Dari Abu Darda RA bahwa Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: Mahukah
kamu akan aku khabarkan akan suatu amal kebajikan yang paling baik bagi
kamu, paling meningkatkan kedudukan kamu, paling disenangi oleh
TuhanMu, bahkan lebih baik dari menafkahkan emas dan perak dan lebih
mulia daripada perang dengan musuh-musuh kamu, baik ketika kamu kalah
atau ketika kamu menang? Jawab mereka: Mahu, wahai Rasulullah. Sabda
beliau (mafhumnya): Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya.(HR, Muslim,Tirmidzi,Ibnu Majah.)
Menurut penceramah terkenal Ustaz
Shahrizan bin Daud at-Turabi melalui rancangan Tarbiah yang bersiaran
setiap Jumaat jam 10.15 pagi, Zikirullah yang dilafazkan melalui lisan
iaitu Subahanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar merupakan amalan yang
akan membawa kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Bagaimanapun melalui rancangan Tarbiah
yang mengupas tentang Lihat, Fikir dan Zikir, Ustaz Shahrizan mengajak
para pembaca untuk mengubah dimensi kita berzikir agar kelaziman kita
berzikir melalui lidah, akan memberi lebih penghayatan apabila kita juga
berzikir melalui penglihatan.
Apa yang dimaksudkan berzikir melalui
penglihatan? Zikir melalui penglihatan adalah di saat kita melihat apa
sahaja ciptaan Allah swt di bumi ini akan menghadirkan kita akan
kebesaranNya dan membawa kita untuk menyeru kekuasaan dan memuji
indahnya ciptaan Allah.
Melihat alam dari pandangan mata kasar
tidak akan membawa hati kita untuk dekat dengan Allah melainkan setiap
satu ciptaan Allah dilihat dengan pandangan mata hati yang benar-benar
tulus ikhlas kerana anugerah ciptaan Allah ini amat luar biasa dan tidak
mampu dihitung oleh manusia.
Barangkali sebelum ini kita hanya
sekadar melihat alam ini tanpa menghayati hikmah penciptaannya sehingga
kita jarang merasai nikmat kurniaan Allah dan jauh sekali untuk
melafazkan rasa syukur dan berzikir ke atasnya. Namun dengan kesedaran
yang hadir melalui penghayatan kita terhadap ciptaan Allah ini membuat
kita lebih menghargai anugerah Allah yang sekian banyak nikmatnya kepada
kita.
Sebagaimana disebut melalui Surah al-Ghathiyyah ayat 17 hingga 20 yang bermaksud “Apakah mereka tidak memandang unta, bagaimana telah dijadikan. Dan kepada langit, bagaimana dia telah diangkat. Dan kepada gunung-gunung, bagaimana dia telah dipancangkan. Dan kepada bumi, bagaimana dia telah dihamparkan”.
Melalui surah al-Ghathiyyah, Allah
menukilkan penciptaan binatang seperti unta yang mempunyai kelebihan dan
setiap ciptaan Allah itu amat unik dan luar biasa. Jika kita
merenungnya secara mendalam kita akan merasa amat terkesima kerana
agungnya kuasa Allah mencipta binatang seperti unta yang kisahnya
dinukilkan di dalam al-Quran.
Zikir melalui mata mengajak kita semua
untuk terus menghayati ciptaan Allah agar kita terus menjadi manusia
yang sentiasa redha dan taat kepada perintahNya. Malahan menyebut dan
memuji Allah di saat kita merada dalam kesulitan boleh meleraikan
kekusutan sebagaimana disebut di dalam ayat suci al-Quran menerusi surah
Ra’dul ayat 28 yang bermaksud “Hanya dengan mengingati Allah sahaja
hati menjadi tenteram”. Kerana sifat Allah yang Maha pemurah dan
memiliki segala kehebatan umpama senjata bagi mengubat hati-hati manusia
dan tidak tenteram.
Malahan, amalan zikir itu sendiri bukan
hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh
membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada
penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai makrifat
terhadapNya. Zikir mendidik hati manusia untuk selalu mencari kebaikan
kerana mengingati Allah akan menutup pintu-pintu syaitan yang selalu
mendorong manusia berbuat maksiat dan kejahatan.
Hakikatnya Setiap kejadian yang Allah
ciptakan di muka bumi ini adalah untuk kita berfikir dan mengambil
iktibar bahawa betapa kerdilnya kita di sisiNya. Oleh itu sebagai hamba
yang mencari redha Allah, wajib bagi kita untuk bertindak dan mengambil
pendekatan yang membolehkan diri kita berada selalu denganNya.
Berzikir melalui pandangan hati yang
tajam menjadikan satu bentuk hiburan kepada hati yang sedang resah.
Apabila kita memuji nama-nama Allah akan mendatangkan kebahagiaan kepada
hati, kerana perbuatan itu tidak lain mendatangkan kemuliaan kepada
diri sendiri.
“Dari Abu Sa’id al-Khudzri RA,
Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah sekelompok orang duduk dan berzikir
kepada Allah, melainkan mereka akan dikelilingi para malaikat,
mendapatkan limpahan rahmat, diberikan ketenangan hati, dan Allah pun
akan memuji mereka pada orang yang ada di dekat-Nya.” (HR. Muslim)
Makhluk yang paling mulia dan bertakwa
kepada Allah adalah insan yang lisannya selalu basah dengan zikirullah.
Ini kerana, orang-orang yang dekat dengan zikrullah melalui lisan dan
merasa kekuasaan Allah melalui penciptaan alam ini adalah orang yang
sangat untung. Hatinya selalu tunduk dengan perintah Allah dan merasa
takut terhadap kemungkaran yang berlaku. Inilah yang disebut sebagai
hati-hati yang ditatang oleh Allah apabila kita memelihara Allah.
Bagaimana untuk kita benar-benar fokus
dan menghayati dengan apa yang kita lihat adalah dengan memilih
persekitaran yang baik supaya kita dapat lebih penghayatan terhadap
sesuatu keadaan. Sebagaimana yang dianjurkan dan diamalkan oleh Nabi
Muhammad SAW adalah berzikir dan bermunajat pada waktu sepertiga malam.
Amalan pada waktu ini dalam keadaan sunyi dan tenang memberi ruang
kepada diri kita untuk benar-benar menikmati amalan zikrullah dan ibadah
yang lain.
Rasulullah SAW juga pernah menggambarkan
perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup,
sementara orang yang tidak berzikir kepada Allah sebagai orang yang
mati. Sebagaimana hadis yang bermaksud “Perumpamaan orang yang berzikir
kepada Allah dan orang yang tidak berzikir, adalah seumpama orang yang
hidup dan mati.” (HR. Bukhari).
Bahkan dalam riwayat lain, Rasulullah
SAW juga mengumpamakannya dengan rumah. Rumah orang yang berzikir kepada
Allah adalah rumah manusia hidup, dan rumah orang yang tidak berzikir
adalah seperti rumah orang mati. Justeru bagi menghidupkan hati-hati
kita agar tidak mati atau mudah rapuh dek dugaan dan ujian hidup, mari
kita perbanyakkan berzikir dan mengingati Allah SWT.
Seorang mukmin yang sentiasa mengajak orang lain untuk kembali kepada Allah, akan selalu menghidupkan dirinya dan orang lain dengan memuji dan menyebut nama Allah, kerana pada hakikatnya dengan zikrullah akan menghidupkan hati mereka yang jauh dariNya.
Oleh itu, pandanglah dunia ini dengan
renungan mata hati agar kita selalu dapat memaknakan hidup ini dengan
perkara-perkara yang mendekatkan diri kita denganNya dan seterusnya
mendapat redha Allah dunia dan akhirat.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 November 2014
No comments:
Post a Comment