Sunday 2 November 2014

Pesona D’Zahra - Belajar Untuk Bersabar

Belajar Untuk Bersabar
Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin

Memahami konsep kehidupan sebagai Muslim, ia adalah proses perpindahan dari satu ujian ke ujian yang lain. Ujian tidak selalunya dalam bentuk kesusahan, kesakitan dan kemelaratan dan semua yang tidak menyenangkan hati, tapi ujian juga boleh didatangkan dalam keadaan kemudahan, kejayaan, harta melimpah ruah, jawatan tinggi dan lain-lain.
Melihat kepada ujian samada ianya sebagai musibah atau nikmat bergantung dengan bagaimana  kita melihat dan menerima kesusahan atau kemudahan itu. Seseorang yang sabar dan beriman akan melihat setiap ujian itu dengan bersangka baik terhadap Allah SWT yang mahukan yang terbaik untuk hamba-hambaNya sesuai dengan sifatnya Ar Rahman dan Ar Rahim. Hanya dengan iman dan ilmu tentang sifat Allah akan dapat membuatkan seseorang itu melihat hikmah disebalik setiap ujian yang datang dalam hidup dan melaluinya dengan sabar dan ikhlas.

Berbicara tentang sabar, ia sering dikatakan sebagai satu sifat yang mudah disebut, payah untuk dilaksanakan. Ada benarnya, kerana kesabaran mempunyai nilai yang tinggi dalam kehidupan. Maka itulah jelas kedudukan seseorang di sisi Allah, dan hampirnya seseorang hamba itu dengan Tuhannya adalah dengan menerusi nilai kesabaran yang ditunjukkan dengan akhlaknya, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Dan Allah Swt juga mengingatkan kejadian kita sebagai hambaNya dalam ayatNya “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” – [Al-Baqarah ayat 155]

Sabar  bukan berarti pasrah dan menyerah pada nasib, sabar adalah kegigihan kita untuk tetap berpegang teguh kepada ketetapan Allah (ketetapan hati dalam menerima ketentuan Allah, karena apapun yang menimpa kita adalah ketentuanNya). Namun Kesabaran bukan beerti hanya berdiam diri dan pasif, tetapi sebaliknya sabar dalam bentuk aktif. Ia bersifat aktif dalam bentuk akal yang berfikir, tubuh yang mengawal nafsu dan hati yang aktif mengawal ketingginan iman.

Kembali kepada hikmah kehidupan yang dilanda ujian, dengan sabar setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.

Justeru itu lah, perkongsian dalam Rancangan Pesona D’Zahra di Ikimfm Isnin lalu dengan sambungan tajuk Rumahtangga Universiti Kehidupan oleh Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin telah menyenaraikan “Belajar Untuk Bersabar” sebagai perkara yang kelima dalam menghadapi ujian dalam kehidupan berumahtangga.  Ini kerana dalam melayari kehidupan di bawah satu bumbung oleh dua jiwa yang berbeza latar belakang, keturunan, kesukaan, dan perbezaan sebagai suami isteri, banyak yang perlu dipelajari dan proses memahami satu sama lain hanya boleh dilaksanakan dengan baik menerusi sifat sabar.

Tentunya setiap kita mempunyai harapan dan impian dalam kehidupan rumahtangga. Setiap kita mahukan kebahagiaan sepanjang hayat. Mahukan setiap yang kita harapkan itu pula menjadi kenyataan. Tetapi hakikatnya, sebagai hamba, kita hanya merancang kehidupan. Berbalik kepada hikmah ujian yang mesti dilalui dalam kehidupan ini oleh setiap hamba yang dikasihiNya sebagai penentu tahap keimanan, Allah sahajalah yang berkuasa menentukan perjalanan kehidupan bagaimanakah yang kita akan tempuhi.

Dalam meniti kehidupan rumahtangga, sebagai pasangan suami isteri kedua-dua pihak mestilah mengamalkan sikap kerjasama dan tolak ansur, selain menjalankan tanggungjawab seperti memberi kasih sayang, dan menjalankan nafkah zahir dan batin dan mendahulukan iman dan sabar dalam menunaikan semua perkara yang menjadi teras kebahagiaan itu.

Ini kerana kebenarannya, ‘sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri’, tentunya ada masa-masa tertentu perkara remeh pun adakalanya menyebabkan perselisihan. Tanpa sifat sabar banyak perkara dikatakan boleh menjadi pencetus perceraian. Antara alasan sering diberikan pasangan yang memilih jalan berpisah ialah tidak wujud persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan kehadiran orang ketiga.

Hanya dengan sifat sabar berlandaskan iman dan memperbanyakkan rasa syukur, suami dan isteri akan terus bahagia menjalani kehidupan walaupun pasangan itu diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Cubalah untuk belajar bersabar sekiranya hasil muhasabah diri, kita melihat sifat-sifat negatif seperti panas baran, tidak mahu bertolak ansur, hanya mementingkan kesenangan dan kemahuan sebelah pihak, ada dalam diri kita. Dan berusahalah untuk berubah kepada kebaikan. Juga terapkan sifat sabar ketika membuat perubahan dalam diri serta dalam melalui ujian kehidupan berumahtangga.

Fahami dan teladani Ciri-ciri seseorang yang mencintai keluarganya adalah selalu bersabar dalam mendidik pasangan dan anak-anak seperti dicontohkan para Nabi alaihisolatuwassalam. Kesabaran ini sangat penting bagi kesinambungan kepada keluarga bahagia.  Yakinlah Sabar akan membuahkan hasil yang indah walaupun kita melihatnya sebagai pahit dan getir. Ini kerana orang orang yang beriman dan bersabar tidak akan rugi. Seseorang Muslim itu Di beri Nikmat dia bersyukur, diberi Musibah dia bersabar. Syukur berarti kebaikan bagi dirinya, sabar juga kebaikan bagi dirinya.
Juga yakini bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”
Maka tidak ada yang perlu kita takutkan dalam hidup ini, kecuali kita tidak punya rasa syukur dan tidak dapat bersabar. Kerana Islam adalah agama yang memberikan kebahagiaan didunia dan kejayaan di akhirat bagi mereka yang menuruti ajarannya. Jika tidak didunia, nantikanlah ganjaran yang besar atas keikhlasan kita bersabar di akhirat nanti, insha Allah.

Perkara ke-enam yang menjadikan Rumahtangga sebagai Universiti Kehidupan dan memberikan kita pendidikan sebagai orang yang Berjaya adalah “Belajar Menahan Marah”. Tentunya kita berbicara tentang emosi marah yang tidak bertempat dan tidak terkawal.

Bagi orang Islam yang beriman, sifat sabar adalah menjadi perisai dalam menghadapi segala cabaran dan dugaan dan sentiasa reda dengan takdir Allah SWT bahkan insaf terhadap-Nya.

Ini kerana mereka sedar sifat marah itu amat dibenci oleh Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga Rasulullah SAW banyak berpesan supaya jangan bersifat marah.

Ia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya: Dari Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW: Berpesanlah kepadaku, lalu baginda bersabda : Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta dipesani, maka baginda masih tetap bersabda : Jangan marah. (riwayat Bukhari).

Tahap pengurusan atau pengawalan emosi yang rendah, lemah dan tidak berpengetahuan akan membawa kepada kehinaan, huru-hara dan persengketaan serta mendatangkan pelbagai kesan buruk dalam kehidupan. Emosi yang negatif akan sering menjadi tidak stabil dan menyukarkan kehidupan individu untuk berhubung dengan orang lain. Emosi yang negatif jika tidak dikawal, ia akan memusnahkan perhubungan suami isteri, keluarga dan memutuskan silaturrahim serta persahabatan, malah ia akan menjadikan masyarakat dan negara tidak stabil dan huru hara.

Dalam memahami konsep kehidupan sebagai muslim, setiap dari kita akan kembali kepada Allah SWT. Kehidupan di dunia ini adalah singkat dan perjalanan di akhirat itu adalah yang kekal abadi. Dengan memahami konsep tersebut sedalamnya, kita akan berusaha mengisi waktu yang singkat ini dengan emosi yang positif dengan belajar menahan marah. Marah dalam Islam hanya kepada perkara yang dilarang oleh agama. Marah yang berlandaskan hak Islam pula dipandukan dengan adab dan akhlak Islam yang sederhana dan tidak membawa kepada mudarat diri dan orang lain.

Menjadi satu kerugian pada diri seseorang sekiranya menghabiskan waktu dalam kehidupan yang sementara ini dengan emosi marah yang tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak. Baik dari sudut kesihatan fizikal dan mental mahupun perasaan yang tidak memberi kebaikan kepada sesiapapun.

Bagi membina kehidupan yang sejahtera dan aman, berlapang dada lah dalam menghadapi banyak perkara yang menguji kemarahan kita. Sebagaimana yang dipandukan oleh ajaran Islam, contoh yang paling jelas tentang pengurusan emosi ialah panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW tentang bagaimana mengawal perasaan ketika sedang marah.

Mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW seperti bersopan santun dan bersedia memaafkan orang yang bersalah. Sikap sedemikian boleh menimbulkan perasaan kasih sayang dan kemesraan

Menjauhkan diri dari bersifat marah itu mempunyai banyak hikmah antaranya boleh mengelakkan berlakunya sifat dengki, dendam, benci, buruk sangka, memendam perasaan tidak baik terhadap seseorang dan bermacam-macam lagi sifat yang tidak baik.

Murahkanlah menyebut “La hawla wa la quwwata illa billahil aliyyil azim” di bibir dalam menempuhi setiap ujian yang menduga kesabaran kita sehari-hari dengan memohon kekuatan dan hidayah daripada Alah SWT.

Sesungguhnya dalam usaha menjadi orang yang Berjaya dunia dan akhirat adalah dengan 
belajar memperbaiki diri. Dan dalam memperbaiki diri mengatasi kelemahan menerusi dua perkara sabar dan menahan marah ini, keduanya memerlukan kepada kekuatan hati untuk dilaksanakan.

Maka setelah selesai sesuatu amalan yang baik ucapkanlah Alhamdulilah. Memperbanyakkan ucapan ini kerana ia  melambangkan sifat sabar dan syukur kerana dihidayahkan Allah SWT untuk kita berubah kepada kebaikan dan membahagiakan diri dan pasangan. Semoga dipermudahkan setiap usaha kepada pengakhiran yang baik di dunia dan akhirat yang abadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian
edisi 3 November 2014

No comments:

Post a Comment