Sunday 2 November 2014

Tarbiah: Transformasi Diri Seorang Guru

Sama ada kita sedar atau tidak, kita adalah seorang guru. Dalam ertikata lain setiap perbuatan dan tindakan kita adalah dalam bentuk mendidik dan memberi kebaikan tidak kira kepada sesiapa sekalipun apatah lagi kepada diri kita sendiri. Pakar Transformasi Diri, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menerusi rancangan Tarbiah di IKIMfm memberi beberapa panduan terutama kepada seorang individu yang memikul tanggungjawab sebagai seorang guru.

Guru atau pendidik adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu secara formal kepada murid-murid. Ini bermakna, seorang guru juga bertindak sebagai model bagi anak murid kerana bagi sesiapapun yang terdidik, orang pertama yang menjadi pendidik selain ibu bapanya adalah insan yang bernama guru. Oleh kerana itu kata Prof Muhaya, para pendidik terutama guru yang diberi kepercayaan untuk mengajar anak-anak di usia bermula dari kanak-kanak lagi penting baginya menonjolkan suri tauladan yang baik bagi mencorak anak-anak untuk lahir sebagai manusia yang penuh kebaikan.

Kanak-kanak belajar dari orang dewasa, sebab itulah seawal usia kanak-kanak lagi mesti diterapkan dengan nilai-nilai murni. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda bawah sedar yang terbuka luas. Apa sahaja yang ada di depan mata akan diterima tanpa ada sebarang prejudis. Justeru para gurulah yang bertindak untuk mencorak dan membina sudut fikir seseorang hingga menjadi manusia yang bersifat rabbani.

Bayangkan jika seorang guru yang mempunyai sistem nilai yang tinggi, jiwa pengasih, seorang yang sabar dan emosi yang seimbang, pastinya manusia yang akan dilahirnya itu adalah insan yang mempunyai keperibadian mulia kerana asas didikan yang diberikan adalah baik.

Tetapi jika seseorang guru itu sendiri gagal memahami tugasannya sebagai seorang pendidik, tidak ada disiplin diri yang tinggi, kurang nilai kasih sayang dalam diri, bayangkan bagaimana anak murid yang dibentuk dari nilai personaliti yang lemah ini. Sudah pasti anak-anak berkenaan tidak dapat membesar bersama sahsiah diri yang tinggi sebaliknya menjadi orang yang tercorot dalam pencapaian hidup mereka.

Seorang guru bukan hanya bertanggungjawab ketika berada di dalam bilik darjah semata, tetapi secara tidak langsung, kesannya adalah sepanjang setiap perjalanan kehidupan manusia itu sendiri. Ini kerana guru yang memberi manfaat kepada anak muridnya yang menyebabkan pelajar itu menjadi orang yang bermanfaat kepada kehidupan, ia umpama saham yang ganjarannya akan diterima guru berkenaan.

Bagaimanapun jika seseorang guru mengabaikan tugasan untuk membina akhlak mulia di kalangan para pelajarnya, guru berkenaan juga sebenarnya gagal sebagai seorang pendidik. Ini kerana kejayaan bagi seorang pelajar tidak boleh diukur hanya melalui kejayaan dalam peperiksaan semata, sebaliknya jika pelajar itu berjaya membentuk keperibadian mulia, itu adalah jauh lebih berjaya.

Malah seorang guru yang mengabaikan pendidikan akhlak, hanya menitikberatkan kepada kecemerlangan akademik semata tidak akan mencapai keseimbangan kerana kejayaan dalam pelajaran mesti seiring dengan keperibadian yang baik.

Sesiapa sahaja sebenarnya adalah pendidik yang mesti bertanggungjawab mengajar dan belajar. Tidak kira sama ada seorang ibu, bapa, majikan, sahabat atau sesiapa, individu itu harus menjalankan peranan sebagai seorang guru atau pendidik yang menjadi inspirasi yang baik kepada orang lain.

Jika kita seorang pekerja sekalipun, harus selalu meningkatkan keperibadian diri dengan menyerlahkan sifat penyanyang, menghormati orang lain, pemaaf dan sebagainya kerana tanpa kita sedar, perbuatan baik itu secara tidak langsung menjadi sumber pendidikan bagi orang lain untuk turut mempunyai perilaku yang sama.

Seorang guru yang terdidik melalui pembangunan insan yang tinggi adalah menyumbangkan kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang berjaya, Ini kerana seorang guru yang baik bukan hanya menekankan akademik semata-mata tetapi turut memasukkan nilai mulia dikalangan anak muridnya.

Ajar Tidak Mendidik

Ramai guru yang mengajar tetapi tidak mendidik. Dengan kata lain guru hanya mengajar menurut apa yang ada di atas kertas. Tetapi guru yang mempunyai jiwa mendidik akan selalu berusaha mendekatkan pelajarnya dengan nilai moral yang baik disamping selalu member nasihat berguna untuk para pelajarnya.

Untuk menjadi seorang pendidik, seorang guru harus membuat transformasi dalam jiwanya agar dapat membuat anjakan bermula dari dari guru itu sendiri. Guru yang bersifat lembut, bicara dengan sopan, melayan anak muridnya seperti anak sendiri, pastinya akan dapat melahirkan manusia yang tinggi sahsiah diri serta dapat membina negara yang terdidik dengan akhlak yang tinggi.

Seorang guru yang baik selalu menjadikan persekitaran sebagai sumber ilmu kepada dirinya. Malah anak-anak muridnya juga adalah wadah untuk dirinya mendapat ilmu. Bila menyebut tentang ilmu, bukan hanya pelajaran yang ada di dalam buku teks sahaja, tetapi mempelajari dari orang lain itu juga adalah ilmu yang berguna untuk dirinya.

Sungguhpun, cabaran sistem pendidikan semasa dan gejala sosial yang kian meruncing di kalangan pelajar memerlukan kesediaan pemantapan rohani yang kuat dan kesabaran yang tinggi di kalangan pendidik. Justeru para guru perlu sentiasa bersedia dari segi mantel dan fizikal dalam mengharungi cabaran globalisasi dan berdepan dengan keadaan yang mencabar ini. Sebab itu guru perlu membuat transformasi diri agar ianya dapat menjadi tembok bagi dirinya berdepan dengan apa bentuk cabaran.

Sebagai persediaan, guru perlu terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu yang boleh mendekatkan dirinya dengan Allah. Ini kerana hubungan yang akrab dengan Allah serta jiwa tawaduk seorang guru akan menerbitkan nilai murni dan menjadinya ajen motivasi kepada para pelajar.

Selain itu, bagi guru wanita yang dianugerahi sifat keibuan yang penuh kelembutan dan penyayang akan lebih mudah untuk menguruskan pelajar yang bermasalah. Pendekatan yang lembut akan lebih berkesan dari bertindak garang atau mengenakan hukuman bagi pelajar yang nakal.

Sama ada sedar atau tidak, guru mempunyai pengaruh yang tinggi menentu tindak tanduk anak murid. Salah satunya sebagai pendokong motivasi kepada para pelajarnya. Untuk meyakinkan diri kita bahawa memotivasi pelajar dalam belajar merupakan tugas guru dan berkewajiban pula melaksanakannya, maka pendekatan Behavioristik perlu jadikan pedoman dalam mengajar. Guru merupakan persekitaran yang sangat berperanan di dalam proses belajar. Oleh kerana itu, meningkatkan motivasi pelajar dalam pelajaran merupakan tugas yang sangat penting bagi guru.

Malahan, bagi seorang guru yang bertindak sebagai motivator, memberi nasihat dengan kasih sayang akan mempengaruhi tingkah laku atau perkembangan pelajar ke arah yang positif. Guru-guru seperti ini akan dapat membantu pelajar  yang tidak berminat terhadap pelajaran untuk menjadi pelajar yang sekurang-kurangnya rajin ke sekolah atau tidak terlibat dengan masalah disiplin sekolah.

Guru juga selaku pendidik perlu memantapkan jati diri dari aspek pembangunan rohani dan pemantapan spiritual demi memastikan peranan dan tugasannya tidak tersasar dari matlamat dan tujuan. Guru bukan sahaja memastikan anak didiknya berjaya dalam pendidikan tetapi menjadi mukmin yang taat kepada perintah Allah swt.

Justeru, para pendidik harus ada kesedaran dalam diri, melakukan anjakan paradigma agar anak bangsa sebagai pewaris kepimpinan negara tidak diperjudikan dengan sewenang-wenangnya.

Sesungguhnya, guru adalah agen perubahan masyarakat. Gurulah insan yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam meniupkan kesedaran dan semangat bagi manusia mendapat kejayaan dalam kehidupan. Guru juga adalah murabbi yang menjadi ‘ibu dan bapa’ bagi anak-anak yang berada di saat duka dan suka, ini kerana guru insan yang mulia dan sehingga bila-bila sekalipun mereka akan tetap dikenang dengan gelaran ‘cikgu”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 13 Ogos 2014

No comments:

Post a Comment