Sunday 2 November 2014

Usrati: Hitam Putih Kehidupan

 Saya teruja untuk berkongsi lagi menerusi kupasan segmen Usrati yang ke udara setiap Khamis jam 5.15pm bersama Uustazah Nor Hafizah binti Musa kerana kali ini ada lagi pengisian menarik untuk di kongikan bagi manfaat bersama. Hitam putih itulah tajuk bicaranya. Ayuh kita telusuri apa yang dimaksudkan dengan tajuk tersebut.

Hari-hari kita melalui hidup ini. Setiap hari yang kita lalui episodnya pasti tidak sama. Mari kita buat imbasan sedikit tentang hari-hari dalam kehidupan ini. Ada dua zon dalam hidup ini iaitu zon gelap dan zon cahaya. Kita ini melangkah menuju cahaya atau kegelapan? Mari kita kenali simpton-simpton orang yang duduk dalam gelap, ada tujuh semuanya iaitu yang pertama orang yang tidak pernah yakin. Kita memang tidak betah atau tidak tahan untuk duduk dalam gelap bukan? Kalaulah rumah kita terputus bekalan elektrik walaupun hanya baru seminit, saya yakin satu taman perumahan atau satu kampung tersebut akan terus telefon pihak yang menguruskan bekalan elektrik, iaitu TNB.

Kita juga acap kali mengalami kelam kabut dalam seharian, bukan. Kadang-kadang kita terlalu risau untuk mendepani hari, sekalipun untuk hal-hal yang kecil. Mudah dan cepat sangat risau itu dan ini. Risau tidak bertempat. Memang penat melalui kehidupan yang selalu dirundung rasa keluh kesah.

Hidup ini ibarat kita menaiki kapal. Ada masa belayar kita dengan tenang, ada masa bergoyang-goyang di lambung ombak. Maka disaat itu kita kena tenang untuk mencari kembali laluan yang hendak kita ikut. Bagi orang yang berada dalam zon gelap atau samar-samar, dia pasti tidak ada arah panduan. Jadi kalau tidak ada panduan, cari segera ya. Biar lambat dari tidak memulakan langsung.

Orang yang tidak yakin tentu langkahnya penuh kebimbangan. Ibaratnya jika seseorang hendak berjalan, dia risau “eh… eh… ada longkang kat depan”, “eh… eh… entah-entah ada tiang kat depan”. Orang yang begini memang payah utuk maju ke depan. Pergerakan atau cara bertindaknya selalu saja lambat. Terlalu bimbang pun susah juga. Jika kita yakin dengan sesuatu, ibaratnya kita telah melakukannya atau telah berjaya separuh jalan. Jadi sentiasalah memupuk keyakinan.

Jadilah seperti mata helang, yang boleh melihat view dengan luas. Orang yang hidupnya gelap mempunyai pandangan yang sangat singkat. Pandangannya tidak pernah jauh. Kita semua tidak sama, saya akui itu. Cara setiap dari kita melihat dan menilai sesuatu tidak sama walaupun melihat benda yang sama. Ini disebabkan ilmu dan pengalaman yang berbeza antara kita. Maka framing tentang hidup antara seorang dengan seorang juga akan berbeza. Kita tidak macam semua orang dan semua orang tidak macam kita. Raikan perbezaan sesama kita, di samping dalam masa yang sama kita perbaikan kekurangn yang kita ada.

Antara lain tanda-tanda orang yang duduk dalam zon gelap ialah dia tidak boleh menilai atau tidak reti untuk membezakan. Semua yang dilihat adalah sama. Tidak boleh untuk membezakan antara cahaya dan kegelapan. Padahal amat jelas sekali bila ada cahaya kita akan terang, bila gelap kita akan kelam. Amat berbeza sekali jika berada dalam terang dan gelap.

Golongan ini juga tidak peka dan mudah menyakitkan. Contohnya jika kita berjalan dalam gelap, kita akan mudah menyakitkan orang lain seperti melanggar atau terpijak orang. Maka perlunya cahaya supaya kita boleh peka. Memang tidak ada keluarga yang sempurna. Memang tidak ada hidup yang sempurna. Saya berikan satu kata-kata semangat untuk kita bersama, “orang-orang yang paling bahagia tidak pernah selalu memiliki hal-hal yang terbaik mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap hal yang hadir dalam hidupnya”. Jadilah jangan mudah merasa tidak best dengan diri, dengan kehidupan anda.
Nabi SAW ada mengajarkan kita doa mohon cahaya yang bermaksud, “ Aku mohon hati yang bercahaya, pandangan yang bercahaya, kurniakan pada pendengaranku juga cahaya, suluhkan kiri dan kananku  cahaya, juga dari atas dan bawah cahaya, pada wajahku juga bercahaya. Jadikan cahaya dengan sesempurna cahaya”. Semuanya cahaya, cahaya, cahaya. Jadi banyak manakah cahaya yang sudah kita dapat?

Ibarat sebuah lampu, yang meneranginya ialah kerana ada mentol didalamnya. Mentol itu adalah hati. Jika hati kita gelap tidak ada cahaya, maka suram dan malaplah hidup kita. Jika mentol  itu rosak, cepat-cepat tukarkan dengan yang baru. Jika hati gelap, terangkan dengan pengetahuan dan ilmu. Eksplorasilah kehidupan yang luas ini dengan cara yang betul. Semua orang kena yakin boleh.

Jadi selak-selaklah hidup kita, apa lagi yang perlu kita lakukan. Hidup ini luas potensinya. Jangan diri sendiri menjadi halangan untuk kita memula dan meneruskan langkah. Andai ada ketika kita terhenti dek kerana halangan-halangan, jangan terhenti terus, mulakan balik. Kalau kita sudah boleh berjalan, cuba berjalan dengan laju, sampai kita mampu terbang. Ibaratnya begitu. Itulah semangat yang harus ada dalam diri kita. Hitam putih hidup, sendiri yang tentukan. Atasilah segala hal dengan kesabaran dan keimanan. Sungguh hidup ini ada pelbagai warna dan corak (dugaan), nama pun hidup. Jadi usah gusar melaluinya, sebab Allah kan  ada.

Setiap insan lahir ke dunia bersama dengan takdir masing-masing, iye itu betul, tapi Allah suruh kita berusaha, bukan sikit-sikit menyerah atau serender. Kita yang kena ubah nasib kita. Itulah seruan Allah Taala. Kita mungkin ada banyak orang-orang yang kita sayang malah begitu istimewa kita tempatkan dia dalam hati kita, bukan tapi DIA yang Maha Sempurna. Moga hidup kita sentiasa dilimpahi kasih sayang dari Allah Taala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 18 September 2014

No comments:

Post a Comment