Lima Perkataan dan Lima Saksi
- Ustaz Muhamad
Abdullah Al Amin
Meraikan perayaan
kedua-dua hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dalam Islam hukumnya
Sunat dan mendapat pahala apabila menyambutnya dengan kegembiraan.
Merayakan Aidil Adha dengan ibadah korban juga menghidupkan sunnah Nabi
Allah Ibrahim AS, bapa sekalian anbiya’.
Amalan ibadah korban itu seperti
dikongsikan sebelum ini dapat mendidik jiwa kearah ketakwaan dan
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia juga boleh mengikis sifat tamak
dan mewujudkan sifat suka bersedekah dan ringan membelanjakan harta ke
jalan Allah SWT. Keikhlasan menunaikan ibadah ini juga dapat
menjalinkan hubungan kasih sayang sesama manusia terutama antara
golongan berada dengan golongan yang kurang bernasib baik. Semoga dengan
keikhlasan hati dan keredhaan Allah atas korban yang dilaksanakan, kita
beroleh pengampunan dosa dan perlindungan Allah SWT daripada kejahatan
syaitan, orang lain terhadap kita mahupun hawa nafsu kita sendiri. .
Menyambung siri ketiga tajuk Ibadah
Korban dalam Pesona D’Zahra kali ini bersama tetamu Ustaz Muhamad
Abdullah Al Amin yang bersiaran setiap Isnin jam 10.00 pagi di IKIMfm,
pengisian diteruskan dengan tajuk “Istimewa Aidiladha: Lima Perkataan, Lima Saksi”.
Memulakan bicara berkenaan tajuk ini,
Ustaz Muhammad menyebut bahawasanya Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat
yang sangat bertuah dan beruntung kerana dipilih Allah SWT sebagai
sebaik-baik umat. Umat Nabi Muhammad SAW terpilih untuk mengikut ajaran
yang paling hebat iaitu ajaran al-Quran. Firman-Nya yang bermaksud:
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi
(faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara
yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan
keji), serta kamu beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah ali-Imran, ayat 110)
Kepada umat Muhammad SAW diberikan
segala kebaikan yang tidak diberikan kepada umat terdahulu. Antaranya
adalah Lima perkataan yang dikurniakan buat umat Nabi Muhammad SAW. Kita
beroleh kesempatan melakukannya sebagai amalan dan memperoleh redha
Allah swt serta kebaikan yang datang bersamanya.
Azan dan Iqamat
Azan dan Iqamat adalah merupakan sunnah
Nabi SAW di mana kita disuruh supaya melaungkan azan apabila masuknya
waktu solat dan kemudian iqamat bagi memulakan solat. Selain memaklumkan
masuknya waktu solat, azan juga mempunyai kelebihan lain.
Antara kelebihan azan adalah ketika
berlaku sesuatu mala petaka dan bencana atau sekiranya kita berada dalam
keadaan yang getir sunat ianya dilaungkan. Contohnya ketika menghadapi
bencana kebakaran dan segala jalan ikhtiar telah diusahakan, digalakkan
kita melaungkan azan sekuatnya kerana dikatakan ia dapat mengurangkan
maraknya api yang membakar. Begitu juga waktu rebut dan waktu-waktu
seumpamanya. Dalam pada itu, azan juga boleh digunakan untuk mengubati
orang yang sedang dalam kerasukan dan menghindarkan mereka daripada
kejahatan jin, begitu juga sunat mengazankan untuk orang yang hendak
musafir atau untuk bayi yang baru lahir supaya bayi itu tidak akan
diganggu oleh syaitan daripada kalangan jin.
Talbiah
‘Talbiah’ ialah ucapan
kehadiran yang dilafaz oleh para Jemaah Haji yang menunaikan ibadah haji
dan umrah setelah berihram ketika berada di tanah suci Mekah.
Bertalbiyah dengan menyahut seruan Allah, pembuka ucapan dan pengakuan
atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung
atau berdialog dengan Allah SWT. Talbiyah mempunyai makna yang agung,
kerana mengandungi tauhid dan kebesaran Allah SWT. Kelebihan orang yang
mengucapkan talbiah akan menyuntik rasa keimanan kedalam hatinya.
Takbir Hari Raya
Takbir hari raya dianugerahkan kepada
umat Nabi Muhammad SAW pada tahun 5 Hijrah ketika berlakunya peristiwa
perang Khandak atau Perang Ahzab. Dalam perang tersebut kaum kafir
bergerak untuk menyerang Madinah dengan misi membunuh Rasulullah SAW dan
para sahabat. Pada ketika itu jumlah tentera Islam adalah sedikit
jumlahnya berbanding tentera kafir. Ketika bermesyuarat bersama para
sahabat, Rasulullah SAW telah diberi cadangan oleh sahabat yang bernama
Salman Al Farisi RA Salman Al Farisi yang berasal dari Parsi
mencadangkan teknik yang digunakan oleh tentera di tempat asal beliau
apabila berhadapan situasi peperangan yang serupa. Beliau mencadangkan
agar digali parit yang dalam dan besar disekeliling tanah Madinah, dan
tanah yang telah digali itu pula ditimbunkan di sebelah Madinah sebagai
dinding kubu pertahanan. Selain itu dinding kubu itu juga menghalang
musuh daripada mengetahui jumlah tentera Islam didalamnya dan sukar
untuk musuh Islam menyerang.
Nabi Muhammad SAW menerima cadangan itu
dan tentera Islam mula menggali parit yang panjang dan besar tersebut
pada bulan Ramadan ketika itu. Diringkaskan, musuh yang tiba di Madinah
terkejut akan teknik perang yang tidak pernah dilihat mereka ketika itu.
Mereka mulai menghantar serangan tetapi setiap kali serangan mereka
digagalkan tentera Islam sehinggalah pada pagi 1 Syawal, Allah SWT
menurunkan angin yang kuat sehingga mengkucar-kacirkan bala tentera
kafir dan membuatkan mereka bertempiaran lari pulang dengan ketakutan
dan memberi kejayaan kepada Islam. Maka kerana itulah kita melaungkan
takbir sebagai menandakan kemenangan atas sesuatu amalan kebaikan yang
berjaya kita laksanakan kerana ianya bantuan dari Allah swt.
Salam
Ucapan ‘Assalamualaikum’ atau maksudnya
‘Selamat sejahtera ke atas kamu’ adalah antara adab sosial dalam
masyarakat Islam. Ia adalah satu ungkapan yang dikurniakan oleh Allah
SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Allah SWT juga memerintahkan agar
kita membalas salam yang diberi dengan ucapan yang sama atau lebih baik
daripadanya. Maka, adalah wajib ke atas tiap-tiap orang yang mendengar
ucapan salam itu untuk menjawabnya dengan ucapan salam juga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW
bersabda maksudnya: “Demi diriku yang berada dalam genggamanNya, kamu
tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan
beriman sehingga kamu berkasih sayang. Tidak mahukah kamu kutunjukkan
sesuatu yang apabila kamu membuatnya kamu akan berkasih sayang? (Iaitu)
sebarkanlah salam di kalangan kamu.” (Mafhum hadis riwayat Muslim). Jadi
ucapan salam itu bukanlah semata-mata sapaan biasa seperti “Selamat
Pagi” atau “Good Morning” atau “Hello” tetapi ia ungkapan yang
dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW dan
melakukannya dikira ibadah dan mendapat pahala. Justeru ucaplah salam
kepada semua saudara seislam kita baik yang kita kenali atau tidak
kerana ia akan mengikat kasih sesama kita.
Amin pada doa
Amin pada doa adalah perkataan khas bagi
mengiringi doa yang dibaca. Antara kelebihan umat Nabi Muhammad SAW
ialah ucapan “Amin”, yang bermaksud, “Ya Allah perkenankanlah doa kami”.
Keistimewaan ini adalah antara beberapa keistimewaan umat Nabi Muhammad
SAW yang menimbulkan rasa hasad kepada orang Yahudi. Sabda Rasulullah
s.a.w yang bermaksud: “Perkara yang menjadikan Yahudi berasa dengki
kepada kamu ialah kerana kamu dikurniakan ucapan salam dan Ta’min
(Amin).” (Hadith Riwayat Ibnu Majah). Dengan itu ucaplah amin pada
setiap doa yang dipanjatkan oleh kita mahupun orang lain.
Meneruskan bicara tajuk 5 perkataan 5
saksi, Ustaz Muhammad kemudiannya menghuraikan bahawa afdhal memotong
bulu dan kuku seseorang adalah selepas menyaksikan ibadah korban
dijalankan. Ini kerana disebutkan terdapat 5 saksi amalan kita dia
akhirat nanti.
Allah swt menyaksikan amalan semua hambaNya
Allah Maha Melihat apa sahaja yang ada
di alam ini. Allah SWT dapat melihat segala gerak geri hamba-hambaNya.
Meskipun hamba-hambaNya beramal dalam keadaan sembunyi, namun Allah SWT
dapat melihatnya dengan jelas dan terang.
Sepertimana firmanNya dalam Surah Al-Imran ayat 18 “Allah
menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti),
bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan
menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Penglihatan Allah SWT itu tidaklah sama dengan penglihatan yang ada pada makhluk ciptaanNya.
Firman Allah S.W.T. yang lain (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ghaib di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Al Hujuraat, 18).
Segala aktiviti yang terjadi di alam ini, baik terang mahupun yang gelap, yang besar mahupun yang kecil, yang nyata, mahupun yang ghaib tidak akan luput daripada penglihatan Allah SWT.
Keyakinan dengan sifat Allah Maha
Melihat ini menjadikan insan-insan yang beriman bertambah takut dan
bertaqwa kepada Allah SWT kerana mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa
melihat amalan yang dikerjakannya.
Malaikat menyaksikan amalan ketika Hari Kebangkitan
Selain daripada Allah SWT yang sentiasa
menyaksikan perbuatan kita, ada para saksi yang tidak terlihat di sisi
kita dan tidak pernah meninggalkan kita. Mereka adalah para malaikat
yang bertugas mengawasi dan mencatat setiap perbuatan. Allah swt
berfirman didalam Al-Qur`an. “Semasa dua malaikat (yang mengawal dan
menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang
satu duduk di sebelah kanannya, dan yang satu lagi di sebelah
kirinya. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan
yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang
sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”(Qaaf:17-18). Apa yang dicatat
para malaikat tersebut akan ditunjukkan pada hari perhitungan, ketika
manusia akan ditanyai tentang perbuatan mereka di dunia.
Saksi ketiga adalah sesama manusia
Satu ketika disebutkan di zaman Nabi
Muhammad SAW, “Anas bin Malik r.a berkata: Telah datang jenazah yang
dihantar melewati para sahabat Rasulullah SAW, kemudian mereka memujinya
dengan kebaikan lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ’Wajib! Tidak
lama kemudian datang lagi iringan jenazah lain dan mereka mengatakan
keburukan-keburukannya. Nabi SAW bersabda: ’Wajib! Umar bin Khattab RA
bertanya: ”Apa yang wajib wahai Rasulullah? Baginda bersabda mafhumnya:
“Jenazah yang kalian puji dengan kebaikan maka dia wajib masuk syurga.
Dan yang kalian sebut kejahatannya maka dia wajib masuk neraka, kalian
adalah saksi-saksi Allah di muka bumi.” (Muttafaqun Alaih). Justeru
berlaku adillah dengan sesame manusia dan berusahalah mencontothi
akhlak Rasulullah SAW dan para sahabat baginda agar kita disayangi
didunia dan diakhirat.
Tubuh badan akan menjadi Saksi
Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat
ke-65 mafhumnya: “Pada hari ini Kami tutup mulut mereka, dan (memberi
peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan
masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi terhadap apa yang dulu
mereka usahakan.”
Pada hari akhirat nanti, anggota badan
kita sendiri akan sendirinya berkata-kata memberi saksi melihat
perbuatan kita di dunia. Maka pergunakanlah anggota badan dengan
berhati-hati dengan tujuan yang tidak menyalahi nikmat yang diberikan
kepada diri kita. Keraplah berzikir, menjaga pancaindera, berhati-hati
dengan makan minum dan punca rezeki yang masuk ke dalam diri dan
keluarga kita. Dan sesungguhnya yang menahan daripada menjadi saksi
perbuatan buruk kita nanti hanyalah taubat.
Kembali kepada sunat menangguhkan
memotong bulu dan kuku, atas sebab merekalah yang akan menjadi saksi
kepada amalan kebaikan dan ibadah korban yang kita laksanakan.
Makhluk lain juga menjadi saksi
Keadaan di hari akhirat semenangnya
tidak dapat dibayangkan betapa ia menggetarkan hati. Selain kesemua yang
disebutkan diatas memberi kesaksian atas perbuatan kita, pada hari itu
nanti makhluk lain juga akan diberikan hak mereka untuk berbicara.
Binatang yang diseksa atau disantuni
juga akan didatangkan bagi memberi perakuan kepada apa yang pernah kita
lakukan baik kebaikan mahupun pengabaian keatas mereka. Jadi berlaku
baiklah kepada haiwan dan alam sebagai menghormati hak makhluk Allah SWT
yang lain. Bumi juga dibolehkan bercakap sekiranya diminta untuk
menjadi saksi kepada perbuatan kita didunia. Kerana itu terdapat
orang-orang soleh yang berpindah tempat beberapa langkah untuk
menunaikan solat sunat selepas solat fardhu bagi memperbanyakkan tempat
amalan soleh diatas bumi Allah swt.
Rasulullah SAW bersabda; “Yang
dimaksudkan dengan bumi pun menceritakan khabar beritanya ialah bumi
akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan oleh manusia di muka
bumi. Bumi berkata mafhumnya, bahawa si fulan ini telah melakukan
sesuatu di belakangku”. (Riwayat At-Tirmizi )
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment