Sunday 2 November 2014

'Ibrah: Kebenaran Dakwah Menatijahkan Kejayaan

PEMERGIAN Nabi Musa a.s. dan abangnya Nabi Haron a.s ke istana Firaun merupakan kisah perintah Allah yang wajar diteladani. Nabi Musa diutus sebagai Rasul untuk menyeru Firaun agar kembali kepada Allah sebagai penciptanya dan nenek moyangnya. Seruan Nabi Musa a.s. agar Firaun mentaati perintah Allah tidak dihiraukan lantas kebongkakkan dan sombong dirinya ditunjukkan sehingga menganggap Nabi Musa telah gila. Ini disandarkan oleh Allah melalui ayat al-Quran, Surah as-Syuaara’ ayat 27 yang bermaksud, “Firaun berkata, sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu benar-benar gila.”

Kebenaran dakwah Nabi Musa a.s. dijelaskan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman pada kali ini dengan memperincikan mukjizat sebenar Nabi Musa a.s. yang tidak ditunjukkan pada awal sewaktu Nabi Musa masuk ke dalam istana Firaun. Namun, setelah berkali-kali Nabi Musa menyeru kepada Firaun agar kembali kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa, Firaun tetap berdegil. Lalu, Nabi Musa menggunakan mukjizatnya sebagai bukti bahawa kehadirannya adalah atas perintah Allah Taala.


Firman Allah Taala dalam Surah as-Syuaara’ ayat 29 dan 31 yang bermaksud, “Firaun berkata, sungguh jika engkau menyembah Tuhan selain aku, pasti aku masukkan engkau ke dalam penjara. Musa berkata, apakah engkau akan melakukan perkara itu (memenjarakan) sekalipun aku tunjukkan kepadamu sesuatu bukti yang nyata? Firaun berkata, tunjukkan sesuatu bukti yang nyata itu, jika engkau termasuk orang yang benar!”

Mendengar hal tersebut, seolah-seolah Firaun telah mencabar kebenaran yang telah ditunjukkan oleh Nabi Musa a.s. terhadap perintah Allah, lalu Nabi Musa melemparkan tongkatnya di hadapan Firaun.

Allah menjelaskan lagi, “Maka dia (Nabi Musa) melemparkan tongkatnya, tiba-tiba tongkat itu menjadi ular besar yang sebenarnya. Dan (Nabi Musa) mengeluarkan tangannya (dari dalam bajunya), tiba-tiba tangan itu (ketiaknya) menjadi putih bercahaya bagi orang-orang yang melihatnya.” Kebenaran Nabi Musa untuk menunjukkan mukjizatnya menjadikan Firaun berasa cemas. Apa yang dilihat oleh Firaun di hadapan mata hanyalah ular-ular yang besar.

Setelah Firaun dipersaksikan oleh Nabi Musa dengan ular yang besar di hadapannya itu, maka dengan tegas Firaun telah menghina Baginda lalu menyatakan bahawa Nabi Musa sebenarnya adalah tukar sihir yang profesional.

Penyaksian para menteri dan pegawai di dalam istana menjadi bertambah bingung kerana Firaun telah melakukan dua pertuduhan yang saling tidak lengkap pada pandangan akal. Pertama, Firaun menuduh Nabi Musa a.s. seorang yang gila. Kedua, Firaun menuduh Nabi Musa a.s. seorang tukar sihir yang profesional. Oleh yang demikian, para menteri dan pegawai istana jadi hairan, bagaimana orang gila boleh menjadi seorang tukang sihir. Akhirnya, kebenaran Nabi Musa a.s. terserlah apabila pegawai dan menteri di istana Firaun hanya dapat melihat segala helah Firaun.

Lalu, Firaun pun bertanya kepada pegawai-pegawainya, apakah kewajaran untuk dilakukan terhadap Nabi Musa itu. Pegawai istana telah mencadangkan kepada Firaun agar Nabi Musa a.s dan abangnya Nabi Haron tidak ditahan dan dipenjarakan tetapi mempertaruhkan tukang-tukang sihir untuk menunjukkan kehebatannya sebagai membalas akan senda yang ditunjukkan Nabi Musa itu.

Firaun pun telah bersetuju untuk menunjukkan tipu helahnya kepada Nabi Musa dengan mempertaruhkan pertemuan tukang sihir Firaun dengan Nabi Musa agar dapat mempersaksikan kepada orang ramai tentang kehebatan tongkat Nabi Musa itu dapat ditewaskan dengan para penyihir Firaun.

Allah Taala menjelaskan bahawa, “Lalu dikumpulkan para penyihir pada waktu yang ditetapkan pada hari yang telah ditentukan.”

Pada hari yang telah ditetapkan, maka berkumpullah kedua-dua pihak iaitu penyihir dari Firaun yang ingin menunjukkan sihirnya kepada Nabi Musa a.s. Walaubagaimanapun, sebelum pertunjukkan itu berlaku, penyihir-penyihir dari Firaun bertanya tentang imbuhan yang akan diperoleh jika mereka memenanginya. Walaupun demikian, bukanlah tukang sihir itu bersungguh-sungguh mahu menunjukkan kehebatannya tetapi lebih utama imbuhan yang akan diterima oleh mereka.

Perihal ini dijelaskan oleh Allah Taala menerusi firmannya dalam Surah as-Syuaara’ ayat 41 dan 42, “Maka ketika para penyihir datang, mereka berkata kepada Firaun, apakah kami benar-benar akan mendapat imbuhan yang besar jika kami yang menang? Firaun menjawab, ya dan bahkan kamu pasti akan mendapat kedudukan yang dekat kepadamu.”

Mendengar penjelasan tersebut, Nabi Musa pun berkata kepada mereka agar dilemparkan apa yang hendak mereka lemparkan itu. Pada waktu itu, para tukang sihir pun melemparkan tali-temali dan tongkat-tongkat mereka bagi menunjukkan sihir mereka itu. Setelah itu, tongkat ahli sihir itu bertukar menjadi ular-ular kecil sehingga Nabi Musa berasa gerun dan takut dalam hatinya. Walaubagaimanapun, Allah telah berfirman agar Nabi Musa a.s. tenang dan tidak gerun dengan tipu daya ahli sihir itu.

Perincian kisah ini diterjemahkan melalui penjelasan Allah Taala dalam Surah Taha ayat 68 hingga 69 yang meredakan hati Nabi Musa a.s. Allah berfirman, “Jangan takut! Sungguh engkaulah yang unggul (menang). Dan lemparkan apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka buat. Apa yang mereka buat itu hanyalah tipu daya penyihir. Dan tidak akan menang penyihir itu walau dari mana ia datang.”

Atas keimanan yang mendalam, Nabi Musa a.s. meletakkan penyerahannya kepada Allah tanpa menghiraukan apa yang berlaku pada waktu itu. Kemudian, Nabi Musa pun melemparkan tongkatnya itu dan tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi ular yang besar serta menelan sekali gus benda-benda palsu yang mereka ada-adakan itu (tukang sihir). Ular besar tersebut telah menelan semua termasuklah tali-tali kecil itu bagi menyaksikan mukjizat Nabi Musa itu.

Apabila perkara itu berlaku di hadapan tukang sihir, maka bersujudlah tukang sihir di hadapan Nabi Musa sambil berkata, “Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam.”

Mendengarkan hal tersebut, Firaun pun berkata sebagaimana firman Allah, “Mengapa kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu. Nanti kamu pasti akan tahu (akibat perbuatanmu), pasti akan kupotong tangan dan kakimu bersilang dan sugguh akan aku salib semuanya. Ahli-ahli tukang sihir pun berkata, “Tidak ada yang kami takutkan, kerana kami akan kembali kepada Tuhan kami.”

Peristiwa keimanan tukang sihir kepada Tuhan Nabi Musa a.s. dan ketundukkan yang tunjukkan untuk mentaati perintah Allah membuktikan hidayah itu adalah milik Allah. Hanya Tuhan Yang Maha Berkuasa mampu membuka hati mereka yang ingin mendapatkan hidayah Allah. Dakwah Nabi Musa kepada tukang sihir Firaun memperlihatkan kekuasaan Allah terhadap hambanya untuk menyeru kepada kebenaran. Kebenaran yang jelas menatijahkan kejayaan yang hakiki.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 1 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment