Tuesday 26 April 2016

Pemuda Ashabul Kahfi

“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.(Kahfi:13)
Golongan muda adalah mereka yang masih teguh fizikalnya, segar fikirannya, sihat tubuh badannya dan kental jiwa dan semangatnya. Pemuda ini adalah tonggak negara kerana kekuatan fizikal mereka boleh menjadi banteng pertahanan teguh sesebuah Negara.
Memetik kata-kata daripada Imam Hassan al-Bana, “Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara, dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda”.
Penceramah terkenal, Ustaz Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat jam 10.15 pagi berkongsi beberapa garis panduan bagi seseorang pemuda untuk menjadi golongan yang ideal dengan mengambil teladan dari kisah ashabul kahfi.

Menurut Ustaz Nazrul, Pemuda Islam yang ideal adalah pemuda yang bertakwa kepada Allah SWT dan menjalankan peranan dakwah kepada sesiapa sahaja supaya ajaran agama Islam terus berkembang kepada seluruh umat manusia, malahan Islam akan terus utuh dan kukuh diamalkan oleh setiap penganutnya.
Bahkan, usia muda dengan kekuatan fikizal dan semangat yang sentiasa kental adalah ruang terbaik bagi golongan pemuda memperkukuhkan peranan mereka dalam memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan Negara.
Bagaimanapun seseorang pemuda yang akan menabur jasa kepada orang lain, perlulah mempersiapkan dirinya dengan jati diri yang kukuh seperti ketaatan kepada agama dari segi solat, beramal ibadah, memiliki akhlah yang terpuji dan menjauhi perkara-perkara yang membawa kepada kemungkaran dan kesesatan.
Menurut Ustaz Nazrul, untuk menjadi seorang pemuda muslim yang ideal haruslah mempunyai sifat -sifat seperti memiliki aqidah yang benar, kerana ia adalah intipati tertinggi dalam memusatkan ketauhidan iaitu mengesakan Allah SWT. Hanya menyembah kepada Allah dan menyerahkan diri sepenuhnya hanya kepada Allah Yang Maha Satu.
Seorang pemuda ideal juga memiliki ilmu dan pengetahuan agama yang tinggi serta jelas supaya dengan pengetahuan agama yang meluas serta memahaminya secara mendalam, pemuda tidak tersasar dari landasan ajaran agama yang berpandukan kepada al Quran dan al hadis.
Seorang pemuda juga mesti mempunyai keterampilan dalam pelbagai sudut kehidupan supaya dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kemajuan diri sendiri, mahupun sesiapa sahaja yang berada di sekelilingnya. Pemuda juga perlu bijak mengambil peluang untuk mengembangkan potensi diri agar masa mudanya dimanfaatkan untuk mematang dan mempertajamkan kemahiran dirinya.
Firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 10 bermaksud,“(Ingatlah peristiwa) tatkala serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa:”Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kami kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”.
Mengambil iktibar dari kisah pemuda ashabul kahfi sebagaimana yang disebut melalui ayat kesepuluh surah Kahfi, iaitu telah menjelaskan kepada kita bahawa para pemuda ashabul kahfi mencari tempat perlindungan di sebuah gua dari pemerintahan yang zalim. Pemerintahan tersebut menyebabkan mereka tidak mungkin dapat mengungkap pandangan mereka, menjelaskan kebenaran, dan menyerukan agama Allah. Oleh kerana itu, mereka telah menjauhkan diri mereka dari masyarakat.
Dalam konteks pemuda dalam kehidupan masyarakat hari ini, apa yang dapat dipelajari dari kisah dalam surah al kahfi itu adalah kita hendaklah menjauhkan diri dari segala perkara-perkara yang membawa kemungkaran dan kejahatan. Umpamanya dalam konteks dunia yang serba canggih dengan kehadiran teknologi yang tiada sempadan ini, kita hendaklah bijak memilih maklumat yang membawa kebaikan dan sebaliknya.
Kita juga tidak boleh menjadi alat kepada kemajuan teknologi dengan menerima bulat-bulat apa juga berita atau maklumat yang kita perolehi. Begitu juga dengan kehadiran laman sosial yang pelbagai dan permainan gajet yang mengasyikkan membuat kita selalu leka dengan matlamat asal akan kehidupan ini.
Kelekaan terhadap perkara yang sia-sia inilah membuatkan pemuda tidak lagi sebagaimana petikan kata Imam Hassan al-Banna sebagai harta Negara, jika pemuda hanya leka dengan keseronokan dunia.
Oleh yang demikian itulah, pemuda harus meninggalkan kelekaan, keseronokan sementara dan jangan sekali-kali melibatkan diri dengan perbuatan yang tidak membawa kepada manfaat dan kebaikan kepada diri mereka.
Pemuda yang sentiasa mengisi masa dengan menuntut sebanyak mungkin ilmu, taat kepada perintah Allah, mengasihi dan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW adalah pemuda yang akan dipelihara oleh Allah SWT dengan kebaikanNya.
Menjadi seorang pemuda muslim yang Ideal tidaklah semudah membalikkan tangan, kerana yang pastinya banyak cubaan dan cabaran yang pastinya akan ditempuhi, apatah lagi pada usia yang sedang mencari kematangan diri. Namun, dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dan mengharap petunjuk serta hidayahNya, kita akan dapat melalui kehidupan ini dengan sentiasa terbimbing oleh ajaran Islam yang benar.
Sebagaimana pesanan daripada Imam Hassan al-Banna iaitu “Wahai manusia, setelah kehidupan yang pendek ini. Kamu akan menjalani kehidupan yang abadi. Bila kamu memahami rahasia tugasmu dalam kehidupan ini dan mengikhlaskan amal untuk Tuhanmu, ada kenikmatan yang menanti.” Semoga ianya memberi pedoman kepada kita dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 Januari 2015

No comments:

Post a Comment