Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Allah Pemerintah Sekelian Alam

Segmen Ibrah kali ini membawakan episod terakhir kisah Nabi Musa a.s. dan Firaun serta bala tenteranya. Episod kali ini mengupas kisah di dalam Al-Quran yang menceritakan tentang kebenaran mimpi Firaun satu masa dahulu, iaitu ketakutan Firaun terhadap salah seorang daripada Bani Israel yang akan memusnahkan dan menghancurkan kekuasaan yang milikinya.

Ustaz Syaari membawa para pendengar menyoroti kisah Nabi Musa a.s. ketika masih lagi bayi semasa Allah memberi ilham kepada ibunya untuk menghanyutkan baginda ke Sungai Nil bagi menyelamatkan baginda daripada dibunuh oleh tentera Firaun. Akhirnya Nabi Musa a.s. yang diletakkan di dalam sebuah peti telah terdampar berhampiran dengan istana Firaun dan dipungut oleh keluarga Firaun seperti yang diceritakan di dalam Surah Al-Qasas, ayat 8. “Setelah itu dia (Musa) dipungut oleh orang-orang Firaun, kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka, sesungguhnya Firaun dan Haamaan serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah (kufur).”

Firaun dan tenteranya merupakan kaum yang derhaka dan kufur kepada Allah SWT, maka Allah telah menghantar Nabi Musa a.s. untuk membinasakan mereka dengan mukjizat baginda, tongkat yang membelah lautan. Namun, mukjizat yang terhebat adalah Al-Quran itu sendiri yang memberi penyelesaian kepada manusia sepanjang zaman. Syaari mengajak para pendengar untuk membaca, menghayati, memahami dan mengkaji Al-Quran supaya ia bukan sekadar peneman di bulan Ramadan bahkan menjadi satu penyelesaian terhadap masalah kehidupan manusia.

Semasa Nabi Musa a.s. dan Bani Israel dikepung oleh Firaun dan tenteranya, mereka sama sekali tidak mengetahui apakah bentuk bantuan yang Allah akan berikan kepada mereka. Allah SWT telah mewahyukan Nabi Musa a.s. untuk mengangkat tongkatnya dan membelah lautan yang terbentang luas di hadapannya seperti yang diceritakan di dalam Surah Asy-Syu’araa, ayat 63. “Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air di tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar.”

Ustaz Syaari mengajak para pendengar untuk berfikir tentang kehebatan kuasa Allah SWT, bagaimanana Allah memerintahkan kuasa air, angin, tanah dan pasir untuk tunduk dan patuh kepada perintah-Nya. Secara saintifiknya, diperlukan sekurang-kurangnya empat jam untuk belahan lautan tersebut bertahan bagi melepaskan seramai 600,000 Bani Israel berlari menyeberangi laluan sepanjang 12 kilometer itu.
Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu, janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh dan janganlah pula engkau takut tenggelam.” (Surah Toha, ayat 77)
Ustaz Syaari mengajak para pendengar sama-sama berfikir kenapa digambarkan di dalam Al-Quran berlakunya adegan kejar oleh tentera Firaun dan Bani Israel sehingga Nabi Musa a.s. berada betul-betul dihadapan lautan. Kenapa Allah mewahyukan Nabi Musa a.s. untuk memukul laut dengan tongkatnya hanya apabila berada di hadapan laut, iaitu setelah dikepung oleh tentera Firaun?  Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan masih memberi peluang kepada Firaun untuk beriman kepada Allah di saat akhir beliau melihat mukjizat Nabi Musa a.s. Walaupun peristiwa lautan terbelah dua berlaku di hadapan Firaun sendiri, namun Firaun yang begitu angkuh dan bongkak sama sekali tidak beriman bahkan terus mengejar Nabi Musa a.s. dan Bani Israel melintasi Laut Merah.

Dengan kuasa Allah SWT, Nabi Musa a.s. dan Bani Israel selamat melintasi Laut Merah, tatkala Firaun dan tenteranya berada di tengah-tengah lautan, Allah mencantumkan air yang terbelah kembali menjadi lautan sekaligus menenggelamkan kesemua mereka. Sepertimana yang diceritakan melalui Surah Asy-Syu’araa, ayat 65-67). “Dan Kami selamatkan Musa dan semua pengikutnya. Lalu Kami tenggelamkan rombongan yang lain. Sesungguhnya dalam hal ini merupakan tanda-tanda, tetapi kebanyakan mereka tidak beriman.”

Pada saat nyawa berada di hujung tanduk, Firaun menyatakan keimanannya kepada Allah seperti di dalam Surah Yunus, ayat 90 “Aku beriman bahawa tiada Tuhan selain Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israe dan aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” Akan tetapi Allah tidak menerima taubat hamba-Nya apabila nyawa sudah berada di hujung. Di dalam segmen Ibrah ini juga Syaari pernah mengupas mengenai doa Nabi Musa a.s. kepada Allah supaya tidak memberi hidayah kepada Firaun sehinggalah dia menyaksikan sendiri azab Allah terhadapnya. Allah SWT berfirman melalui ayat 91, “Dikatakan kepadanya: Kini kamu sedar, sejak dahulu kamu sudah derhaka dan berbuat kerosakan.”

Allah mengurniakan umur yang panjang kepada Firaun, kesenangan dan kekayaan, akan tetapi tidak ada sedetikpun waktu untuk dia beriman kepada Allah SWT. Malah lebih dari itu Firaun bermaharajalela melakukan maksiat dan kerosakan di bumi Allah. Firaun tidak diampunkan oleh atas kemaksiatan, kebinasaan dan kezaliman yang dilakukannya.

Allah SWT telah menyelamatkan jasad Firaun daripada dimakan ikan dan tidak ada satu anggota badannya pun yang hilang. Laut Merah itu telah memuntahkan kembali jasad Firaun ke pinggiran lautan bagi tujuan melihat betapa besar kuasa Allah SWT dan mengambil pengajarannya. “Hari ini Kami selamatkan badanmu sebagai bukti bagi orang yang dating kemudian. Sesungguhnya banyak orang yang lalai terhadap tanda kekuasaan Kami.” (Surah Yunus, ayat 92). Firaun yang dahulunya disembah sebagai Tuhan oleh penduduk Mesir hanyalah tinggal sebagai jasad yang kaku tidak bernyawa.

Kezaliman dan kebinasaan yang dilakukan oleh Firaun begitu terkenal di seluruh dunia. Makhluk di dunia tidak sedikitpun menangisi pemergian Firaun, apatah lagi alam  semesta seperti yang dirakamkan di dalam Surah Ad-Dhukhan, ayat 29 “Langit dan bumi tidak akan menangisi mereka dan mereka tidak akan diberi waktu penangguhan.”

Menariknya, pengakhiran kisah Firaun ini adalah merupakan permulaan kisah Nabi Musa a.s. dan Bani Israel. Teruskan mendengar rancangan Ibrah di IKIMfm secara langsung setiap Isnin jam 5.15 petang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 2 September 2014

No comments:

Post a Comment