Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Muhasabah Diri Melalui Cermin

Penciptaan Cermin adalah ilham daripada Allah Swt kepada manusia untuk melihat pantulan diri seseorang. Perbuatan mencermin diri bukanlah sekadar bagi menilai kekemasan, kebersihan, mahupun kecantikan yang ada pada diri kita tetapi juga bagi melihat siapakah diri kita yang sebenarnya. Bilakah kali terakhir kita membuat proses penyemakan semula diri kita?  Cermin diri menurut Islam, bukan sahaja secara zahir atau fizikal tetapi juga bagi melakukan muhasabah atau menghisab diri. Cermin digunakan untuk melihat menerusi pandangan hati dan keimanan kita dengan penuh kejujuran, tulus dan keikhlasan.

Mengenal diri atau muhasabah diri meliputi kelebihan, kekuatan, potensi, kekurangan, kelemahan, keaiban dan apa jua perkara berkaitan diri kita. Muhasabah adalah amalan mulia para Nabi dan Rasulullah serta para insan yang bijak sana.
Rasulullah saw juga melihat cermin. Satu Sunnah apabila melihat cermin adalah dengan niat beserta doa yg diajar oleh Rasulullah saw iaitu; “Allahumma kama hassanta khalqi, fa hassin khuluqi.” (Ya Allah sebagaimana Engkau telah mencantikkan kejadianku (rupaku), maka cantikkanlah juga akhlakku).  [Hadith Ahmad dan Ibnu Hibban]
Perkongsian menerusi Segmen Pesona D’Zahra minggu lalu oleh Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin menyentuh tentang tajuk “Jawapan Kepada Cermin”. Beliau menyatakan dua perkara yang perlu diketahui seseorang itu apabila melihat cermin adalah:
  1. Melihat apakah keburukan yang ada pada diri kita.
  2. Kecantikan yang ada untuk dikekalkan.
Menjelaskan dua perkara tersebut, Ustaz Muhammad menyarankan pendengar dan pembaca untuk mengetahui bagaimana “melihat” cermin dengan cara yang betul. Apabila menjatuhkan pandangan ke arah cermin, Renunglah  kedalam diri, apakah yang kita pandang bila meneliti diri kita. Melihat diri dari sudut zahir adalah penting bagi menjaga ketrampilan diri dengan cara memeriksa adakah pemakaian kita menurut syariat Islam, hiasan yang sederhana dan selesa dan senang di pandangan orang lain. Kecantikan wajah dan tubuh badan itu adalah subjektif pada seseorang dan ianya merupakan kurniaan Allah SWT yang maha bijaksana lagi Maha sempurna. Ianya bagaimanapun tidak kekal dan berubah mengikut masa dan umur.

Sesungguhnya rupa yang Allah kurniakan buat seseorang hambaNya adalah yang terbaik kerana Allah itu Maha Bijaksana yang menciptakan manusia itu dengan penuh kesempurnaan. Bersyukurlah dengan apa jua yang dianugerahkan oleh Yang Maha Sempurna. Bukan rupa paras yang menjadi nilaian Allah swt tetapi hati yang ikhlas dan suci dan taqwa itulah yang dilihat dan dinilai.  Sebagaimana Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (di dalam hadith riwayat Imam Muslim daripada Abi Hurairah Radhiallahu ‘anhu):
Sesungguhnya Allah tidak melihat (menilai) kepada tubuh badan kamu, juga tidak kepada rupa paras kamu tetapi Allah melihat (menilai) kepada hati kamu.
Syukur pula dizahirkan dengan menggunakan nikmat kurniaan Allah, bagi tujuan ketaatan kepada Allah s.w.t. dan berwaspada dari menggunakan anggota badan bagi tujuan kemaksiatan kepada-Nya.  Justeru apabila kita melihat diri didalam cermin berpadalah dengan menilai ketrampilan menurut seperti yang disebutkan tadi.

Apa yang lebih penting apabila merenung didalam cermin adalah apakah wajah dan ketrampilan yang cantik itu diiringi dengan akhlaq yang baik, hati yang bersih dan amal yang bermanfaat. Elakkan hanya mencari keburukan atau kecacatan zahir tetapi belajarlah untuk mendidik diri menilai kelemahan yang ada pada diri dan berusaha untuk memperbaiki dan berubah.

Antara kelemahan yang perlu diberi perhatian dalam diri seseorang adalah mungkinkah hati  terlepas dari sifat suka bersangka buruk, dengki dan iri hati, tamak, bercakap perkara sia-sia dan mencari apa yang masih belum sempurna sebagai seorang muslim yang baik.

Renunglah adakah sifat kita, akhlaq kita menunjukkan sifat-sifat positif dan baik yang boleh menjadi contoh kepada orang lain. Seperti sentiasa bermanis muka bila dipandang orang, menjaga syariat, ikhlas dalam perbuatan, bercakap hanya yang membawa kebaikan dan berfaedah, bersabar menghadapi ujian dan semua sifat yang membawa kepada cinta Allah.
Selain berusaha memperbaiki diri, apabila melihat cermin, mohonlah moga Allah swt mengekalkan keindahan ciptaan Allah dan kebaikan yang ada pada diri kita. Menurut Ustaz Muhammad, elakkan  sifat “perasan” atau merasai diri lebih bagus daripada orang lain dan sombong dengan keindahan dan kecantikan yang ada. Riak itu adalah syirik kecil yang perlu sentiasa diawasi dalam diri.

Seseorang insan itu perlu sentiasa sedar bahawasnya setiap kebaikan yang ada pada diri kita hanyalah kerana Allah swt memberi hidayah dan rahmat buat kita dan kita perlu sentiasa berusaha untuk mengekalkan kebaikan yang ada. Yang penting adalah bukan semata-mata bagaimana sifat kita hari ini tetapi adakah kita akan berjaya mengekalkannya hingga akhir hayat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 11 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment