"Beringatlah Sebelum Kena"
- Ustazah Nor Hafizah binti Musa
- Ustazah Nor Hafizah binti Musa
Saya teruja untuk
berkongsi lagi menerusi kupasan segmen Usrati yang ke udara setiap
Khamis jam 5.15 petang bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa kerana
pada kali ini ada pengisian menarik untuk dikongikan bagi manfaat
bersama. Beringatlah Sebelum Kena itu lah tajuknya. Ayuh kita telusuri
apa yang dimaksudkan dengan tajuk tersebut.
Hari-hari kita melalui hidup ini. Setiap
hari yang kita lalui episodnya pasti tidak sama. Mari kita buat imbasan
sedikit tentang hari-hari dalam kehidupan ini. Ada masa kita mengenakan
orang dan ada masa kita yang terkena. Apa yang kita pinta bukan saja
yang baik, malah kalau kita minta untuk buat kejahatan pada orang lain
pun kadang-kadang Allah makbulkan, kan. Mengapa niat jahat pun Allah
izinkan untuk terjadi? Sebagai contoh mati dibunuh, kita menganiaya
orang, orang merompak kita, niat jahat orang terhadap kita Allah izinkan
terjadi walaupun kita baik, tapi “terkena” juga. Allah memakbulkan niat
jahat orang lain terhadap kita bukan bermakna Allah suka kepada perkara
yang jahat itu, tetapi Allah hendak menguji orang yang jahat itu. Allah
bersetuju memakbulkan niat jahat orang terhadap orang lain, tetapi kata
Allah diakhirat nanti kamu “siap”, ada balasan yang menanti. Allah
hendak bagi peluang kepada orang yang jahat, adakah dia mahu berubah.
Buatlah jahat banyak mana pun, tapi nyawa kamu tetap dalam tangan Aku,
kata Allah.
Kita yang merasakan diri teraniaya pula
sebenarnya, Allah juga nak menguji sejauh mana sabar kita, bagaimana
sangkaan kita terhadap Allah dengan apa yang ditakdirkan dan apa ikhtiar
kita untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau musibah itu. Memang bila
dianiaya kita rasa seolah-olah Allah tidak adil terhadap kita, apatah
lagi jika ujian atau masalah yang kita dapat itu terlalu berat pada
sangkaan kita. Berdoa, berdoa dan berdoalah. Allah menghampakan hambaNya
tidak sama sekali. Hatta seorang islam jika mendoakan seorang islam
yang lain dalam keadaan dia tidak tahu, maka kata Allah kamu juga dapat
yang sama sepertimana yang kamu doakan untuk orang lain. Maka doalah
yang baik-baik saja untuk orang lain. Iblis yang paling derhaka itu pun
minta nyawanya dipanjangkan hingga akhirat, itupun Allah makbulkan,
takkanlah kita yang sembahyang ini Allah tidak mahu memperkenankan doa
kita, kan. Kalaupun kita geram sangat dengan orang yang buat jahat pada
kita itu, kata Allah balaslah kepadanya (orang jahat) setimpal
sepertimana yang kamu kena, jika tidak serahkan saja kepada Ku untuk
membalasnya bagi pihak kamu. Sekarang baru kita dapat merasa keadilan
Allah itu ada, kan. Allah tidak sesekali menganiaya hamba Nya. Perbuatan
baik dan buruk tetap ada balasannya. Yakinlah. Cuma lambat atau cepat
saja seseorang itu mendapat balasan, sama ada bagi yang buat baik atau
yang buat jahat termasuk yang bersubahat.
Mungkin kena dan mengenakan orang ini
seolah-olah menjadi satu penyakit keturunan. Mungkin orang yang pernah
terkena, dia berdendam, maka dia pula yang kenakan orang lain. Jadi
timbulnya situasi balas membalas. Janganlah berdendam. Cubalah kita jadi
untuk lebih sabar, rasional dan berfikir panjang sebelum buat sesuatu
atau sebelum membalas apa saja kepada orang lain. Contohilah sikap Nabi
SAW apabila dicerna dan dihina oleh kaumnya malah Nabi SAW sampai
dibaling batu hingga giginya tercabut dan kakinya berdarah ketika pergi
untuk berdakwah di Taif, tidak cukup dengan itu Nabi SAW juga pernah
diletakkan najis unta dibelakangnya ketika sedang sujud (solat), maka
Allah mengutuskan malaikat untuk bertanya kepada Baginda SAW mafhumnya,
“Mahukah engkau wahai Rasulullah, aku angkat gunung ganang di sekiling
ini dan dihempapkan ke atas mereka yang menyakitimu?”. Lalu apa jawab
Nabi SAW, “Tidak perlu, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. Aku
mengharapkan dari sulbi mereka ini akan lahir generasi yang mentaati
Allah SWT”.
Bagaikan tidak percaya, ada rupanya
orang di dunia ini sebaik dan sesabar Nabi SAW. Maka tidak hairanlah
Nabi SAW sangat layak untuk mendapat balasan syurga Firdaus. Kita
bagaimana? Mampukah jadi sebaik itu? Kalau alasannya kerana Baginda
adalah seorang nabi, kena ingat bahawa Baginda juga adalah manusia biasa
seperti kita yang merasa sakit. Kita hanya mampu jadi sebaik dan
sesabar Nabi SAW jika hati kita bersih. Masa lalu kita tidak dapat ubah,
kerana ia sudah jadi sejarah tetapi masa depan kita dalam tangan kita
dan kita mampu menguasainya, insha Allah.
Nabi SAW ada mengajarkan kita doa mohon
cahaya yang bermaksud, “ Aku mohon hati yang bercahaya, pandangan yang
bercahaya, kurniakan pada pendengaranku juga cahaya, suluhkan kiri dan
kananku cahaya, juga dari atas dan bawah cahaya, pada wajahku juga
bercahaya. Jadikan cahaya dengan sesempurna cahaya”. Semuanya cahaya,
cahaya, cahaya. Jadi banyak manakah cahaya yang sudah kita dapat?
Ibarat sebuah lampu, yang meneranginya
ialah kerana ada mentol didalamnya. Mentol itu adalah hati. Jika hati
kita gelap tidak ada cahaya, maka suram dan malaplah hidup kita. Jika
mentol itu rosak, cepat-cepat tukarkan dengan yang baru. Jika hati
gelap, terangkan dengan pengetahuan dan ilmu. Eksplorasilah kehidupan
yang luas ini dengan cara yang betul. Semua orang kena yakin boleh.
Jadi renungilah hidup kita, apa lagi
yang perlu kita lakukan. Hidup ini luas potensinya. Jangan diri sendiri
menjadi halangan untuk kita memula dan meneruskan langkah. Andai ada
ketika kita terhenti dek kerana halangan-halangan, jangan terhenti
terus, mulakan balik. Kalau kita sudah boleh berjalan, cuba berjalan
dengan laju, sampai kita mampu terbang. Ibaratnya begitu. Itulah
semangat yang harus ada dalam diri kita. Hitam putih hidup, sendiri yang
tentukan. Atasilah segala hal dengan kesabaran dan keimanan. Sungguh
hidup ini ada pelbagai warna dan corak (dugaan), nama pun hidup. Jika
kita sering ter”kena” dengan orang jahat, usah gusar melaluinya, sebab
Allah kan ada.
Kita mungkin ada banyak orang-orang yang
kita sayang malah begitu istimewa kita tempatkan dia dalam hati kita,
bukan tapi Dia yang Maha Sempurna. Moga hidup kita sentiasa dilimpahi
kasih sayang dari Allah Taala.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar
Berita Harian edisi 30 Oktober 2014
No comments:
Post a Comment