Sunday 2 November 2014

Pesona D’Zahra - Taqwa Asas Bina Keluarga Bahagia

 "Taqwa Asas Bina Keluarga Bahagia"
-Ustaz Muhamad bin  Al-Amin

Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Betapa indahnya kehidupan seseorang manusia dengan adanya pasangan yang menemani diri melalui segala suka duka. Kejadian berpasangan antara lelaki dan perempuan it merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.WT. berfirman:

“Di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan di antara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir” (ar-Ruum:21)

Justeru bagi mereka yang telah dikurniakan pasangan dalam hidup, bersyukurlah dan yakinlah bahawa suami atau isteri anda adalah pasangan terbaik yang telah tentukan Allah swt untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

Dalam kehidupan berumahtangga, semua pasangan suami isteri mengidamkan kehidupan yang bahagia, tetapi persoalannya bagaimanakah mencapai kebahagiaan rumahtangga sedangkan kehidupan ini adalah tempat diuji yang memungkinkan pelbagai cabaran. Setiap rumahtangga tentu ada pasang surutnya. Kehidupan dan keharmonian rumahtangga boleh runtuh disebabkan oleh salahfaham, masalah camputangan keluarga dan berbagai-bagai lagi yang menduga hati dan akal.

Menghuraikan sambungan tajuk Rumahtangga Universiti Kehidupan siri kedua kali ini dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin jam 10 pagi, Ustaz Muhamad bin  Al-Amin sekali lagi mengingatkan tentang kewajipan pasangan suami dan isteri untuk terus dan sentiasa belajar mengenalpasti kelemahan diri dan kekuatan pasangan bagi terus memotivasikan diri untuk menghadapi perbezaan yang ada. Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan akhirnya memberi manfaat kepada ahli keluarga kita.

Kembali kepada persoalan bahagia, apakah rahsia membentuk rumahtangga muslim yang bahagia? Pembinaan sebuah keluarga bahagia itu hendaklah diasaskan kepada takwa. Tanpa takwa pembinaan sebuah keluarga yang bahagia itu dikhuatiri tidak akan terbina menurut landasan yang sebenar. Perkara yang ketiga yang perlu kita pelajari dalam kehidupan berumahtangga adalah:

Belajar Untuk Taat

Allah SWT berfirman didalam Al Quran; “Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu sekalian kepada Allah dan taatlah kamu sekalian kepada Rasul dan kepada orang-orang yang berkuasa di antara kamu. Maka jikalau kamu berbantahan dalam satu perkara, hendaklah kamu sekalian mengembalikannya kepada Allah dan Rasul, jika kamu sekalian beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu, sebaik-baik dan sebagus-bagus keputusan.” (An-Nisa’ : 59)

Dalam konteks masyarakat Islam, suami atau bapa merupakan ketua kepada sebuah keluarga dan suamilah orang pertama yang patut memainkan peranan penting melaksana tugas sebagai pemimpin keluarga.

Memahami perintah ini Allah SWT mahu agar kita memelihara diri dan keluarga daripada neraka dengan menyuruh mereka berbuat baik dan menjauhi kemungkaran, di samping itu suami sebagai ketua keluarga perlu menunaikan segala tuntutan syara’ serta pendidikan berdasarkan al-quran.

Seterusnya Allah SWT berfirman, maksudnya, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” (Surah An-Nisaa’, ayat 34)

Suami yang taat kepada Allah SWT akan  mengajarkan ahli keluarganya tentang ilmu-ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah agar tidak membiarkan isteri dan anak-anak mereka berada dalam kejahilan. Suami juga perlu banyak bersabar, menunjukkan contoh yang baik, memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada isterinya, mendidik, menegur isteri dengan penuh berhikmah, saling berlapang dada dan pemaaf.

Dengan ikatan perkahwinan seorang suamiyang soleh itu perlu memberi keutamaan kepada ketaatannya kepada Allah dan Rasulullah SAW dalam meniti cabaran kehidupan rumahtangga. Ini bagi memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah yang terbaik kerana apa sahaja yang diajar dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW adalah yang diredhai Allah. Justeru  setiap tanggungjawab akan ditunaikan oleh pasangan suami isteri dengan perasaan lapang dada walaupun adakalanya terpaksa mengorbankan kemahuan nafsu pasangan.

Isteri pula wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu  taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak. Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Quran, dan juga dalam hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alahi Wasallam. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda maksudnya : “Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya. Rasulullah SAW bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki.” (Hadis riwayat At-Thabarani)
 
Melalui ketaatan yang berlandaskan hukum Allah, kehidupan berumahtangga akan menjadi mudah terutama ketika membuat keputusan dalam satu-satu permasalahan.

Belajar Untuk Memberi

Seringkali kita mendengar bahawa kita membina hidup ini bukan dengan apa yang kita dapat, tetapi dengan apa yang kita beri. Maka perlu kita renungkan apakah telah kita berikan dalam kehidupan berumahtangga yang kita lalui. Apakah kita hanya sering menerima atau cukupkah apa yang kita beri selama ini. Ini kerana yang memberi itu sentiasa lebih mulia dari yang menerima.Yang suka menerima tanpa memberi sentiasa darjatnya dibawah. Dalam rumahtangga, kedua-dua suami dan isteri perlu berlumba-lumba untuk kreatif dalam memberi, dalam usaha menjadikan rumahtangga mereka aman dan harmoni.

Suami yang soleh bukan sekadar memberikan makan, minum, pakaian, kemudahan tempat tinggal, memberikan perlindungan kerana itu semua dalah kewajipan yang asas tetapi juga melayani  isteri dengan baik. Suami juga perlu memberi pendidikan gama yang baik kepada isteri dan anak-anak  supaya mereka sentiasa terdorong membuat perkara yang diredhai Allah swt. Tidak lupa juga suami perlu menunaikan hak isteri dan anak-anak untuk dilayan dengan santun dikatakan seorang isteri yang bahagia dan tenang akan mendidik anak dengan kasih sayang.

Pihak isteri juga berkewajipan memberi segala yang diperlukan daripadanya untuk sebuah rumahtangga yang selesa dan bahagia. Bertolak ansur, bertimbangrasa, kepercayaan, berkongsi susah payah dan banyak lagi pengorbanan yang perlu diberikan seorang isteri dalam membantu suaminya bukan sahaja didunia tetapi juga mencapai syurga di akhirat.
Ketika memberi, ingatlah bahawsanya bukanlah kita memberikan sesuatu kebaikan itu kerana seseorang, tetapi kita lakukan hanya kerana mencari redha, ganjaran dan kasih sayang Allah swt.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian 
edisi 27 Oktober 2014

No comments:

Post a Comment