Sunday 2 November 2014

Usrati: Layani Pembantu Rumah Dengan Ihsan

 Layani Pembantu Rumah Dengan Ihsan
- Ustazah Norhafizah Musa

Bibik….! Sarapan dah siap ke? Bibik….! Rumah kenapa belum kemas? Itulah antara pertanyaan yang setiap hari akan ditanya oleh para majikan. Sama ada dalam nada sederhana atau jeritan. Sedarlah oleh kita, bahawa mereka juga manusia. Walaupun bibik-bibik ini dibayar gaji oleh kita selaku majikan, tetapi tidak wajar kita melayan serta meletakkan mereka ditaraf seorang hamba. Ada garis panduan yang kita sebagai majikan perlu patuhi. Mari kita ikuti sambungan bahagian kedua tajuk Bibik oh bibik ini yang akan saya kupas berdasarkan segmen Usrati yang telah pun ke udara pada Khamis lalu jam 5.15pm bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa.

Ada orang macam memiliki urat besi, tulang dawai. Maksudnya dia mampu untuk melakukan pelbagai kerja seorang diri walaupun seorang ibu itu memiliki sembilan anak. Sebaliknya ada pula seorang ibu itu walaupun hanya memiliki seorang anak, tidak menang tangan dia dibuatnya. Kelam kabut hidupnya. Sama juga seperti ada orang kerap saja sakitnya. Ada orang jarang-jarang terkena penyakit. Ini menunjukkan betapa berbezanya setiap dari kita. Walau kembar siam sekalipun tetap tidak sama seratus peratus. Masalah kita pada hari ini ialah suka sangat sama kan diri kita dengan orang lain. Saya berikan falsafah ini, “kita bukan seperti semua orang dan tidak semua orang seperti kita”. Sedarilah bahawa tahap kemampuan, kekuatan dan keupayaan kita Allah jadikan berbeza-beza. Inilah menandakan kebesaran Allah SWT dalam mencipta makhluk ciptaan Nya. Jadi ada orang perlu dan kena ada pembantu dan ada yang tidak perlukan pembantu. Ini bergantung kepada tahap kemampuan seorang suami. Apa-apapun sama ada menyediakan pembantu atau tidak,  Imam Syafie RA berpandandangan ianya tertakluk kepada keadaan wanita dan kemampuan suami.

Jenis-jenis pembantu ini pula ada macam-macam kategori. Ada pembantu yang diambil dan tinggal serumah, ada yang mengambil pembantu seminggu sekali dan ada juga yang mengambil pembantu secara sebulan sekali. Terserahlah kepada masing-masing. Episod kedua tajuk ini akan menyentuh dari sisi pihak majikan terhadap pembantu. Bila ada pembantu ini, isteri seolah-olah “cuci tangan”. Dari A sampai Z semua kerja diambil alih oleh pembantu. Mulalah si isteri itu menjadi “lady boss”. Sehinggakan perkara yang kecil seperti basuh cawan pun mahu bibik yang basuhkan. Walaupun minum air masak atau air putih sahaja pun, kotor mana lah sangat cawan itu kan. Cubalah sebagai majikan jangan terlalu manjakan diri. Takkanlah bila suami minta air, kita suruh pembantu yang ambilkan. Walaupun kita sebagai majikan belajarlah memahami. Bibik itu pun ada bersusun-susun senarai tugas yang perlu dilakukan.

Yang keduanya, sebagai majikan jangan terlalu memberi arahan. Kita memahami mungkin pada hari pertama seorang pembantu itu bekerja dengan kita, tentulah kita perlu bagi tahu kepadanya apa kerja-kerja yang perlu dia lakukan, apa yang kita suka dan apa yang kita tidak suka. Apa yang pembantu boleh buat dan apa yang tidak (contohnya jangan ambil kesempatan : rehat boleh tapi jangan sampai kerja tidak siap), tetapi jika pembantu itu sudah bekerja dengan kita sudah lima tahun, tidak perlulah setiap hari kita bertanya atau memberi arahan kepada pembantu sepertimana pada hari pertama kita dapat pembantu.

Cukuplah selama setahun kita beri arahan setiap hari. Bukan tidak perlu pantau lagi selepas itu cuma cukuplah sekali sekali. Pembantu atau pekerja pun reti hendak rasa “rimas”. Kalau majikan asyik beri arahan, bila masa pembantu boleh buat kerja, sebab asyik kena dengar.
Walaupun kita jadi “boss”, kita jangan seolah-olah berhati kering. Hanya tahu hendak marah dan beri arahan saja. Cubalah letakkan diri sebagai pekerja atau pembantu. Apa rasa jadi orang yang kena arah. Majikan perlulah selalu guna perkataan “minta tolong” bukan ayat arahan. Barulah pembantu akan melakukan kerja dengan rela hati dan bersungguh sungguh. Yang untungnya majikan juga, sebab dapat hasil kerja yang terbaik. Majikan juga kena dengar luahan hati pekerja atau pembantu kerana mereka juga pasti ada rasa tidak puas hati. Walaupun “jawatan” mereka pekerja atau pembantu, ingatlah bahawa mereka juga ada hati dan perasaan. Layanlah mereka dengan rasa perikemanusiaan.

Bila tidak ada pembantu atau pekerja, majikan tidak sabar-sabar untuk ada pembantu. Bila sudah ada pekerja, majikan harus memberi keyakinan kepada mereka. Berilah mereka peluang dan masa untuk menyelesaikan sesuatu perkara. Kalau “bos” atau majikan tidak yakin dengan kemampuan pekerja atau pembantunya, maka tidak selesailah masalah, sebab anda (majikan) yakin dengan seseorang itulah, maka anda (majikan) ambil dia bekerja, bukan?

Jadilah majikan yang disayangi. Ada beberapa kategori majikan. Yang pertama jika ketiadaannya akan dirindui oleh pekerja, Yang kedua jika ada ok tiada pun ok. Yang ketiga jika tiada, maka orang meraikannya. Jadi kita kategori yang mana?  Pembantu atau pekerja bukan hamba, mereka juga manusia biasa seperti kita, walaupun gaji mereka kita yang bayar.  Kedua-dua pihak kena sedar diri dan saling bersyukur. Untuk majikan jika dapat pembantu yang baik jangan kerah sebagai hamba, atau mengarah ikut suka. Untuk pembantu pula, jika dapat majikan yang ok , kena banyak-banyak bersyukur. Allah melihat cara bagaimana kita melayan sesama manusia. Belajar berpuas hati, meski tidak cukup. Belajar memahami, walau tidak sehati. Belajar ikhlas, meski belum rela.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 2 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment