Sunday 2 November 2014

Islam itu Indah: Memupuk Budaya Iqra'

Suatu ketika, ada seorang lelaki mengadu kepada Imam Ahmad bin Hanbal RA tentang perasaannya yang sedih dan kesepian, lalu Imam Ahmad berkata kepada sahabatnya, “Ambil buku lalu baca!”. Itulah penangan iqra’ bagi hamba yang warak. Dengan membaca memberi tenang, menerusi baca membawa terang. Dan apabila melihat umat islam di zaman ini, mereka umpama orang yang kehilangan cahaya dan berada di dalam kegelapan seperti yang pernah ditempuh masyarakat Jahiliyyah suatu ketika dahulu sebelum turunnya wahyu pertama yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk ‘baca’.

Membaca, jika diamalkan dan menjadi kebiasaan sesuatu masyarakat akan melahirkan masyarakat berbudaya membaca. Budaya ini pula diumpamakan oleh Ustaz Pahrol Mod Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu hanyalah sebagai buah dari sebatang pohon.  Terdapat unsur yang lebih penting daripada buah iaitu akar pohon tersebut. Jika sakit akarnya, bubuhlah ubat agar buah yang terbit tidak buruk dimakan ulat.

Meneladani Rasulullah SAW berjaya membawa sinar kepada kaum Jahiliyyah, bukan dengan merawat permukaan masalah tetapi menyuntik solusi pada punca masalah. Rasulullah wujudkan budaya baru untuk tangani budaya yang sudah lama dengan membudayakan iqra’ iaitu membaca.
Allah berfirman menerusi wahyu pertamaNya dalam Surah al-‘Alaq ayat 1-5 mafhumnya, “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.” Inilah ayat pertama yang Allah turunkan buat kekasihNya. Dimulakan dengan iqra’ iaitu baca dan bukannya dengan solat, zikir, puasa, zakat mahupun perkara-perkara lain. Ini sudah cukup member pemahaman kepada kita betapa hebat dan pentingnya membaca itu.
Ayuh kita singkap satu persatu rahsia kejayaan Rasulullah SAW dalam memberi terang kepada gelapnya jahiliah sehingga menjadi umat yang sangat mencintai Allah SWT. Pernah dicatat oleh pakar-pakar bahawa satu anjakan paradigm yang hendak dilakukan terhadap sesuatu bangsa, hendaklah bangsa itu dipimpin oleh seorang pemimpin yang ada sifat ‘pembina budaya baru’. Rasulullah SAW telah mendahului prinsip itu, sebagai pemimpin yang terbaik yang mendapat didikan terus dari Allah SWT, Baginda telah membina formula baru dalam mengubah kaum jahiliah arab yang sangat jahil pada ketika itu. Menerusi sifir “Membaca adalah anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan adalah imam amalan dan amalan adalah jalan untuk menuju taqwa” telah membawa Arab jahiliah ke satu dimensi baru dalam peradaban mereka.

Rasulullah SAW adalah qudwah hasanah dalam semua aspek kehidupan termasuk pencapaian, akhlak dan kaedah dalam berjuang. Imam malik menegaskan, “Pembinaan umat yang kemudian hanya boleh dilakukan dengankaedah pembaikan pada umat yang terdahulu (yang pertama).” Jika jahiliah pertama RAsulullah SAW tangani dengan iqra’ maka bagi jahiliah kedua iaitu umat ahkir zaman ini juga perlu kepada pendekatan yang sama dengan budaya iqra’ juga.

Nabi Allah telah menggunakan makanisme paling asas dalam mengubah budaya yang telah berakar umbi di zaman jahiliah iaitu dengan dakwah dan tarbiah. Menggabungkan konsep memberi kesedaran, ditambah kefahaman, diperkukuh dengan bimbingan dan disulam didikan mencetuskan evolusi baru dengan wujudnya budaya membaca di kalangan bangsa Arab. Ini bermakna islam hadir dengan membawa budaya membaca sebagai wadah pencipta perubahan kepada yang lebih baik. Sewajarnya kita umat akhir zaman ini mengambil ibrah dari revolusi Rasulullah menbina umat membaca.

Sesungguhnya Islam itu bermula dari buka mata hingga pejam semula hari-hari akan diisi dengan membaca. Bermula dengan solat, membaca al-Quran, membaca maksurat, berwirid, membaca papan tanda, membaca akbar dan seterusnya hingga ke petang dan malam akan terisi dengan aktiviti membaca. Di sinilah kita perlu benar-benar peka dengan apa bahan bacaan kita untuk kita memilih dan menyaring yang terbaik kerana diri kita bukan sekadar apa yang kita makan tetapi lebih dari itu kita dibentuk dengan apa yang kita baca.

Umat Islam itu sememangnya umat membaca. Tetapi persoalannya, mengapa umat Islam masih lemah walaupun umat Islam adalah umat membaca? Adakah mungkin sebagai umat Islam kita masih tidak mengamalkan dan menghayati Islam sebaiknya? Sebab itulah Ustaz Pahrol berpesan untuk kita meneliti beberapa aspek dalam menjadikan kita umat membaca yang berkesan. Pertama, kita perlu memastikan kualiti bahan bacaan. Kedua, perlu teliti dengan kaedah kita membaca dan yang terakhir cara kita mengatur kehidupan kita supaya bahan yang kita baca menimbulkan kefahaman, penghayatan dan penggerak untuk kita mengamalkan agama ini secantiknya.

Ustaz Pahrol juga menegaskan kepada semua umat iqra’ untuk menjadikan al-Quran dan al-Hadis sebagai bacaan utama supaya dapat menguatkan iman dan terhindar dari buta hati kerana ilmu itu adalah cahaya. Di samping itu, usah kesampingkan membaca ilmu yang berkaitan keperluan dunia supaya umat iqra’ ini tidak buta akal.

Perpustakaan Negara Malaysia pada 1996 yang merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Dan pada tahun ini jumlah purata tersebut mungkin meningkat sedikit namun masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain antaranya Jepun dengan purata 40 naskah buku setahun, Eropah dengan purata 10 naskah setahun tetapi mendukacitakan apabila Arab menunjukkan purata hanya 20 helai buku setahun. Ini menunjukkan betapa jauhnya umat iqra’ ini dengan budaya membaca. Bagi kita, Negara Islam di rantau Asia Tenggara ini pula pada tahun 2005 kajian mendapati jumlah naskah buku masih tidah berubah dengan tahun 1996 iaitu 2 naskah buku setahun yang  melibatkan jenis pembacaan surat khabar sebanyak 77.4%, bahan majalah; 3%, buku; 3% dan bahan bacaan komik 1.6%. Dari kajian ini kita boleh melihat di mana dan siapakah kita yang mengaku sebagai umat iqra’ ini.

Semoga kita dapat menggembalikan kegemilangan kejayaan Rasulullah SAW mengubah puak Jahiliyyah pertama 1400 tahun dahulu dengan menanamkan semula budaya membaca yang mampu mengubah umat pada zaman jahiliah alaf baru ini. Moga dapat diterapkan kembali formula membaca sebagai anak kunci kepada ilmu pengetahuan. Menerusi iqra’ akan menjadi anak kunci kepada solat, zakat, puasa, jihad dan laluan pembuka kepada segala ilmu Allah SWT yang lain. Bila mantap ilmu, maka ia akan menjadi imam dan amalan menjadi makmum yang mengikut dibelakangnya dan sentiasa mengiringi. Amalan-amalan ini jika dilazimi dan  istiqomah dengannya, insha Allah ia akan menjana taqwa. Bila terbit, tumbuh dan membesarnya taqwa maka di situlah kekuatan umat islam hari ini. Menjadi umat Islam yang bukan hanya pada nama tapi umat Islam pada amalnya yang kembali kepada prinsip asal iaitu IQRA’.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 24 September 2014

No comments:

Post a Comment