmah yang diperolehi menerusi ibadah korban pada hari raya Aidiladha Islam adalah agama dari Allah untuk manusia dan kebaikannya kembali pada manusia.  Melihat kepada ibadah korban yang dilaksanakan oleh orang Islam, Niat ibadah korban adalah untuk mempersembahkan hasil korbanitu kepada Allah bagi mendapat keredhaanNya.

Setelah kita membuat sembelihan korban, daging korban tersebut akan diagihkan sesama kita dan fakir miskin. Keindahan Islam dilihat dengan daging korban tidak kita letakkan di masjid atau surau hingga busuk di atas nama pengorbanan pada tuhan.

Ketika kita berada di Tanah Suci Mekah pula, sekiranya kita membuat sesuatu kesalahan ibadat hingga dikenakan membayar dam (denda) dan Dam (denda) ini berupa seekor kambing yang perlu disembelih, hasil sembelihan itu kemudiannya akan diagihkan pada fakir miskin. Kita tidak meletakkannya di Kaabah hingga busuk kerana nak persembahkan pada tuhan, kerana itu amalan jahiliah.

Contoh lain mungkin ada antara kita yang lambat mengganti puasa Ramadhan hingga perlu membayar fidyah sebagai denda. Kita diperintahkan membayar fidyah dengan memberikan beras. Beras atau denda ini tidak kita letakkan di atas mimbar atau hanyutkan di sungai tetapi beras itu kita berikan pada fikir dan miskin.

Begitulah indahnya, Islam, yang kita mempersembahkan pengorbanan itu kepada Allah, tapi pengagihan adalah pada sesama manusia. Kebaikannya ibadah juga memberi manfaat untuk manusia.

Benarlah firman Allah bahawa kita memang perlu membuat perhubungan dengan Allah (hablum minallah) dan perhubungan dengan manusia (hambul minannas). Jika kita tidak membuat kedua-dua hubungan ini, maka kita kaan ditimpa dengan kehinaan.
Firman Allah :- Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia (Surah Ali Imran).

Sesungguhnya, dalam kesimpulan kali ini sebelum kita menyambungnya dalam perkongsian tajuk sama diminggu hadapan dalam Rancangan Pesona D’Zahra adalah membuat melaksanakan perintah ibadah korban, kita sebenarnya mempersembahkannya kepada Allah, dan pengagihan manfaatnya adalah untuk manusia, begitulah indahnya Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 29 September 2014

No comments:

Post a Comment