Sunday 2 November 2014

Pesona D'Zahra: Korban dengan Ikhlas

 Korban dengan Ikhlas
Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin

Rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al Amin bersiaran setiap isnin 10.15 pagi. Minggu lalu bicara Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm yang bersiaran setiap isnin 10.15 pagi menerangkan bahawa umat Nabi muhamad SAW dianugerahkan dengan dua hari perayaan, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidil Adha. Keduanya  merupakan hari raya yang disyariatkan di mana syiar merayakannya dan memaparkan kegembiraan pada hari tersebut kita akan diberikan ganjaran pahala. Jadi adalah sunat kita mempamerkan kegembiraan kita pada dua hari tersebut.

Menyambung perkongsian Pesona D’Zahra bagi siri kali ini dengan tajuk Indahnya Islam Dengan Ibadah Korban, Ustaz Muhamad terus berkongsi berkaitan kelebihan amalan ibadah korban yang dilaksanakan umat Islam ketika perayaan Hari Raya Aidil Adha.
 
Dijelaskan minggu lalu tentang Hikmah utama yang diperolehi menerusi ibadah korban adalah perintah agama dari Allah kepada manusia dan kebaikan perintah itu sebenarnya kembali pada manusia.  Melihat kepada ibadah korban yang dilaksanakan oleh orang Islam, Niat ibadah korban adalah untuk mempersembahkan hasil korban itu kepada Allah bagi mendapat keredhaanNya.


Walaupun melaksanakan perintah ibadah korban adalah persembahan kepada Allah SWT, namun, pengagihan hasil korban iaitu dagingnya adalah manfaat untuk manusia, begitulah indahnya Islam.

Mengisi bicara ibadah korban minggu ini, Ustaz Muhamad menelusuri sejarah korban itu sendiri. Mengimbau kronologi ibadah korban dalam Islam, ianya telah bermula sejak manusia diciptakan lagi. Sejak Nabi Adam dan Hawa dihidupkan di syurga dan akhirnya mereka diturunkan ke bumi.  Peristiwa korban pertama adalah Qabil dan Habil yang diperintahkan untuk mempersembahkan pengorbanan dari hasil ternakan dan tanaman mereka yang terbaik kepada Allah swt. Dan Allah swt telah memilih pengorbanan harta dari Habil. Kerana beliau telah menunjukkan keikhlasan dengan mempersembahkan korban yang terbaik dari harta miliknya.

Kemudian kita renungkan pengorbanan dan kesabaran Nabi Nuh a.s yang berdakwah selama lebih 950 tahun sedangkan yang mengikuti baginda hanya beberapa orang sahaja, bahkan ketika baginda membuat sebuah kapal laut yang cukup besar ditengah-tengah bukit, baginda telah dihina masyarakat ketika itu tetapi diteruskan sebagai memenuhi perintah Allah swt  sebagai persiapan menghadapi banjir yang tiba dengan besar beberapa lama selepas itu.

Seterusnya Nabi Ibrahim a.s, seorang Rasul buat kaum Ur di Iraq yang kemudiannya berpindah ke Palestin. Baginda berkahwin dengan Siti Sarah dan kemudiannya berkahwin pula dengan Siti Hajar. Baginda hanya dikurniakan anak pertamanya Nabi Ismail a.s pada usia 89 tahun. Menunggu sekian lama untuk mendapat zuriat, Allah swt mengetahui akan kelemahan Nabi Ibrahim yang tentunya amat mencintai anaknya.

Lalu Allah swt menguji baginda dengan perintah agar melaksanakan korban dengan apa yang amat disayanginya. Baginda diminta menyembelih anaknya dengan tangannya sendiri. Ketika melaksanakan perintah itu, baginda meletakkan pisau ke leher Nabi Ismail AS sambil memejamkan matanya, akibat tidak sanggup melihat keadaan itu, secara tiba-tiba Nabi Ismail AS  digantikan dengan seekor kambing. Justeru amat bersyukurlah baginda Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail atas rahmat Allah SWT itu. Mungkin kita tidak dapat merasai kegetiran perasaan yang dialami oleh Nabi Ibrahim ketika melalui peristiwa itu, tetapi cuba bayangkan jika kita yang berada ditempat baginda melalui perintah ujian yang sama. Namun, apa yang Allah swt mahu kita perolehi daripada sejarah pengorbanan itu adalah pengajaran dan kelebihannya.

Kelebihan korban yang pertama dilihat dengan Allah SWT akan menguji seseorang hambaNya pada kelemahan yang ada pada dirinya seperti sifat panas baran, boros, cinta berlebihan terhadap dunia dan lain-lain. Ia bagi melihat sejauhmana cinta hambaNya pada sesuatu perkara duniawi itu berbanding cintanya kepada Allah dan agama Islam itu. Ia akan diuji berkali-kali melalui tarbiah yang harus kita muhasabah daripada ujian itu. Daripada hasil ujian itulah dapat dilihat akan kecenderungan hati dan ganjaran atau balasan yang akan dikurniakan pada hambaNya di akhirat nanti. Ia juga akan menjadikan seseorang itu bertambah kuat iman dan ilmunya jika diharungi dengan sabar dan ilmu. Ringkasnya Allah SWT menurunkan ujian bagi mendidik kita menguruskan kelemahan diri kita. Secara falsafahnya bermula dari dengan tarikh 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah itu kita melaksanakan ibadah korban, namun hakikatnya kita sebenarnya menyembelih kelemahan diri dan akhirnya menjadikan diri kita lebih baik dan meningkatkan darjat seseorang.

Kelebihan Korban seterusnya adalah dengan memahami Allah SWT memberi kebaikan dan ganjaran menerusi ibadah korban itu bukan sahaja diakhirat tetapi ketika Di dunia lagi. Perkongsian minggu lalu telah disebutkan dalam Surah Al Kautsar Allah swt telah berfirman; yang membawa maksud “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhamad kebaikan yang banyak (didunia dan diakhirat.) Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya).”  

Apa yang dijelaskan menerusi ayat ini adalah dengan melaksanakan ibadah korban, seseorang hamba Allah yang beriman itu akan dipagari dirinya daripada kejahatan dan kezaliman atau perkara buruk orang lain terhadap dirinya.

Maka itulah ia menjadi Sunat Muakkad yang sangat digalakkan oleh para ulama. Hidup didunia sememangnya banyak cabaran dan ujian yang mungkin datang dari orang lain. Antaranya berhadapan kemungkinan hasad, sangka buruk, terhadap kejayaan atau kehidupan kita sehingga ada yang bertindak sehingga melakukan penganiyaan terhadap kita. Justeru menerusi ibadah korban ia akan membantu mengelakkan kita dari kejahatan orang lain. Allah SWT akan memberi perlindunganNya daripada sebarang kejahatan manusia.

Di akhirat pula disebutkan binatang korban itu akan mengenali tuan yang mengorbankannya dan menjadi tunggangan tuannya ketika diperlukan di akhirat nanti. Ini kerana orang yang melaksanakan ibadah korban itu adalah orang berada dibawah perlindungan arasy Allah SWT oleh sebab niatnya yang ikhlas kepada Allah dan berkasih sayang sesama manusia dan tentunya akan dipermudahkan perjalanan hidupnya didunia dan meraih ganjaran amalnya diakhirat.

Begitulah antara kelebihan ibadah korban yang amat dituntut dalam Islam. Sesungguhnya setiap yang dianjurkan Islam adalah untuk kebaikan baik buat individu dan ummah keseluruhannya. Oleh itu jika kita mempunyai kemampuan dari sudut harta, belanjakanlah sebahagiannya pada jalan ibadah korban bagi merebut ganjaran didunia dan diakhirat. Jika belum berkemampuan, berniatlah kerana semoga dengan niat yang baik dan diiringi doa, Allah SWT pasti akan membuka jalan untuk hamba-hambaNya melaksanakan kebaikan. Demikianlah nasihat oleh Ustaz Muhamad menutup tirai Pesona D’Zahra bagi minggu ini. Dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha buat semua umat Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 6 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment