Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Kekuatan Umat Seteguh Subuh

“Ya Allah berikanlah cahaya pada hati, lisan, telinga dan mata hamba. Jadikanlah cahaya dari belakang, depan dan di bawah hamba, dan sebelah kanan dan kiri hamba berikanlah cahaya. Ya Allah berikanlah kepada hamba cahaya,” doa rutin Rasullullah SAW ketika hendak keluar melaksanakan solat subuh seperti yang telah diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas r.a.

Permintaan indah yang cukup hebat dari seorang hamba Allah yang hebat kepada Penciptanya Yang Maha Hebat ini saya jadikan sebagai mukadimah intipati perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm pada pagi Rabu yang lalu.

Maha Suci Allah yang telah menjadikan keindahan subuh bukan sekadar pada cantiknya suasana, lembutnya udara tetapi juga pada kekuatan roh yang tiada tandingannya. Tatkala kita masih dalam semangat jihad memboikot hasil tangan dan fikir zionis, kita masih canggung memboikot kelakuan dan cara hidup mereka yang tumbuh mendarah daging. Hidonisme, hasad dengki, degil, zalim dan segala macam perbuatan mazmumah bersarang dalam diri. Apakah natijah yang bakal terhasil, jika kita masih lemah pada ketika musuh sudah lemah; mampukah kita mengatasi mereka yang lumpuh tidak berdaya dalam keadaan kita tiada tenaga? Inilah masa yang terbaik untuk kita bina kekuatan, menjana tenaga bagi menegak kebenaran.


Rasullullah SAW bersabda mafhumnya, “Sebaik-baik manusia adalah orang-orang yang hidup pada zamanku (generasiku) kemudian orang-orang setelah mereka kemudian orang-orang setelah mereka.”. Tahukah kita antara kualiti yang dimiliki manusia pada waktu itu? Salah satu cirinya adalah mereka sangat mementingkan waktu subuh dan solat subuh. Mereka faham besarnya ganjaran yang bakal Allah berikan pada hari kiamat buat mereka yang mengutamakan waktu dan solat subuh sepertimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya, Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan ke masjid-masjid di waktu gelap bahawa dia akan mendapat cahaya yang sempurna di Akhirat kelak.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Secara jelas menerusi hadis ini, mereka yang berjihad bagi menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid bakal memperoleh ganjaran dari Allah berupa ‘cahaya’ sempurna yang pasti didambakan oleh semua terutama dalam melalui ujian padang mahsyar yang penuh huru-hara. Cahaya itu juga hadir di dunia; hadir pada mereka yang hatinya terpaut kepada masjid.  Di zaman kemungkaran bermaharajalela, maksiat mendominasi dan amanah dipegang oleh mereka yang tiada hak atasnya, kita bukan sekadar keliru malah ‘buta’ pada kebenaran sebenar disebabkan kemungkaran yang sudah menjadi seakan budaya dan cara hidup. Kegelapan sebenilah yang memerlukan cahaya sebagai penunjuk jalan, walaupun jahiliyah kedua sedang berleluasa, namun melalui cahaya yang dikurniakan, dengan Izin Allah dapat kita  membezakan yang hak dan yang batil serta tahu tindakan yang dapat menyelamatkan diri dari terjerumus ke jurang maksiat dan dosa. Itulah antara kehebatan subuh yang memberikan cahaya kepada hati kita di dunia dan akhirat.

Selain itu, solat subuh juga boleh menjadi penanda aras kepada kecemerlangan umat. Telah bersabda Rasulullah SAW, “Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik adalah solat Isya dan solat subuh” (Hadis riwayat Ahmad). Dalam satu kisah yang sangat masyhur ketika pemerintahan Saidina Umar al-Khattab r.a sebagai khalifah, pada suatu hari Saidina Umar al-Khattab r.a telah mendapati Sulaiman bin Abi Hathmah tidak hadir untuk menunaikan solat subuh berjemaah. Pada pagi itu juga beliau menyongsong ke rumah sahabatnya itu lalu bertanya kepada ibunya al-Shifa’, “Saya tidak melihat Sulaiman semasa solat subuh?”.  Lalu al-Shifa’ menjawab, “Dia solat malam lalu tertidur pada pagi harinya.” Kemudian Saidina Umar berkata “Sungguh, berjemaah dalam solat subuh itu lebih baik bagi ku daripada solat malam.”

Begitu teguhnya iman pada zaman itu, sehinggakan ucapan takziah akan diberikan kepada sahabat yang tidak bersolat subuh.

Dr Raghib As-Sirjani dalam bukunya Misteri Solat Subuh menulis tentang seorang penguasa Yahudi berkata, “Kami takut kalau bilangan umat Islam melaksanakan solat subuh berjamaah menyamai atau melebihi umat islam melaksanakan solat Jumaat.” Inilah sebaik-baik demonstrasi untuk menunjukkan kebencian terhadap zionis dengan bangun solat Subuh berjamaah. Inilah peperangan sebenar kita, bukan mudah untuk bangun dari tidur, bersuci dan kemudian bergerak menuju ke masjid bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah.  Bayangkan, seseorang terpaksa berperang dengan gejolak nafsu dan godaan syaitan sejak awal-awal lagi bagi mematuhi perintah Allah.  Peperangan dalam diri itu diperjelaskan oleh Junjungan Mulia melalui hadis yang mafhumnya, “Syaitan melilit seorang antara kalian dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan: ‘Nikmatilah malam yang panjang ini.’  Apabila dia bangun lalu mengingati Allah,  maka terlepaslah lilitan itu.  Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua.  Kemudian apabila ia solat, lepaslah lilitan ketiga, sehingga dia menjadi bersemangat.  Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa lembap dan malas.” (Hadis riwayat al-Bukahri dan Muslim)

Waktu subuh juga adalah waktu yang melimpah ruah kebaikannya. Mari kita ambil iktibar kegemilangan zaman yang paling berjaya iaitu zaman Rasullullah SAW. Rasulullah s.a.w. sangat mengutamakan keberkatan pada waktu Subuh.  Baginda telah berdoa, mafhumnya, “Ya Allah berkati umatku pada waktu pagi.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Rasulullah SAW memilih waktu awal pagi untuk menghantar utusan dakwahnya. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada al-Nu’man bin Muqarrin bahawa Rasulullah SAW akan menunggu matahari terbit sebelum memulakan pertempuran.  Beliau menjelaskan, “Aku turut bertempur bersama Rasulullah SAW.  Ketika fajar menyingsing, Baginda menahan tenteranya sehingga terbit matahari.  Saat matahari terbit, Baginda mengarahkan untuk bertempur.”

Dengan keberkatan waktu Subuh dan doa yang dipanjatkan selepas solat Subuh, itulah dua ‘tiupan kemenangan’ yang membina keyakinan tentera Islam apabila berdepan dengan musuh-musuhnya.  Menerusi perang Badar, Anas bin Malik meriwayatkan, “Pada waktu perang Badar, Rasulullah SAW solat Subuh pada awal fajar,  kedudukan Baginda pada saat itu sangat hampir dengan musuh. Sejurus Subuh, Baginda memerangi mereka.” (Hadis Riwayat al-Nasa’i).
Justeru, Allah telah bersumpah dengan kuda-kuda yang digunakan dalam jihad di jalan Allah pada waktu Subuh.  Allah berfirman mafhumnya, “Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah, dan kuda yang mencetuskan api dengan pukulan kuku kakinya dan kuda yang menyerang dengan tiba-tiba pada waktu subuh.” (Surah al-‘Adiyat ayat 1-3).
Ironinya, orang bukan Islam banyak memanfaatkan waktu awal pagi yang sangat optimum ini.  Seperti yang dinukilkan oleh Dr Raghib al-Sirjani menerusi pemerhatiannya di Amerika. Sewaktu pergi dan pulang dari masjid setelah solat Subuh, orang Kristian, Yahudi dan Ateis; mereka bangun pagi untuk kehidupan dunia, bersamaan waktu solat subuh.  Hajat kemanusiaan mampu mendorong mereka untuk bangun pagi.  Namun mengapa seorang Mukmin tidak mahu mengerah segenap potensinya untuk menyamai mereka bangun pada waktu pagi? Berbeza ketika bermusafir negara umat Islam di Timur Tengah, kehidupan beku dan kaku seusai solat Subuh., segala aktiviti masih belum bermula sebaik sahaja selepas waktu Subuh.  Ini realiti yang sangat menyedihkan.  Di negara kita juga keadaan yang sama boleh dilihat.  Jumlah umat Islam yang bergerak menuju ke masjid untuk solat Subuh berjemaah sangat sedikit berbanding jumlah orang bukan Islam yang bangun awal dan berpusu-pusu untuk berjoging, bersenam dan membawa anjing mereka berjalan-jalan pada awal pagi. Bayangkan, kerana cinta akan anjing, mendorong pemiliknya untuk bangun pagi, sedangkan cinta akan Allah tidak mendorong hambaNya untuk bangun pagi.

Realitinya, umat Islam kini semakin lupa tentang apa yang pernah dikatakan oleh Saidina Umar al-Khatab, “Hakikatnya kita tentera Islam dimenangkan Allah kerena dosa-dosa yang dilakukan oleh tentera kafir, tetapi sekiranya kita turut berdosa sama dengan mereka, di manakah kekuatan kita?

Inilah masa terbaik untuk kita yakin dengan kehebatan waktu subuh, yang padanya cahaya matahari belum bersinar tetapi cahaya hidayah Allah telah memancar. Teruslah menjadi Pejuang Subuh dan Raihlah kemenangan dariNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 20 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment