Tuesday 26 April 2016

Tarbiah Jinsiah Buat Anak Remaja

Tarbiah Jinsiah atau dikenali juga sebagai “Pendidikan Seksual” seharusnya diberi pendedahan kepada anak-anak seawal umur remaja lagi. Sekiranya kita melihat fenomena yang berlaku kepada anak-anak muda kini, ianya adalah berkait rapat dengan tarbiah jinsiah. Islam telah menggariskan beberapa perkara di dalam tarbiah jinsiah untuk kita sebagai manusia mengambil panduan daripadanya.
Ustazah Norhafizah Musa dalam rancangan Usrati yang bersiaran hari Khamis jam 5.15 petang telah menekankan betapa Islam menitikberatkan tarbiah jinsiah bermula dari rumah lagi. Bagaimana Islam menggariskan tatacara seorang anak terhadap isi rumah yang lain, termasuk berurusan dengan kedua ibu bapanya. Di dalam Al-Quran sendiri disebutkan bagaimana sikap seorang anak yang hampir atau telah baligh perlu meminta izin daripada kedua ibu bapanya sebelum memasuki bilik mereka.
Allah berfirman di dalam Surah An-Nur, ayat 58 hingga 59 yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Apa yang ditekankan di dalam Al-Quran ini adalah sebagai pendidikan atau pencegahan bagi banyak perkara dan sesekali ia tidak boleh dianggap remeh kerana seorang anak yang sedang membesar mempunyai perasaan dan naluri ingin tahu terhadap banyak perkara dan pandangannya adalah sangat perlu untuk dijaga. Antara hikmah di sebalik tarbiah jinsiah seawal usia ialah untuk membendung anak-anak daripada melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Islam telah menggariskan tatacara seorang anak bermula dari rumah, namun bagaimanakah gejala sosial di kalangan remaja yang melibatkan seksual begitu berleluasa? Ustazah Norhafizah Musa merungkai permasalahan ini dengan melihat  apa yang berlaku adalah kerana naluri seksual anak-anak ini tidak berjalan secara alami, malah ia telah dirangsang hasil daripada menonton atau melihat perkara yang tidak sepatutnya dilihat oleh mereka dan mereka telah kalah dengan naluri seksual ingin tahu mereka.
Hikmah di sebalik panduan Islam ini adalah untuk mendidik anak-anak bahawa setiap perkara dalam kehidupan kita ada batasannya, sama ada makan, pergaulan, akhlak, percakapan dan sebagainya. Setiap perkara yang melanggar batas akan membawa kita kepada melakukan dosa dan dosa yang kita lakukan mempunyai rangkaiannya. Apabila kita melakukan sesuatu dosa, ia akan membuka pintu untuk kita melakukan dosa yang lain pula dan begitulah seterusnya. Batasan di dalam Islam adalah untuk mencegah kita dari melakukan dosa.
Ustazah Norhafizah Musa menyarakankan supaya ibu bapa menjadikan bilik tidur mereka satu tempat yang istimewa, iaitu bukan tempat yang sewenang-wenangnya boleh dimasuki oleh ahli keluarga atau saudara-mara. Bilik tidur merupakan tempat privasi suami isteri dan ada sesetengah perkara atau barang yang tidak boleh diketahui atau dilihat oleh orang lain, melainkan hanya mereka berdua sahaja.
Rasulullah s.a.w. telah mengajarkan adab meminta izin memasuki bilik kepada Anas r.a. sewaktu beliau menjadi pelayan Nabi s.a.w. dahulu. Anas r.a. telah masuk ke tempat Baginda tanpa meminta izin terlebih dahulu, dan pada suatu hari ketika Anas datang ke tempat Nabi s.a.w., Baginda bersabda yang bermaksud,“Tahukah engkau wahai Anas bahawa sesudah itu telah turun ayat yang menegaskan bahawa engkau tidak boleh masuk tanpa izin terlebih dahulu.” (Hadith Riwayat Bukhari).
Selain itu, tarbiah jinsiah juga adalah sebagai didikan kepada anak-anak untuk menundukkan pandangan. Ibu bapa perlu memainkan peranan mengajar anak-anak supaya mempunyai rasa malu di dalam diri mereka, terutamanya di kalangan anak-anak perempuan sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud, Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.
Sheikh Abdul Al Hamid mengajak umat Islam untuk bermuhasabah diri dengan membawa satu kisah di dalam ceramah beliau berkenaan seorang yang bukan Islam, iaitu ilmuan Jerman di dalam bidang pendidikan telah memberikan satu komentar terhadap usaha dan cara Islam dalam tarbiah jinsiah yang berkait rapat dengan menundukkan pandangan. Ilmuwan itu telah memberitahu bahawa dia telah mempelajari ilmu psikologi dan pelbagai ubat untuk mengatasi persoalan seksual, tetap tidak menjumpai walau satu penawar atau cara yang lebih mujarab daripada firman Allah SWT yang diturunkan kepada Nabi s.a.w. di dalam Surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud, Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci dari mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.
Di akhirnya, Ustazah Norhafizah Musa mengajak para pendengar terutamanya ibu bapa untuk merancang pendidikan awal dari rumah, bermula dari usia sebelum baligh. Sebagai orang yang beriman kepada Allah dan Rasul sepatutnya kita lebih mengambil berat dengan apa yang diperintahkan Allah SWT supaya menghindarkan diri kita dari melakukan dosa dan akhirnya mendapat keredhaan dari Allah SWT dalam kehidupan kita.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Januari 2015

No comments:

Post a Comment